Isnin, Januari 03, 2005

Sekali air bah...

Betapa benar kata pepatah, sekali air bah, sekali pantai berubah. Tetapi terjahan ombak besar yang melanda Meulaboh dan Banda Aceh bukan sahaja merobah pantai. Ia telah mengubah struktur geografi hujung tanjung itu.

CNN dan BBC banyak mengumpul berita. Itulah kelebihan media Barat yang canggih. Berita tentang kejadian tersebut telah sampai kepada penonton saluran ini sekitar jam 3 petang. Sedangkan RTM dan saluran berita tempatan hanya menyiarkannya pada jam 8 malam. Sedangkan, ini berita yang melibatkan negara kita sendiri. (Barangkali ada berita jam 6 yang tersiar pada petang itu, namun saya sekeluarga leka beralih-alih saluran dari CNN ke BBC di Astro)

Pun, banyak gambar yang diulang-ulang kembali setelah lebih seminggu kejadian. Mungkin kita inginkan berita yang lebih dekat di hati. Saya jumpa pautan baru.

Silakan ke http://groups.yahoo.com/group/gempaaceh dan jadi ahli di sana. Banyak berita sayu yang saya temui yang boleh dijadikan iktibar dan menjadikan kita benar-benar insaf.

Kalau mahu melihat gambar-gambar pula, sila ke http://www.filegratis.com/aceh/.

Saya bayangkan kalaulah kita sendiri diberikan dugaan sedemikian hebat, mampukah kita menjadi manusia yang rasional lagi. Sedangkan, pada saat itulah kita akan rasai kekuatan dan keagungan Allah dan kita pulalah sekerdil-kerdil manusia.

Ya, dugaan Allah sangat hebat. Namun, pasti ada hikmahnya di mana-mana. Hanya Dia yang mengetahui mengapa ujian sekuat ini diberikan pada saudara-saudara kita di Aceh dan utara Semenanjung.

Ketika dunia melupakan seketika Fallujah, bantuan kemanusiaan terus datang ke tempat-tempat bencana. Namun, sebesar-besar negara Indonesia itu, mengapa masih belum ada bantuan kemanusiaan yang menyeluruh tiba terlebih dahulu? Sekiranya tiada kapal terbang yang boleh mendarat untuk mengirimkan bekalan makanan, bagaimana dengan helikopter tentera yang sepatutnya boleh saja mendarat di mana-mana ada ruang.

Luka Aceh tidak dipandang dengan sepenuh hati Jakarta. Terlalu lambat tindakan Jakarta, saya kira. Harapnya telahan saya tidak benar. Harapnya, Jakarta masih ada simpati walaupun daerah itu pernah berantakan kerana gerakan pemisah. Namun, kali ini Aceh yang berduka dan jangan lupa, Jakarta juga masih ada Kraakatoa dan Merapi di sekitarnya.

Usahlah ada pihak yang mengambil kesempatan. Gencatan senjata patut sudah lama diumumkan. Ini bukan masa untuk terus berantakan. Ini masa memungut kembali kemanusiaan. Ini masa mencari makna diri yang selama ini dibungkus keegoan.

Siapa tahu takdir Tuhan?

Ya, hanya seketika seluruh dunia melupakan yang lain dan tertumpu ke sudut Asia Tenggara ini. Tiba-tiba masyarakat dunia tahu di mana letaknya Malaysia dan Indonesia. Namun, saya percaya, itu hanya seketika.

Sebentar nanti, kehidupan kembali seperti sediakala. Pesta tahun baru, walaupun secara rasminya tiada, tetapi masih ada di mana-mana. Kerana manusia itu mudah benar terlupa.

Adakalanya, saya terfikir tentang warga Aceh. Kepada mereka yang dijemput Tuhan 26 Disember lalu, barangkali itu lebih baik buat mereka. Tempat mereka sudah ditentukan di sana. Sedangkan yang tinggal lebih sengsara. Barangkali ada kesengsaraan yang lebih hebat kepada mereka yang melalui malapetaka ini. Mereka telah berjuang demi agama dan kebebasan sebuah negara merdeka telah diberikan ganjaran. Semoga Tuhan menghadiahkan gelaran syuhada' buat mereka. Tuhan juga tidak akan menurunkan ujian pada hamba-Nya yang tidak mampu menghadapi.

Anak-anak yang tidak berdosa telah awal-awal dijemput Tuhan kerana kaki kecil mereka tidak mampu bertatih lagi ketika ombak itu membawa mereka pergi. Dunia ini mungkin bukan untuk kalian sebenarnya.

Bahagialah kalian di sisi Tuhan.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails