Ironi sebuah pilihan

I

Hari ini saya ke Mahkamah Tinggi Syariah. Ada sebuah kes hadhanah (tuntutan hak jagaan anak). Seperti biasa, kes-kes begini memang bermain dengan emosi pihak-pihak yang terlibat. Kedua-dua pasangan mulalah menuntut hak masing-masing. Semua hendakkan anak itu.

Mahkamah memanggil anak-anak itu hadir ke mahkamah. Seorang demi seorang dipanggil. Hanya hakim, peguam-peguam dan kerani mahkamah sahaja yang dibenarkan berada di dalam Dewan Bicara. Pendek kata, ibu dan bapa anak-anak itu diminta meninggalkan dewan. Begitu juga saudara mara yang berkaitan, jika ada.

Hakim pun menyoal anak itu. Suasana lebih santai berbanding dengan suasana perbicaraan biasa. Hakim pun membahasakan dirinya 'pakcik' sahaja. Kami peguam pun membahasakan diri sebagai 'abang' dan 'kakak'. Tujuannya supaya anak-anak itu merasa tidak kekok ataupun terlalu takut.

Anak yang pertama menjawab dengan agak yakin. Walaupun sesekali dia terlupa memegang mikrofonnya. Tetapi saya yakin jawapan yang diberikan itu telah dihafalnya sekian lama. Dia tahu apa yang patut dijawab. Namun, Allah dengan Rasul sahaja yang tahu sama ada jawapan itu benar-benar datang dari hatinya.

Pun, sebagai manusia, kita menghukum pada yang zahir sahaja.

Setelah mendengar kedua-dua pilihan anak-anak itu, hakim pun mengeluarkan perintah sementara berdasarkan pilihan anak-anak tersebut.

Kisah anak-anak menjadi rebutan selepas perceraian, hanyalah kisah biasa. Inilah produk perceraian. Anak-anak yang terganggu emosinya.


II

Sebelah petang, saya didatangi klien. Beliau ada satu kemusykilan. Klien saya seorang perempuan.

Selama hampir 30 tahun beliau menjaga ibunya, kini dia sendiri sudah lanjut usia. Tak larat lagi. Ingin juga sesekali membebaskan diri seketika daripada tanggungjawab menjaga ibunya. Lagipun dia ada adik beradik lain - seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan.

Adik lelakinya, apabila sampai giliran, sering membentak-bentak ketika menjaga ibunya. Adik perempuan tidak ada masalah sangat tetapi dalam masa yang sama mempunyai suami yang turut tidak berapa sihat. Kedua-duanya sama penting. Namun tanggungjawabnya sebagai isteri mestilah diutamakan, selepas itu barulah tanggungjawab kepada ibunya.

Jadi, adik beradik yang lelakilah yang perlu menjaga kebajikan ibunya.

Persoalannya, beliau ingin tahu sama ada beliau boleh meminta satu perintah mahkamah yang menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab anak lelaki tersebut sepenuhnya menjaga ibunya (yang kini diserang angin ahmar).

Saya pun menasihati beliau.


III

Apabila hendak bercerai, berhempas pula berebut anak.
Anak-anak pula, berebut-rebut tidak mahukan bebanan menjaga orang tuanya.
Alangkah ironinya!

Tuhan, rahmatilah kedua ibu bapaku. Amin...

Ulasan

Catatan Popular