Cinta Eidul Adha

Setiap hari saya bercinta. Itu saya percaya. Sama ada bercinta dengan Tuhan ataupun sesama insan. Saya bersyukur kerana dikurniakan tuhan rasa cinta dan segala kenikmatannya.

Semalam 22 Januari 2005, juga hari ulangtahun cinta. Tarikh cinta saya dan suami dimaterai secara rasmi 5 tahun dahulu. Kebetulan, harinya juga jatuh pada hari yang sama. Kami memang bernikah pada malam minggu 22 Januari 2000. Pada hari Ahadnya, majlis dilangsungkan di rumah saya.

Ah! Cepat benar masa berlalu. 5 tahun dan 3 cahayamata kemudian, saya masih lagi merasakan musim-musim percintaan yang cukup indah. Seperti musim bunga sepanjang tahun...


Gambar sewaktu majlis menyalang di rumah pengantin lelaki di Seri Menanti

Saban tahun, kami tidak pernah mengadakan sebarang majlis khas untuk menyambut hari istimewa kami. Pun, tidak pernah mengharapkan apa-apa ucapan daripada orang luar. Saya percaya bahawa hari ulang tahun perkahwinan pasangan adalah sesuatu yang peribadi sifatnya. Sebaiknya disambut oleh pasangan itu sahaja dan jika perlu oleh ahli keluarga yang terdekat. Kalau ada teman taulan yang masih mengingati tarikh ini, alhamdulillah. Itu sangat luar biasa. Jarang sekali ada orang luar yang mengingati tarikh perkahwinan temannya.

Cuma tahun ini, ulang tahun perkahwinan kami sedikit istimewa. Selain daripada ia jatuh pada tarikh dan hari yang sama (walaupun bukan dalam bulan Hijrah yang sama, kami bernikah 2 minggu selepas 1 Syawal 1420H), tahun ini ia jatuh dalam bulan haji. Semalam dan hari ini, kami menyambutnya dengan memakan lemang dan rendang daging. Musim-musim korban begini, rezeki daging datang melimpah.

Semalam sebelum pulang ke Seremban sempat singgah di rumah rakan blogger - Masliza (Elaira) di Kg. Buyau. Walaupun asalnya kami berkenalan di KL tapi akhirnya baru kami tahu bahawa kampung kami berdekatan di Seri Menanti juga. Bagi sesiapa yang membaca novel Mencari Locus Standi ada saya sebutkan nama Kg. Buyau di dalamnya.


Ulasan

Catatan Popular