Isnin, Disember 13, 2004

Anugerah Ilmuan & Sasterawan NS

Jadual aktiviti saya penuh seminggu lalu. Baru hari ini dapat bernafas lega.

I

8/12/2004 - Uda bertunang. Dapat tugasan buat sirih junjung untuk dihantar ke rumah tunangnya. Pertama kali saya buah sirih junjung. Maklumlah masa saya bertunang dan berkahwin dulu, ada orang yang tolong buatkan. Nasib baik jadi dan sirih tu mahu tegak :) Mujur juga tunangnya itu orang dekat-dekat Seremban juga. Majlis diadakan malam tapi tak bermasalah kerana rumah tunangnya di Taman Bukit Chedang saja.

II

9/12/2004 - Anugerah Ilmuan & Sasterawan Negeri 2004. Buat pertama kalinya Negeri Sembilan mengiktiraf penulis remaja negerinya. Penulis remaja di sini diertikan sebagai penulis yang berusia remaja dan penulis yang menulis karya remaja, walaupun sudah dewasa.

Alhamdulillah, saya dan Jas (Siti Jasmina Ibrahim) merupakan antara 5 orang pemenang yang diumumkan pada malam itu. Turut memenangi Anugerah Penulis Remaja Negeri 2004 ialah Mohd Ghazali Tocheh, Zaid Mohd Saman dan Haniza Hashim. Tentu ramai yang mengenali nama Mohg Ghazali Tocheh - penulis yang kurang upaya penglihatan. Novel-novelnya pernah saya hayati sejak di bangku sekolah lagi.

Turut diumumkan pada malam tersebut, pemenang Anugerah Perpustakaan Keluarga Terbaik, Anugerah Pusat Sumber Sekolah Terbaik dan Pemenang Anugerah NILAM - Pembaca terbanyak dan memanfaatkan Pusat Sumber dengan baik.

Sempat duduk semeja dengan Zanazanzaly dan Rozais Al-Anamy yang kebetulan baru landing di KLIA petang tersebut. Turut sama di meja kecil kami, Kak Azah Aziz (Utusan) dan suaminya. Agak besar juga majlis tersebut di Royal Adelphi. Ketiga-tiga ballroom digunakan. Dihadiri juga oleh Pengetua-pengetua dan Guru-guru Besar Sekolah-sekolah Negeri Sembilan yang kebetulan baru selesai mesyuarat agung dwi-tahunan pada petangnya.

Saya dan suami selain menjadi tetamu, turut sibuk menjual buku-buku PEN dan Ujana Ilmu.


III

10/12/2004 - Tiada majlis rasmi tetapi sibuk juga membuat persediaan untuk Bengkel "Dari Kertas ke Pentas" pada hujung minggu dan mesyuarat agung PEN. Paginya menjemput Zanazanzaly dan Rozais dari Seri Malaysia. Bawa mereka singgah ke rumah. Seronok menggoreng keropok.

Selain daripada menghadiri bengkel skrip, Zana dan Rozais memang AJK Persatuan Penulis Wanita Malaysia yang terlibat dengan pementasan teater Nyonya di Seremban. Kami berbual seputar hal-hal penulisan dan juga keluarga.

Malamnya, saya diminta menjadi juruacara untuk teater Nyonya. Terkasima saya. Belum pernah lagi diminta menjadi MC untuk majlis begitu. Tapi dalam masa yang sama saya rasa teruja! Lalu, saya pun dibawa ke bilik kawalan audio di tingkat paling atas, Taman Budaya Negeri Sembilan. Auditorium Cempaka Willis pun jadi sayup dari atas.

8.30 malam pementasan akan bermula, saya pun bersedia. Pentas digelapkan. Hanya suara saya berkumandang... Tugas saya hanya pada permulaan dan akhir teater. Selain daripada itu saya bebas ke mana-mana.

(Oleh kerana teater Nyonya dipentaskan selama 3 malam di Seremban, saya juga menjadi MC untuk 3 malam. Malam pertama - saya menonton teater dari Bilik Kawalan Audio. Malam Kedua saya tonton dari tempat penonton. Malam ketiga, saya tonton sebahagiannya dari tempat penonton dan selebihnya di Bilik Kawalan Audio.)

Usai teater, perlu pulang segera. Esoknya Bengkel Skrip akan bermula. Perlu sampai awal ke Taman Budaya lagi. Sebelum pulang, sempat menjemput Hanisah Othman, peserta Bengkel dari Stesen Komuter Seremban. Dia bermalam di rumah saya.


IV

11/12/2004 - Jam 8.00 pagi. Sampai ke Taman Budaya Negeri Sembilan. Sudah ada seorang peserta yang hadir, walaupun pendaftaran dibuka pada jam 8.30 pagi. Kak Mahaya datang sejurus selepas itu dan banyak membantu. Sementara menantikan Kak Aminah Mokhtar (Kak Min) yang tersasar perjalanannya dari Seri Malaysia ke Taman Budaya, Kak Mahaya selaku Setiausaha Satu PEN menyampaikan sepatah dua kata perangsang kepada peserta.

