Mencari lelaki budiman

Sabtu lepas saya ke bangunan Akademi Seni Kebangsaan yang baru. Sudah berpindah rupanya ASK - berdekatan dengan Padang Merbuk, tak jauh dari Parlimen. Memang hebat tempatnya, besar dan cukup gah. Mudah-mudahan ia menjadi satu simbol perjuangan seni yang tiada sudahnya.

Seperti biasa, saya kalau ke tempat-tempat demikian, selain daripada menonton deklamasi/baca puisi, saya juga akan buka kedai kecil saya - Ujana Ilmu. Kali ini saya berseorangan. Suami ada tugas lain yang perlu dilaksanakan. Pun, saya sudah biasa angkut 5 - 6 peti buku dan buka, susun ke atas meja. Kemudian susun semula ke dalam peti bila tutup kedai.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana seorang perempuan mengangkut peti-peti itu sendirian. Pernah saya ke Johor Bahru ketika Kongress Kebudayaan Rumpun Melayu tidak lama dahulu, saya dan Kak Mahaya (Mohd Yassin) naik bas dan saya masih bawa 2 peti buku untuk dijual. Jawapan saya mudah. Kenalah kreatif dan guna sedikit akal yang diberikan Tuhan. (Kalau nak tahu juga kenalah tengok bagaimana saya buka kedai).

Alhamdulillah, saya masih dapat melakukannya sendirian.

Namun yang pelik ialah sikap lelaki-lelaki di sekeliling saya ketika itu. Dalam Kempen Budi Bahasa yang baru sahaja dilancarkan, saya kira sikap menawarkan bantuan sebelum diminta pastinya termasuk dalam satu daripada erti berbudi bahasa. Sukar rupanya mencari lelaki budiman yang datang menawarkan pertolongan ketika seorang perempuan seperti saya membuat kerja-kerja yang agak berat juga pada pandangan orang ramai.

Baik sewaktu saya baru datang, hinggalah waktu mengemas untuk memasukkan kembali buku-buku ke dalam kereta. Mungkin jarak di antara gerai saya ke tempat parkir sekitar 80 meter sahaja.

Iyalah, dekat dan jauh tak jadi soal tetapi sikap lelaki-lelaki prihatin itu yang saya perkatakan di sini. Namun, tidak saya salahlah mereka ini 100%. Dalam era wanita mencari hak sama rata yang berbau dominasi barat, kita semakin lupa fungsi dan peranan gender masing-masing.

Yang lelaki akan mengatakan, "Ah, wanita zaman sekarang sudah mahu menjadi wanita besi. Mahu buat semuanya tanpa bantuan lelaki."

Yang perempuan pula, "Benar, kami tidak perlukan lelaki membantu. Semuanya kami boleh buat sendiri."

Dan seterusnya masing-masing membina tembok ego tersendiri. Hasilnya inilah dia. Tiada lagi sikap budi bahasa sesama kita. Lelaki tidak mahu membantu jika tidak dipinta. Perempuan pula tidak mahu meminta kerana memikirkan lelaki itu yang sepatutnya datang.

Sudahnya, ini menjadi masalah komunikasi.

Masih ingat lagi, masa sekolah dulu. Kalau nampak cikgu bawa beg berat dengan buku rekod, buku latihan pelajar, ramai antara kami yang akan berkejar mahu menghulurkan bantuan pada cikgu. Murid sekarang saya lihat dah tak macam tu lagi.

Ada baiknya mata pelajaran sivik diajar semula di sekolah. Mungkin 5 - 10 tahun dari sekarang sudah ada kembali lelaki-lelaki budiman @ gentlemen.

Maaf, ya. Lelaki-lelaki di luar sana. Kalau anda tidak seperti yang saya gambarkan di atas, mungkin bukan andalah yang saya katakan.

Ulasan

Catatan Popular