Kerinduan Menjadi Guru

Cita-cita asal saya ialah menjadi guru. Saya sangat suka bercakap di hadapan kelas. Saya gemar mengambil bahagian setiap kali ada acara syarahan, debat dan yang seumpama dengannya. Tak kira sama ada dalam Bahasa Melayu ataupun Inggeris. Seronoknya bukan main!

Namun cita-cita kita dan rencana kita tentunya tidak sama dengan rencana Tuhan. Menjadi peguam bukanlah 'cinta pertama' saya. Oleh kerana laluan akademik telah menjurus ke situ, saya pun teruskan sahaja. Tidak banyak berbeza menjadi guru dan menjadi peguam. Kedua-duanya memerlukan audiens.

Menjadi guru, audiens ramai. Menjadi peguam bela di mahkamah, audiens cuma seorang - iaitu hakim.

Menjadi guru, anak murid mungkin nakal-nakal. Menjadi peguam, hakim ialah pendengar yang setia. Sanggup menulis apa sahaja yang terkeluar daripada mulut peguam. Kalau tak dapat catat, dia akan bertanya. Bukankah hakim itu menjadi 'murid' terbaik saya?

Malam tadi, bermula tugas saya sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya PLKN di Kem Ulu Pari, Rembau. Saya diberikan hampir 50 orang anak didik. Kesemuanya keletah, ceria dan menawarkan banyak cabaran. Teringat saya ketika bertugas sebaga guru sementara di SK St. Paul Seremban, sebelum masuk matrikulasi Undang-undang.

Saya cuma ada 6 hari (5 hari latihan, malam terakhir persembahan) untuk menjadi kumpulan ini memahami asas-asas puisi dan menjinak-jinakkan diri dengan dunia sastera. Matlamatnya dalam jangkamasa terdekat ialah mementaskan sebuah persembahan yang menggabungkan elemen-elemen gerak kreatif, seni suara, lakon, deklamasi puisi dan muzik. Mereka perlu kreatifkan pemikiran kerana alat-alat bantuan hanyalah apa sahaja yang boleh diperolehi di sekitar kem.

Malam tadi baru pengenalan dan membahagikan kumpulan. Dalam kumpulan mereka perlu mencari nama, serta melantik AJK kumpulan. Kumpulan kali ini agak sukar untuk bekerjasama dalam satu pasukan kerana mereka baru sebulan sahaja menjalani kursus PLKN. Berbanding dengan kumpulan sebelum ini, Sastera masuk pada bahagian hujung PLKN, iaitu ketika mereka tinggal seminggu lebih sahaja untuk menamatkan kursus ini.

Sememangnya sastera tidak dapat dihayati dalam tempoh 2 jam selama 6 malam, apatah lagi untuk menterjemahkannya. Namun, usaha dan peluang yang diberikan kepada penggiat seni dan sastera ini tidak harus dipersia-siakan oleh para fasilitator. Sastera telah diberi tempat di sini, saya tetap optimis. Kalau pun tidak kesemua 341 peserta itu dapat menghayatinya, setidak-tidaknya 10 orang dapat membawa pulang sesuatu pun, sudah boleh dianggap saya kejayaan. Paling penting ialah keikhlasan mengajar dan menerima ajaran. Mudah-mudahan saya terus diberi kekuatan untuk menghadapi mereka lagi untuk malam-malam seterusnya.

Ulasan

Catatan Popular