Lagi Tentang Melayu

Ramai juga yang memberi respons pada entri saya yang lalu. Terima kasih.

Apabila sdr Rem menyebut tentang siapakah Melayu sebenarnya, saya teringat pada puisi Usman Awang yang berjudul "Melayu".

Berikut petikannya :

"Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mualaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu).
Dalam sejarah
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan."

"Melayu"
Usman Awang
27 Oktober 1996
Mingguan Malaysia.


Saya bukanlah cauvanis Melayu. Namun sejauh mana kita terbang ke langit globalisasi, kita harus kembali ke akar peribadi. Sudah terlalu ramai yang lupa diri.

Ada juga saya terima respon peribadi ke kantung e-mel saya. Ringkasnya, ada seorang pembaca yang menyuarakan bahawa Bahasa Melayu masih lagi belum menjadi bahasa ilmu.

Komen saya : Ya, benar. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa ilmu. Ketika zaman kegemilangan Melaka. Ketika itu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menjadi bukti bahawa ilmu undang-undang sudah didokumentasikan. Ketika itu, Eropah baru sahaja keluar dari zaman gelap.

Namun, usah terlalu lama menatap pintu sejarah yang sudah lama tertutup itu. Itu sejarah. Kita perlu hadapi realiti hari ini. Bahasa Melayu sudah semakin digagalkan daripada menjadi bahasa ilmu.

Mungkin ada yang berkata. Mengapa bahasa Jepun, bahasa Jerman boleh menjadi bahasa ilmu sedangkan penuturnya hanya sekitar kepulauan Jepun dan orang-orang Jerman sahaja. Tetapi ia boleh menjadi bahasa ilmu.

Cuba fikir : untuk menjadikan Bahasa Melayu itu bahasa ilmu, orang Melayu pertama-tamanya mestilah menguasai satu bidang ilmu. Setakat hari ini, apakah bidang yang mampu dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu secara 100%. Belum ada. Hatta tulisan jawi pun sudah dikuasai lagi oleh orang Melayu. Tulisan jawi hari ini pun sudah layak dimuziumkan.

Apabila sudah ada golongan Melayu yang menguasai mana-mana bidang ilmu, langkah seterusnya ialah menulis buku-buku dalam bahasa Melayu. Cerdik-cerdik pandai yang telah dihantar belajar ke luar negara itu apabila pulang mestilah diberi kemudahan untuk menerbitkan karya. Apabila banyak karya dalam bahasa Melayu, barulah bahasa ini perlahan-lahan mampu menjadi bahasa ilmu.

Tidak dinafikan bahawa pihak berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan ratusan judul buku-buku ilmiah dalam Bahasa Melayu, namun itu sahaja tidak memadai sekiranya edaran dan pemasarannya amat terhad. Sekarang saya sedang memerhatikan sebuah lagi syarikat Melayu - PTS Publication. Ia nampaknya cenderung untuk menerbitkan buku-buku ilmu dan pasarannya agak luas. Buku-buku PTS sudah boleh ditemui hampir di setiap kedai buku utama di Malaysia. Sebagai orang Melayu, kita harus berbangga. Bukannya mencemuh.

Utusan Publication turut menerbitkan karya yang berkualiti tetapi masih mengalami masalah edaran buku. Novel Mencari Locus Standi saya bukan semua kedai menjualnya, sebab itu saya ambil keputusan jual sendiri. Lebih berpuas hati.

Akhir sekali, apabila orang Melayu itu berinovasi dan kreatif ditambah pula dengan modal yang banyak, kemudian ada satu atau lebih cabang ilmu yang dikuasai, tulis bahan tersebut bukan sahaja dalam Bahasa Melayu tetapi dalam versi jawi juga. Kalau boleh biar dalam versi jawi sahaja. Barulah orang luar kelam kabut hendak belajar jawi. Kalau tak boleh baca, takkan dapat ilmunya.

Mungkin nampak idea ini sedikit gila, tetapi itulah hakikatnya bila kita sendiri berkuasa untuk menentukan bahasa apa yang boleh digunakan oleh ilmu yang kita ada. Kalau saya ada duit lebih saya juga mahu menerbitkan karya demikian. Tak laku tak mengapa. Itu duit saya. Tapi percayalah, kalau ilmu itu baik, tercampak dalam bahasa apa sekalipun, ia akan hidup subur.

Itulah yang berlaku di Jepun dan Jerman, kedua-dua JJ ini menguasai teknologi. Jerman teknologi yang berkualiti, Jepun teknologi yang murah dan produk mesti ditukar dalam tempoh tidak sampai 5 tahun. Mahu belajar teknologi mereka? Belajar dulu bahasa mereka. Itu syaratnya.

Di Malaysia, teknologi apa yang kita ada? Buat jarum pun belum boleh saya kira. Saya bukannya mahu merendah-rendahkan bangsa sendiri. Tetapi saya mahu timbulkan kesedaran. Memang saya pun tak boleh buat jarum tetapi kekuatan kita yang ahli bahasa ini ialah pada bahasanya. Kita teguhkan bahasa supaya keyakinan terhadap Bahasa Melayu ini makin tumbuh subur.

Apabila akar jati diri ini kukuh, anak-anak kita walau tercampak di sudut dunia mana sekalipun, tidak akan lupa siapa dirinya.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
(qUOTE) Ya, benar. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa ilmu. Ketika zaman kegemilangan Melaka. Ketika itu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menjadi bukti bahawa ilmu undang-undang sudah didokumentasikan. Ketika itu, Eropah baru sahaja keluar dari zaman gelap.

Namun, usah terlalu lama menatap pintu sejarah yang sudah lama tertutup itu. Itu sejarah. Kita perlu hadapi realiti hari ini. Bahasa Melayu sudah semakin digagalkan daripada menjadi bahasa ilmu.

SOKONG!!!!!!!!!!!!
Kak kiah berkata…
assalamualaikum, saudari hanisah,

ingin berkongsi dan berguru dengan anda. minta tunjuk ajar berkaitan undang-undang dan yang berkaitan dengannya. kalo akak tak keberatan.

almaklum. budak baru belajar.
harap sudi menjadi guru saya.

email me: kodok78@gmail.com



dari pelajar Legal Studies di UITM.

Catatan Popular