Rindu Pada Puteri Dayana

Semalam saya menerima panggilan rindu daripada "Puteri Dayana". Bukan, bukan Puteri Diana yang telah meninggal dunia tu. Penulis atau peminat sastera remaja sekitar akhir 80-an / awal 90-an yang mengulit Dewan Siswa pasti kenal dengan penulisnya.

Ya, beliau ialah Puteri Al-Insyirah Megat Sapeli - yang saya panggil dengan panggilan mesra - Kak Ira.

Kalau dahulu saya bertemu dengan Shaidah Shafie, kini saya menjalin rindu dengan penulis yang amat saya minati cerpennya.

Saya masih mengingati pertemuan pertama dengan Kak Ira. Ketika itu saya sampai buat julung kalinya ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebelum itu, saya cuma tahu menghantar karya ke DBP tetapi tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke sana. Majlis pada ketika itu ialah Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1991. Pada tahun tersebut, saya merupakan seorang daripada lima pemenang dan karya yang membawa saya ke sana ialah "Atlantis, Duniaku Duniamu".

Pertama kali bertemu dengan Kak Ira sudah benar-benar terasa mesra. Dia ramah memperkenalkan staf-staf DBP kepada kami pemenang-pemenang masih malu-malu. Terasa segan benar ketika itu bila dipanggil "penulis muda", padahal karya baru "seketul". Tetapi kehadiran Kak Ira di Bahagian Majalah membuatkan kami terasa selesa.

Apabila kami dibawa ke Unit Grafik (ketika itu masih ada Imuda & Sabri Yunus), Kak Ira membawakan saya untuk diperkenalkan kepada sdr Fazrul Arhan (yang telah banyak kali melukis ilustrasi untuk cerpen-cerpen saya "Di Sebalik Wajahmu, Aries" dan gambar kulit antologi "Atlantis, Duniaku Duniamu"). Gembira tak terkata. Kenangan bersama-sama Kak Ira banyak yang mesra dan meriah.

Lantas apabila panggilan telefon dari Norwich malam tadi, saya terkesima pada mulanya. Tak sangka beliau sanggup menelefon saya yang begitu jauh di sini. Saya sangka e-mel mungkin lebih mudah tetapi Kak Ira yang saya kenali memang lebih selesa berurusan secara langsung jika itu yang paling memudahkannya.

Seronok mendengar pengalamannya di luar negara. Kata Kak Ira, sebelum ini dia sekeluarga berada di Brighton sebelum berpindah ke Norwich. Kini sedang menunggu kehadiran cahaya mata yang kedua. Tahniah, Kak Ira!

Apa pun, saya mendoakan agar beliau terus ceria dan gembira. Paling penting, saya mengharapkan satu hari nanti Kak Ira akan mengumpul semua pengalaman beliau di luar negara sebagai bahan penulisannya. Selain merindui kemesraannya seperti juga saya juga amat merindui tulisan-tulisannya. Saya masih tidak lupakan "Puteri Dayana" (dan Putera Bermata Hijau), "Amanda Balqis, Inikah Perjuangan" dan "Di Pagar Rindu".

Tulisannya yang pelbagai rentak dan corak termasuk cerpen realistik, fantasi dan berlatarkan luar negara menjadi panduan bagi saya menulis cerpen-cerpen remaja pada ketika itu. Saya hafal hampir kesemua cerpen tulisannya.

Bagi saya, nama Puteri Al-Insyirah Megat Sapeli sebaris dengan Shaidah Shafie, Salina Ibrahim, Arfah Ahmad, Tuan Faridah Syed Abdullah, Hizairi Othman, Shamsudin Othman, Amaruszati Noor Rahim.

Saya tahu bahawa setiap penulis mempunyai keutamaan dalam hidup masing-masing. Tidak ramai yang mampu timbul sepanjang masa. Tetapi sekali sekala saya harap mereka akan timbul walaupun tidak secara tekal. Pengalaman setiap penulis itu wajar didokumentasikan.

Tetapi tiada siapa yang mampu menulisnya melainkan penulis itu sendiri. Rugi jika ada sesuatu yang baik tetapi tidak dicatat di mana-mana.

Seandainya Kak Ira mempunyai masa terluang, dan berminat untuk menulis blog, pastinya sayalah yang akan menjadi pembaca setia blog Kak Ira. Moga harapan kecil saya ini mendapat pertimbangan di hatinya.

Terima kasih Kak Ira kerana menjadi pembaca senyap catatan saya di sini.

Tidak lupa juga pada pembaca senyap yang lain. Kalau tidak tinggalkan pesanan di mana-mana di buku tamu, catatan sisi ataupun e-mel, saya tidak tahu bahawa anda pernah sampai ke sini.

Namun, singgahan anda semua tetap saya hargai.

Terima kasih segunung intan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Hai Assalamualaikum. Ape ye harus saya mulakan. Erm saye sebenarnye baru sahaja terbaca blog ini setelah lame saya mencari Putri Al Insyirah Megat Sapeli. Tak sangka akan terjumpa di sini. Seronok nye.Amanda Balqis, mancari sinar yang dikumpulkan dalam 1 antologi(Amanda Balqis) oleh Othman Puteh. Aduh seronoknye membaca antologi2 itu. Saya memang mencari si penulis tapi tak tahu bagaimana dan di mana. Banyak yang ingin saya tanyakan kepada beliau, bagaimana ye idea seperti itu boleh muncul.Bertahun tahun lamenye saya mencari cerita dan berita tentang nye. Ingin sekali saya kenal beliau dengan leih rapat. Sampaikan salam saya padanye ye, unntuk anda juga, selamat berkenalan.

Wan, juz2say@yahoo.com

Catatan Popular