2 hari topu dek adat
(2 hari tepu kerana adat)

Selama hampir 2 hari (28 Feb - 1 Mac), saya telah menghadiri Bengkel Penulisan Teks Kata-kata Adat di Seri Menanti Resort.

Banyak kata-kata adat yang dapat saya kutip. Indah sekali. Dalam maknanya. Insya-Allah, selepas ini nanti, penggunaan bahasa adat akan lebih meluas bukan sahaja di Negeri Sembilan malah senusantara kelak. Saya dapat merasa dan melihat kelembutan dalam Adat Perpatih.

Seperti kata perbidalannya :

Ibu adat muafakat

Selepas ini juga akan tumbuh bercambah kata-kata adat di papan-papan tanda. Setiap majlis daerah kini bertanggungjawab menaikkan papan tanda yang mengucapkan selamat datang berserta dengan kata-kata adatnya sekali.

Semalam bermuafakatlah para dato'-dato' adat, wakil majlis daerah, Lembaga Muzium NS, wakil PEN (Saya dan Mahaya) dan beberapa wakil yang berkaitan mengenai penggunaan kata-kata adat dalam teks ucapan rasmi kerajaan dan papan-papan tanda.

Adat Perpatih
Tak lekang dek panas
Tak lapuk dek hujan.

Kata Adat banyak kiasan
Ditunjuk dia tetapi bukan
Bergulung pendek panjang direntang

Tak faham kalau tak direnungkan

Dalam sesi sumbang saran (brainstorming) terlihat banyak suara dalam memberikan pendapat dan pandangan masing. Tetapi, dato'-dato' adat ini memang terlatih dalam hal-hal berunding. Maklumlah, orang-orang lama yang sudah biasa berbincang sebelum melaksanakan satu-satu hal. Kalau pun ada satu dua suara yang mula meninggi, akhirnya mereka mengendur dengan sendiri.

Mencari kata muafakat
Menokok barang yang kurang
Mengulas mana yang senteng

Menghubung yang pendek

Hasilnya :


Tidak ada keruh yang tak jernih
Tidak ada kusut yang tak selesai
Kusut benang, cari ujung dan pangkal
Kusut rambut, ambil minyak dan sikat
Sesat di hujung jalan
Balik ke pangkal jalan


Dalam beberapa sesi perbualan dengan dato'-dato' Adat, kefahaman saya tentang adat ini semakin bertambah.

Terlalu banyak yang negatif telah digembar-gemburkan oleh orang luar yang tidak tahu hujung pangkal tentang adat. Hatta oleh orang Negeri Sembilan sendiri yang mempunyai prasangka tentang adat. Ada sahaja perkara negatif yang berlaku dalam Negeri Sembilan, itu pasti gara-gara Adat Perpatih.

Terasa seperti Islam yang telah disinonimkan dengan terrorisme. Meletup sahaja bom, pasti itu kerja terroris Islam.

Insya-Allah, institut Adat Perpatih yang diangin-anginkan bakal menjadi kenyataan. Hendaknya, selepas ini nanti, keunikan adat ini tidak hanya boleh berada dalam buku-buku sejarah ataupun diam di dalam menara penyimpan barang-barang purba. Tetapi aplikasinya diterima pakai oleh masyarakat hari ini.

Banyak masalah yang boleh selesai kalau Adat Perpatih ini dipakai sepenuhnya. Yang menjadi masalah selalunya ialah pemakaian sekerat-sekerat. Bila tentang harta pusaka, adat tidak adil kerana memberi laluan pada wanita. Sedangkan faraid memperuntukkan hak tersebut pada lelaki.

Tetapi sebelum itu, lihat dulu makna dan konsep tanah adat dalam konteks Enakmen Pentadbiran Tanah Adat. Apa yang dinamakan tanah adat? Kenapa ia diwariskan kepada wanita? Ini bukan soal prejudis ataupun membelakangkan agama. Soalnya, orang yang tidak faham lekas benar hendak bersuara dan menyalahkan Adat Perpatih, sekaligus orang Negeri Sembilan.

Mitosnya : Kalau kahwin dengan orang Negeri Sembilan, nanti bercerai keluar rumah sehelai sepinggang.

Hakikatnya : Memanglah keluar sehelai sepinggang, kerana datangnya pengantin lelaki juga melanggang. Tak perlu bawa apa-apa. Rumah pusaka tersedia. Kuasa sebagai orang semenda diberikan. Meminang gadis Negeri Sembilan (yang mengikut Adat Perpatih yang sebenar) tidak perlu hantaran beribu-ribu. Cukup bayar mas kahwin sahaja. Kerana perempuan itu sudah ada harta tersedia untuknya dan untuk digunakan oleh suaminya dan anak-anaknya kelak.

Berbeza dengan adat lain, orang perempuan akan mengikut suami bila bernikah. Sebab itu pihak lelaki membayar hantaran yang tinggi kepada perempuan sebagai saguhati kerana anak perempuannya akan dibawa pergi. Tetapi anak perempuan dalam Adat Perpatih tidak akan keluar (melainkan atas muafakat suami isteri itu tadi), dia akan terus tinggal di rumah pusaka ibunya dan suaminya berhak untuk menggunakan harta tersebut dengan cara membaik pulih, menambah harta yang ada dan sebagainya.

Kalau si suami datang membawa hartanya sendiri seperti kereta, dia berhak untuk mengambilnya kembali jika berlaku perceraian.

Konsep pembahagian harta sepencarian dengan mudahnya telah dibahagikan oleh adat. Kata perbidalannya :


Pembawa kembali
Dapatan tinggal
Carian bahagi

Ertinya, apa yang dibawa datang semasa berkahwin, boleh dibawa pergi. Apa yang diperolehi semasa baru berkahwin (diperolehi kerana berkahwin dengan isteri, misalnya rumah pusaka) hendaklah ditinggalkan. Harta carian hendaklah dibahagikan. Itu kalau cerai hidup.

Banyak lagi yang sempat dibincangkan. Tapi tungguhlah. Mungkin kena buat satu kertas kerja khas tentang ini. Insya-Allah, kalau diberi kesempatan.

Ulasan

Catatan Popular