Setahun pemergian guru terbaik

Sebelum membaca entri saya yang terbaru ini, harap sudi menghadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Dr. Haji Othman Puteh.

Al-Fatihah.



Alhamdulillah, terima kasih. Setahun berlalu. Allahyarham pulang ke rahmatullah pada tanggal 19 Oktober 2003. Kejutan buat seisi dunia penulisan. Terutama sekali penulis karya remaja. Saya, antara beberapa penulis, yang membesar di bawah didikannya, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

Pada mulanya, saya langsung tidak mengenali Arwah secara peribadi. Saya kira, ramai yang mengenali beliau lewat novel-novel remajanya. Saya khatami karya-karya beliau sewaktu saya di tingkatan satu lagi. Kemudian, saya temui buku panduan penulisan beliau yang berjudul "Persediaan Menulis Cerpen". Buku inilah yang saya baca dari kulit depan ke kulit belakang. Berkali-kali. Saya kaji sendiri. Cuba menulis sendiri. Berpandukan karya-karya penulis terawal. Setelah banyak percubaan yang gagal barulah, cerpen pertama saya berjudul "Di Sebalik Wajahmu, Aries" (Impian Tsu-Ryi, 2002) tersiar di dalam Dewan Siswa September 1990.

Walaupun saya tidak berguru secara peribadi daripada Arwah, beliau tetap guru penulisan saya yang pertama. Betapa buku beliau sangat sistematik dan memudahkan sesiapa sahaja yang baru belajar menulis mempelajari teknik penulisan.

Saya masih ingat lagi kenangan pertama kali bertemu dengan Arwah. Ketika itu kami berada di universiti yang sama - UKM. Saya masih di Tahun 2 Matrikulasi Undang-undang. Kami sedang mengumpul dana untuk Projek Khidmat Bakti di Kg. Beting Lintang, Besut, Terengganu. Saya ditugaskan untuk menjual kurma di Jabatan Persuratan Melayu, UKM. Antara nama pensyarah yang tersenarai di dalam tugasan saya ialah nama Dr. Othman Puteh. Berdebar-debar perasaan kerana pertama kali bakal bertemu dengan penulis tersohor dan orang yang bertanggungjawab membesarkan saya dalam dunia penulisan ini.

Ketika itu juga, saya sudah pun menghasilkan lebih kurang 3 - 4 cerpen di Dewan Siswa. Pun, saya tidak berani memperkenalkan diri di hadapan beliau. Saya hanya ketuk pintu yang separuh terbuka. Beliau mengangkat wajah. Saya pun jelaskan tujuan saya datang ke situ. Tanpa banyak soal beliau menghulurkan wang. Saya tinggalkan kurma sepeket. Dan berlalu dari situ. Itu sahaja yang berlaku. Hati berbaur pelbagai perasaan. Gembira, segan, ingin berbual lebih lanjut... kalaulah dia tahu siapa saya... dan macam-macam lagi.

Tidak lama selepas itu, saya terpilih ke Minggu Penulis Remaja '93. Beliau, seperti biasa terlibat sebagai pembimbing bengkel cerpen bersama-sama dengan Prof. Rahman Shaari yang membimbing puisi. Sewaktu makan tengah hari, saya duduk bertentang dengan Arwah. Saya pun ceritakan pengalaman sewaktu pertama kali bertemu di pejabatnya tidak lama dulu.

"Dr. ingat lagi tak budak perempuan yang jual kurma masa bulan puasa dulu?" Bila dia mengeyakan, saya pun mengakui siapa saya ketika itu.

Dia ketawa. Katanya, "Kenapa tak beritahu dulu?".

Saya katakan, saya segan teramat. Dia senyum lagi. Senyum gembiranya hingga sepet matanya. :-). Ah, saya sangat merindui guru yang terbaik seperti Arwah.

Ketika novel "Mencari Locus Standi" hampir siap setahun lalu. Saya dikejutkan berita kepulangan beliau yang abadi. Hampir punah harapan untuk menulis. Pun, saya teguhkan semangat. Meskipun kecewa kerana tidak dapat menunjukkan kepada Arwah, bahawa anak didiknya yang seorang ini turut menulis novel dan bukan cerpen semata-mata. Memang saya mahu memberitahu Arwah yang novel saya sudah siap. Saya tahu dia juga yang akan menilainya jika saya hantar ke Hadiah Sastera Utusan. Akhirnya, dia akan tahu juga. Tetapi niat itu tidak kesampaian. Hanya saya letakkan namanya di bahagian dedikasi novel itu.

Dialah insan terbaik yang harus saya rekodkan sebagai guru, pembimbing dan mentor saya yang tidak pernah jemu. Kami bukannya banyak kali bertemu. Hanya semasa majlis-majlis sastera sahaja. Tetapi, dalam waktu yang singkat itulah dia banyak mendorong hingga saya menjadi penulis seperti hari ini.

Saya tahu. Bukan penulis seperti saya sahaja yang pernah mendapat sentuhan pendidikannya yang santai dan tidak terlalu formal itu. Ramai lagi yang merasai apa yang saya lalui. Sekian ramai penulis yang seangkatan dengan saya sempat berguru dengan beliau. Itu belum dicampur lagi dengan penulis yang hanya belajar melalui ilmu-ilmu yang ditinggalkan di dalam buku-buku beliau.

Kepada penulis yang baru hendak memulakan langkah di dalam dunia penulisan kreatif ini, terutama dalam genre prosa - cerpen & novel. Dapatkan buku-buku beliau. Buku-bukunya ringkas tetapi padat dan senang dihadam. Beliau dengan mudahnya membuat kita mahu menulis.

  • Persediaan Menulis Cerpen (DBP)
  • Persediaan Menulis Novel (DBP)
  • Penulisan Cerpen : Daripada Konvensi ke Inovasi (Utusan Publications)
  • Penulisan Kreatif : Teori, Pengalaman, Cabaran (Utusan Publications)
  • Tips & Motivasi Penulisan Cerpen (Utusan Publications)

Boleh beli dari kedai-kedai DBP dan Utusan. Kalau malas, boleh pesan dari Ujana Ilmu atau terus pada saya sahaja. Ke mana-mana kalau saya dijemput memberi ceramah tentang penulisan cerpen, saya pasti bawa kelima-lima buah buku ini. Saya sangat syorkan kepada penulis dan bakal penulis.

Saya kira, itulah harta yang paling bernilai yang diwariskan kepada kita semua.

Semoga Allah terus mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

Ulasan

Catatan Popular