Kak Min sampai juga. Kami terus dengan sesi taaruf. Lalu terus sahaja Kak Min mulakan kelas bimbingannya - Drama Radio. Bimbingan Kak Min cukup memujuk dan langkah demi langkah yang diberikan membuatkan menulis skrip drama radio itu sangat mudah. Tak terasa masa berlalu.

Lepas makan tengah hari, Siti Rohayah Attan (Kak Roy) pula membimbing peserta dengan skrip drama tv. Suasana petang jadi tidak mengantuk dengan sikap Kak Roy yang mampu serius dan lucu dalam satu masa. Bonus kepada peserta, Rozie Rashid - penulis skrip dan juga pelakon tampil berkongsi pengalaman tentang penulisan skrip. Tentu ada yang masih ingat pada telemovie (juga VCD) Ampunkan Dosaku, lakonan Fauziah Nawi. Skrip tersebut ditulis oleh Rozie Rashid.

Sebelah malamnya, sekali lagi saya menjadi MC untuk teater Nyonya.

12/12/2004 - Sesi terakhir bengkel. Jumlah peserta susut lantaran masing-masing ada hal-hal tertentu. Tetapi konsentrasi jadi meningkat. Rosminah Tahir (Kak Ros) datang tepat jam 9.00 pagi dan terus membimbing peserta dengan skrip drama pentas. Bimbingannya cukup rinci. Barangkali pengalamannya mengajar di Akademi Seni Kebangsaan banyak ditumpahkan di sini. Selain itu, beliau juga Penolong Pengarah, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Kak Ros juga Naib Presiden PPWM.

Maklum balas daripada peserta menggambarkan mereka berpuas hati. Banyak manfaat yang dapat dikutip sepanjang bengkel ini berlangsung. Alhamdulillah, sebagai penganjur, kami sangat berbesar hati. Saya kira sudah ada satu dua peserta yang mampu menulis sebuah skrip selepas ini.

Sekadar suka-suka dan juga memberi perangsang kepada peserta yang tekal menunggu hingga hari kedua, kami hadiahkan setiap seorang dengan hadiah skrip terbaik radio, tv & drama pentas. Dalam setiap sesi, mereka perlu menghasilkan skrip dan skrip tersebut telah dinilai oleh pembimbing sesi.

Encik Siri Neng Buah telah bermurah hati menutup majlis kecil kami dengan kata-kata semangat kepada peserta. Katanya, mudah-mudahan selepas ini akan ada naskhah skrip yang baru. Tidaklah Pekan Teater akan datang nanti hanya mementaskan kembali skrip-skrip yang telah banyak kali dipentaskan. "Saya sudah menonton Anak Nazar Tujuh Keramat itu 7 kali dengan tujuh keramat yang berbeza!" tambahnya.

2.00 petang - Mesyuarat Agung PEN bermula. Kehadiran juga tidak seramai yang dijangka. Barangkali kerana kali ini PEN tidak berhasrat menjalankan mesyuarat ini di hotel besar. Ada juga yang datang mesyuarat kerana nak makan di hotel. Apa pun, mesyuarat tetap berjalan.

3.00 petang - Bicara karya, novel Mencari Locus Standi oleh Prof. Madya Dr. Rosnah Baharudin dan Encik Siri Neng Buah. Pengerusinya Encik Zulkifli Abu.

Terharu saya apabila novel sulung saya itu dapat dinikmati dengan baik oleh panel. Dr. Rosnah melihat dari sudut kepengarangan dan kewanitaan. Kata-kata yang dapat saya kutip, "Pengarang wanita jarang akan memperkatakan watak wanitanya cantik tetapi dia akan lebih menggambarkan wanita itu bijaksana. Penulis lelaki pula selalunya menggambar fizikal wanita itu yang cantik, dan sebagainya..."

Encik Siri pula diminta memperkatakan tentang wanita dan adat dalam novel ini. Katanya, dia suka pada watak Ibu Mustika. Dia seorang ibu tiri yang tidak tipikal. Paling cantiknya, Encik Siri dapat mengupas wanita dan adat itu dengan indah sekali. Dia sempat menegur watak "Dato' Senara" yang saya sebutkan. Sebenarnya title itu sepatutnya "Dato' Senara Muda" dan hanya ada satu sahaja Dato' Senara Muda pada satu-satu masa.

Walaupun Encik Siri memberikan pandangan bukan sebagai seorang sarjana, dan lebih kepada sebagai pembaca, itu sudah menunjukkan dia seorang pembaca yang prihatin.

Paling saya gembira, kedua-dua panel dan pengerusi turut mengakui bahawa novel ini sedap untuk dibaca. Bukan sahaja kepada remaja malah pada orang dewasa sekalipun. Alhamdulillah, itu sudah cukup memberi rangsangan kepada saya untuk terus menulis lagi.

Usai majlis. Jamuan Hari Raya PEN diteruskan. Sambil itu melihat-lihat pameran buku kami. Ada juga yang membeli novel saya, selepas dibincangkan. Malamnya, saya masih lagi menjadi MC. Di penghujung persembahan Nyonya, Kak Rosminah selaku Naib Presiden PPWM menyampaikan cenderamata kepada Encik Siri Neng Buah sebagai tanda penghargaan kepada Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan NS.

Saya letih dan letak. Tapi saya puas.




Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails