Mencari pengguna kutub khanah

Terpesona dengan keindahan Perpustakaan Kuala Lumpur, Cawangan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI). Pertama kali sampai ke tempat ini. Ada ceramah penulisan kreatif anjuran perpustakaan ini kepada ahli-ahlinya. Suka dengan sikap pro-aktif perpustakaan ini yang sentiasa menghidupkan tempat ini dengan pelbagai aktiviti. Serentak, turut berlangsung kelas IT (hari ini mata pelajaran Pagemaker). Juga ada aktiviti untuk anak-anak.

Semua ini percuma untuk ahli!

Cemburu saya dengan kemudahan yang diberikan kepada warga TTDI. Kalaulah, rumah saya di sekitar itu, pastinya sayalah yang akan duduk di situ dari pagi hingga dihalau keluar. Perpustakaannya jauh sekali berbeza dengan perpustakaan negeri yang pernah saya lawati. Suasananya sangat kondusif untuk pembelajaran hatta untuk menulis sekali pun. Saya memang mencari tempat-tempat sebegini.

Sayang sekali, tempat ini jarang sekali mahu dimanfaatkan oleh anak-anak Melayu. Saya tertanya-tanya di mana mereka. Hampir tiada mereka di situ. Saya memasang prasangka baik, barangkali, pada hari yang lain merekalah yang memenuhi perpustakaan ini. Hari ini hari Sabtu, mungkin mereka juga ada aktiviti lain. Tapi takkanlah semuanya? Entahlah, harap-harap sangkaan saya tidaklah jauh benar tersasar.

Untuk kursus penulisan kreatif, peserta cuma perlu datang bawa badan, perut dan akal. Badan diperlukan untuk membawa perut dan akal. Perut diperlukan untuk mengisi makanan percuma yang disediakan. Akal diperlukan untuk... untuk apa ya? Hmm... fikir-fikirlah sendiri.

Tak ramai yang hadir, barangkali kerana ada aktiviti lain di sekolah dan lagipun hari ini Sabtu minggu kedua. Namun, saya tetap meneruskan bengkel. Saya tetap ada amanah untuk disampaikan kepada peserta yang hadir.

Dalam perjalanan pulang ke Seremban, saya singgah sebentar di Nilai 3. Hajat tu, nak cari buku-buku yang jarang jumpa / antik di Book Chest. Namun kali ini, tiada buku yang berkenan di hati. Tak mengapa, mungkin di lain kali. Sebelum meninggalkan Nilai 3 yang semakin bertambah pesat, sempat memerhatikan para pengunjungnya. Rata-rata orang Melayu yang menghantar sedekah wang ringgit ke sana. Berbas-bas yang datang, ada yang datang dengan rombongan. Tidak kurang yang datang secara persendirian.

Alhamdulillah, meningkatlah ekonomi Negeri Sembilan!

Entahlah, usah ikut sikap saya yang hanya membeli belah mengikut keperluan. Saya masuk hanya 5 minit dalam kedai kain baju. Tapi berjam-jam di kedai buku.

Ulasan

Catatan Popular