Khamis, Disember 23, 2004

Nisah dalam BH Khamis 23/12/2004

Persoalan undang-undang dalam Mencari Locus Standi

PERSOALAN apakah penulis wanita berhak dianugerahi Anugerah Sastera Negara (ASN) mendapat perhatian pada diskusi novel Mencari Locus Standi karya Nisah Haron yang dihadiri 50 ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen).

Pengarah Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan (PKKWNS), Siri Neng Buah, membangkitkan persoalan itu ketika bertindak sebagai panel wacana yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Pen di PKKWNS, Seremban, baru-baru ini.“Mengapa penulis wanita tidak pernah diangkat sebagai penerima ASN sedangkan mereka juga menghasilkan karya bermutu seperti Dr Fatimah Busu lewat cerpen ‘Nasinya Tumpah’ dan novel ‘Badai Semalam’ (Khadijah Hashim),” katanya.

Siri yakin karya penulis wanita juga ada nilai estetika yang tinggi dan mereka wajar diberi peluang untuk menerima ASN dan beliau turut melihat Nisah berkemampuan menghasilkan karya lebih bermutu pada masa depan dan melayakkannya menerima ASN.‘Mencari Locus Standi’ novel pertama Nisah termasuk dalam karya bermutu kerana ia menyingkap tema dan persoalan perundangan yang sememangnya jarang digarap oleh pengarang Melayu.“Saya pada mulanya tidak memandang tinggi novel ini tetapi akhirnya tertarik untuk membacanya dan memang saya akui Mencari Locus Standi ada nilai estetika yang boleh dibanggakan,” katanya.Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rosnah Baharuddin, pula merumuskan novel itu memperlihatkan hak wanita dalam pendidikan tinggi tidak perlu diperjuangkan kerana mereka sudah menerima melalui dasar pendidikan terbuka.

“Novel ini dihasilkan oleh penulis generasi baru yang mempunyai latar belakang pengajian undang-undang. Kelebihan ini dimanfaatkan dengan baik oleh Nisah dalam menggarap persoalan terbabit,” katanya.Mencari Locus Standi memenangi tempat kedua Pertandingan Novel Remaja Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004 berkisar pada perjuangan seorang gadis, Eliza Jasmin atau E-Jay dan ibu tirinya, Ibu Mustika, dalam mempertahankan harta milik Emir Johan.

Kematian Emir Johan, bapa E-Jay mencetuskan konflik perebutan harta di antara E-Jay dan Ibu Mustika dengan dua adik beradik Emir Johan, Pak Long Dzulkarnain dan Pak Su Sharafudin.“Nisah sebagai pengarang generasi baru memperkukuh tradisi penulisan wanita dengan menulis pengalaman, persoalan dan tema yang dekat dengan dirinya sebagai seorang wanita,” katanya.

Dr Rosnah yakin pengalaman Nisah melanjutkan pengajian undang-undang di UKM menjadi sumber penting novel ini dan pengarang secara sedar sengaja memasukkan pengalamannya sebagai sumber cerita.“Nisah mengangkat persoalan dan beberapa isu undang-undang dalam novel remajanya yang pertama ini dan antara isu yang dibangkitkan ialah wasiat, pembahagian harta pusaka mengikut faraid, harta sepencarian dan isu harta intelek,” katanya.

Meskipun persoalan itu berat dan rumit, perbincangan serta cara penyelesaian yang dipermudah, sesuai dengan sifatnya sebagai novel remaja, membolehkan khalayak sasaran mengikuti novel ini dan tindakan pengarang menyediakan glosari membantu.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails