Isnin, Mac 21, 2005

Harga Kesetiaan

Suatu hipotesis : Andai kata seorang penulis itu lahir di Negeri Sembilan, tetapi ibu bapanya berasal dari Melaka. Penulis itu dibesarkan di Selangor. Jika ada anugerah sastera negeri, negeri mana yang patut memberi pengiktirafan kepadanya?

Jawapan 1 : Anugerah Sastera Negeri Sembilan, kerana dia lahir di Negeri Sembilan.

Tentangan : Mungkin ibunya dalam perjalanan hendak pulang ke Melaka dari Kuala Lumpur. Tetapi oleh kerana detik dan ketika dia dilahirkan sudah sampai, maka dia pun lahir di Negeri Sembilan. Pada surat beranaknya tercatat tempat kelahirannya di Hospital Besar Seremban. Itu tidak semestinya melayakkan dia menang anugerah sastera di Negeri Sembilan, kerana dia bukan bermastautin di sana.

Jawapan 2 : Anugerah Sastera Negeri Melaka kerana dia keturunan dari Melaka walaupun tidak lahir di Melaka. Ibunya dalam perjalanan pulang ke Melaka sewaktu sedang sakit hendak melahirkannya. Jadi dia masih layak untuk menang Anugerah Sastera Negeri Melaka.

Tentangan : Ibu bapanya sahaja yang orang Melaka. Siapa yang patut menang hadiah? Penulis itu atau ibu bapanya?

Jawapan 3 : Anugerah Sastera Negeri Selangor kerana dia menghabiskan sebahagian besar daripada usianya di Selangor. Dia bersekolah hinggalah memasuki universiti yang di Selangor juga.

Tentangan : Dia cuma dibesarkan di Selangor tetapi lahir di tempat lain. Penulis sendiri tidak pernah mengaku bahawa dia orang Selangor. Malah dia tidak pernah kata dia orang mana sekalipun.


Nah, siapa yang layak menentukan penulis itu anak jati mana? Panel pemenang hadiah? Urus setia?

Bolehkah jika situasinya begini : Penulis ini pernah memenangi anugerah di Negeri Melaka, jadi sekarang negeri lain tidak patut memberikannya hadiah. Wajarkah?

Apakah kelayakan seseorang penulis itu perlu dihitung daripada segi tanah kelahirannya dan pada negeri mana dia setia?

Inilah yang akan terus berlaku bila ada kes-kes terpencil begini. Nasib penulis yang tidak ditentukan negeri asal usulnya akan menjadi malang. Sedangkan pada masa dia berkarya, dia tidak pernah fikir pun dia akan menang anugerah di negeri mana. Tetapi setelah anugerah-anugerah diwujudkan, penulis kelihatan lebih berpuak-puak. Hinggakan ada yang taksub dengan negeri masing-masing.

Itulah yang digambarkan oleh seorang penulis yang bukan berasal dari Negeri Sembilan tetapi negerinya telah memulakan Hadiah Sastera Negeri. Menurutnya, seorang penulis perlu ada ketetapan bahawa dia memilih untuk menjadi anak jati negeri mana. Dan hendaklah terus kekal dan setia pada negeri pilihannya.

Ini semacam memilih kewarganegaraan dan tempat untuk berdomisil. Namun, bagi menentukan negeri seseorang bukan seperti memiliki kad pengenalan. Memiliki kad pengenalan Malaysia maknanya, kita orang Malaysia. Namun kod negeri pada bahagian tengah nombor kad pengenalan kita itu belum tentu menunjukkan kepada negeri mana kita harus setia. Ia menunjukkan tempat lahir. Boleh jadi ia berlaku seperti senario yang digambarkan di atas.

Atas sebab-sebab teknikal begini, ada persatuan penulis tertentu yang bertegang leher kerananya. Saya melihat ini sebagai satu kerugian pada negara. Biarlah penulis itu diiktiraf oleh mana-mana negeri sekalipun, kalau negeri pilihannya tidak mahu mengiktiraf tetapi ada negeri lain yang mahu mengiktiraf terpulanglah kepada negeri tersebut.

Sedangkan Anugerah S.E.A Write Award turut mengiktiraf penulis negara lain walaupun wangnya dikeluarkan oleh Negara Thai sendiri.

Ini antara akibat apabila penulis itu mula lari niat dan paksi dalam penulisan. Politik dalam persatuan-persatuan penulis juga masih belum matang. Hajat mahu berpolitik kecil-kecilan tetapi tidak mampu untuk bersikap profesional.

Politik orang Melayu barangkali. Entah di mana silapnya, orang Melayu sukar sekali untuk bersatu. Tidak mahu memahami orang lain apatah lagi mahu menghormati orang lain. Diri sendiri sahaja yang sentiasa betul.

Masalah kesetiaan seseorang penulis itu di negeri mana, ataupun apakah mazhab politiknya, itu pilihan peribadi. Mengapa perlu dicampuradukkan dengan karyanya dan kriteria pemilihan?

Nampaknya, sekarang penulis perlu mengendong nama negeri pilihannya supaya nanti, jika ada anugerah senang dilihat oleh panel dan urus setia. Walau bagaimana bagus sekalipun karya yang ditulis tetapi jika tiada locus standi, maka tiada negeri yang akan mengiktirafnya.

Tugas menjadi penulis kian sukar. Makin banyak aspek teknikal yang perlu difikirkan. Mungkin dalam ceramah penulisan kreatif akan datang, saya harus berkata begini :

"Sebelum menjadi penulis, tentukan anda dari negeri mana. Kalau ibu bapa sering berpindah randah, tak mengapa. Anda pilih satu negeri dan katakan sahaja anda dari negeri tersebut. Supaya nanti, bila dicalonkan untuk anugerah penulisan negeri tak akan dipertikaikan orang."

Saya kecewa. Mengapa penulis masih terus mengkotak-kotakkan diri? Sudahlah kelompok sastera ini sebesar tungau. Masih lagi mahu berpecah-belah. Isu seremeh ini juga mahu diperbesarkan.

Bukankah saya pernah katakan dahulu.

Saya penulis. Noktah.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails