Ahad, Mac 06, 2005

Komunikasi Adat

Wacana Adat Perpatih yang pertama telah berlangsung sekitar bulan Januari yang lalu. Kali pertama wacana tersebut melibatkan orang luar sebagai panel pembaca. Hal tersebut memang disengajakan.

Temanya : Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat.

Saya fikir, ia suatu tajuk yang agak provokatif, terutama sekali kepada orang luar Negeri Sembilan ataupun orang luar lingkungan adat ini. Ia rangkai kata yang menakutkan!

Natijahnya, orang jadi takut untuk bernikah dengan gadis ataupun teruna Negeri Sembilan. Lebih-lebih lagi gadis negeri ini. Segala yang negatif, pastinya salah adat itu sendiri. Itulah mitosnya.

Panel pada hari tersebut ialah Dr. Rosli Saludin (UPSI), Prof. Rahman Shaari (UM) dan Dr. Razali Ayob (UPSI). Hanya Dr. Rosli sahaja anak jati Negeri Sembilan. Yang dua lagi bercakap sebagai orang luar Negeri Sembilan.

Dr. Razali bercakap tentang fobia orang luar NS tentang frasa ini. Ia benar-benar menakutkan orang luar kerana tidak memahami makna yang tersirat di sebalik kata-kata adat ini. Melihat secara literal ia seolah-olah, adat ini terlalu kejam, hingga anak sendiri pun hendak dibiarkan mati asalkan adat itu dipertahankan.

Namun, seringkali kita terlupa bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah berkata hal yang sama. Sabda baginda yang lebih kurang bermaksud : Kalaulah Fatimah sendiri yang melakukan jenayah (curi) nescaya akan aku potong tangannya.

Bagi saya frasa ini bermaksud, undang-undang tidak mengenal sesiapa. Nobody is above the law. Hatta anak sendiri. Undang-undang dalam konteks ini ialah undang-undang adat. Ada persamaan juga dengan undang-undang sivil yang menggunakan maksim Latin : Salus Populi Est Suprema Lex. Yang bermakna, kepentingan awam itu lebih tinggi (daripada kepentingan individu).

Oleh kerana orang yang melahirkan pepatah-petitih ini daripada golongan cendekiawan dan pemikir, maka mereka telah melihat dan merenungkan perkara ini dalam-dalam sebelum mengeluarkan frasa : Biar mati anak, jangan mati adat.

Seperti kata perbidalan :

Penakik pisau seraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terkembang dijadikan guru.

Masalah tidak faham adat ialah masalah komunikasi. Jurang generasi yang luas juga menambah beban untuk memahaminya. Yang muda tidak lagi datang bertanya pada yang tua tentang adat. Yang tua pula sudah kehabisan ikhtiar untuk menyampaikan kepada yang muda. Orang luar juga tidak datang bertanya kepada mereka yang arif. Mereka yang arif pula tidak pro-aktif menyebarkan adat ini dengan cara-cara promosi yang tertentu.

Tetapi insya-Allah, perkara ini akan berakhir. Usaha sedang kembali giat dijalankan di NS di bawah pimpinan yang baru ini. Alhamdulillah.

Prof. Rahman melihat dari sudut teori anjakan makna. Katanya, kalau sesuatu frasa itu boleh bertahan berzaman-zaman, ia mempunyai makna yang dalam. Ia masih terus digunakan. Itu yang berlaku pada frasa biar mati anak, jangan mati adat.

Satu lagi katanya, frasa ini juga menunjukkan kesungguhan dan sifatnya yang hiperbolik. Ertinya, ia sama seperti frasa yang mengatakan sanggup berenang ke lautan api ataupun kalau kering Selat Melaka barulah janji kita terlerai. Ini contoh-contoh frasa yang tidak boleh dilihat dari sudut literal semata-mata.

Seperti di dalam entri terdahulu, saya kongsi sekali lagi kata-kata adat di bawah.

Kata Adat banyak kiasan
Ditunjuk dia tetapi bukan
Bergulung pendek panjang direntang
Tak faham kalau tak direnungkan

II

Cerpen saya berjudul Fata Morgana Akhir Musim Yuda tersiar dalam Mingguan Malaysia hari ini.

Selamat membaca!

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails