Khamis, November 18, 2004

Ziarah Eidulfitri

Sudah menjadi lumrah, yang muda seharusnya mengutamakan ziarah pada yang tua. Semasa Eidulfitri, kunjung mengunjung sebaiknya diteruskan amalan ini. Yang tua akan menunggu rumah dan menanti kedatangan generasi yang lebih muda datang beraya di rumah mereka.

Itulah yang saya dan keluarga lakukan tahun ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari dari hari raya pertama hinggalah semalam, kami berziarah ke sana sini. Dimulakan dengan keluarga-keluarga yang terdekat hinggalah ke rumah sahabat taulan yang berhampiran.

Hari Raya pertama, selepas solat sunat Eidulfitri, kami pulang ke Sri Menanti - kampung sebelah suami. Sempat melawat bapa saudara dan emak saudara di kampung-kampung berdekatan. Tidak lupa singgah ke Kg. Tobek Godang yang banyak signifikan pada perkahwinan kami. (Bagi pembaca novel Mencari Locus Standi pasti masih ingat nama Tobek Godang).

Hari Kedua, kami beraya di Seremban. Ziarah saudara-saudara yang rapat dengan arwah nenek dan arwah emak. Kebanyakan mereka di kawasan Ampangan ini juga. Dalam 4 - 5 rumah dapat kami singgah.

Hari Ketiga, mengunjungi keluarga sebelah Abah saya di Sg. Machang Hilir, Lenggeng. Sempat juga melawat saudara-saudara di beberapa rumah. Ada pula yang buat rumah terbuka, sudahnya kami semua berkumpul di sana. Jadi mudah sikit, tak perlu ke banyak rumah. Dapat berjumpa dengan hampir semua di satu tempat sahaja.

Semalam, sempat ke rumah penyair Negeri Sembilan yang terkenal - Rahimi NS. Sudah beberapa tahun ingin ke rumahnya, tahun ini baru hajat tertunai. Kebetulan, seorang daripada anaknya sama sekolah dengan saya dulu di SMKA SHAMS. Selepas itu, ke beberapa buah rumah di sekitar Kuala Pilah.

Hari ini? Setakat pagi ini, kami merehatkan diri sementara. Petang nanti insya-Allah, teman-teman sekolah akan singgah. Kalau ada yang pernah membaca cerpen saya Puisi Akhir Musim Bunga, pasti ingat pada watak-watak Rozie, Haniem, Marina dan Nora. Mereka itu sebenarnya teman-teman saya yang amat akrab hinggalah ke hari ini. Merekalah yang bakal datang ke teratak kecil saya petang nanti, insya-Allah. Walaupun ada antara mereka sudah mempunyai keluarga sendiri, namun ukhwah ini tetap kami teruskan.

Esok pun, rencananya, saya tidak akan ke mana-mana. Tunggu rumah saja. Sesekali menyemak nota kuliah. Sabtu dan Ahad ini ada peperiksaan akhir semester kuliah DSLP saya di UIAM.

Sabtu : Islamic Legal System
Ahad : Islamic Family Law

Ada kemungkinan, berjalan raya di kawasan Kuala Lumpur pula. Sebab periksa dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Kalau pulang ke Seremban, harus kembali ke UIA esoknya. Mungkin kami bermalam di KL. Sambung ziarah lagi.

Wah, tahun ini rasanya paling banyak berjalan-jalan.

Setakat tengah hari ini, langit masih biru cerah. Tanpa sekepul awan di mana-mana. Pagi pun indah, sesuai untuk mereka yang masih ingin berziarah. Petang nanti, belum tentu rencana Tuhan.

Eidulfitri di Malaysia yang aman damai ini tentu sekali jauh berbeza dengan saudara-saudara kita di negara-negara yang sedang berjuang demi sebuah keamanan...

Seharusnya, kita banyak bersyukur atas ke sempatan ini.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails