Jumaat, Mac 11, 2005

Temu Ramah - Sastera Wajib di IPT ?

Saya ditemuramah oleh seorang wakil Bernama baru-baru ini, inginkan pendapat saya sekiranya Sastera wajar diwajibkan di IPT.

Subjek kesusasteraan Melayu ada diajar di peringkat menengah atas dan pernah dicadangkan untuk dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi. Tetapi subjek ini sendiri didapati amat kurang di IPTA seluruh Malaysia sendiri. Sebagai Contoh, UiTM, UIA dan KUSTEM tiada langsung subjek atau kursus Kesusasteraan Melayu. Sedangkan dahulunya subjek ini penting untuk mendapat pekerjaan dan menjadi tunggak perjuangan kemerdekaan.

a) Justeru, apakah pendapat saudara mengenai senario ini?

Kalau kita boleh mewajibkan Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara (TITAS) di universiti-universiti tertentu, tidak mustahil kesusasteraan Melayu boleh diterapkan melalui kursus-kursus sebegini. Mungkin untuk peringkat permulaan, ia wajar diserap ke dalam mata pelajaran wajib sedia ada, seperti TITAS.

b) Apakah pandangan saudara jika subjek atau kursus ini diwajibkan di kesemua IPTA di seluruh Malaysia sama ada salah satu subjek minor/major atau ada fakultinya sendiri atau diwajibkan kesemua pelajar mempelajarinya?

Itu lebih baik. Ada nanti, pakar-pakar sains yang boleh menulis dalam bentuk kreatif seperti Dr. Rahmat Haroun, seorang doktor perubatan yang menulis novel. Bila ada kefahaman dalam seni dan sastera ini, peluang-peluang kerja juga boleh dipelbagaikan. Bukan sahaja kita akan ada penulis yang pakar dalam disiplin tertentu, malah mereka ini dapat memberikan variasi dalam tulisan hatta sastera Melayu sendiri.

Sebagai contoh, sekiranya ada pelajar yang major dalam Mechanical Engineering dan dalam masa yang sama minor dalam Sastera. Dia belajar tentang penulisan skrip dan pementasan teater. Jadi dengan kemahiran teknikalnya, dia boleh membantu dalam pementasan tersebut walaupun bukan sebagai penulis skrip, pelakon ataupun pengarah. Dia akan menjadi pengarah teknikal, misalnya, yang faham dengan kehendak pengarah, pelakon dan penulis skrip. Dia boleh mencipta atau mengubah suai alat-alat tertentu untuk keperluan pementasan teater tersebut.

c)Apa pandangan saudara mengenai keperluannya untuk warga Malaysia kini dan masa depan?

Kebolehan ini nanti akan menjadikan warga Malaysia yang lebih mantap pemikirannya. Tidaklah terlalu exam-oriented. Mereka ada pelbagai cabang ilmu yang boleh memanfaatkan ilmu-ilmu yang telah dipelajari. Mereka akan jadi kreatif dan dapat mencipta kerjaya berbanding mencari kerja yang sesuai dengan ijazah yang diperolehi.

Warga Malaysia akan menjadi lebih dinamik, berdaya saing dan dalam pemikirannya.

ps: Jika sdr ada sebarang cadangan, bolehlah dikemukan.

Sastera itu milik semua. Ia tidak boleh berdiri sebagai satu jurusan yang tunggal kerana yang lahir nanti hanyalah penulis (yang tidak pasti bagaimana bentuk kerjayanya) ataupun pensyarah dalam bidang yang sama. Pensyarah hanya akan menghasilkan lebih banyak pelajar sastera yang akan meneruskan kitaran yang sama.

Pendapat anda?

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails