Deklarasi Penghujung Benua

Sudah lama catatan ini tertangguh. Sejak pulang dari Penghujung Benua @ Tg. Piai, belum sempat menulis tentang Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005.


:I:

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, malah lebih baik daripada yang diharapkan oleh pihak urus setia, saya kira. Secara keseluruhan, saya melihat perhimpunan ini sebagai satu proses penyerahan tanggungjawab menguruskan sastera dan penulisan kepada penulis muda oleh penulis mapan. Ia satu proses yang licin.

Peribadi, saya sangat terharu dengan apa yang berlaku. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Oleh itu, ketika yang berdiri untuk kali terakhir sewaktu dialog dengan tokoh-tokoh mapan - Dato' Baha Zain, Prof. Dr. Awang Sariyan, Tn. Hj Abdul Rahman Yusuf (Pengarah, Jabatan Sastera, DBP) dan dipengerusikan pula oleh Tn. Hj. Ismail Zam Zam; ucapan ringkas saya jadi berbaur dalam seribu macam perasaan.

Getar dan desah suara saya menjadi sukar untuk dikawal. Sebak pula datang menerjah. Diri yang sebelum ini tenang tiba-tiba diselubungi rasa terharu yang tidak mudah dibuang begitu sahaja.

Setelah 2 hari berhimpun di Tg Piai, saya telah nampak hala tuju penulis muda hari ini. Masih ada sesuatu yang boleh diperjuangkan, biarpun kita telah lama merdeka. Masih ada sesuatu yang menuntut perhatian dan iltizam kami penulis muda Malaysia. Dan, penyertaan penulis mapan, seperti Dato' Baha dan teman-temannya, dilihat seperti sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kami penulis-penulis muda.

Pelayaran ke lautan sastera ini tetap akan diteruskan, cuma nakhodanya kini dalam proses untuk belajar menguruskan kapal yang semakin terumbang-ambing diterjah ombak permodenan dan globalisasi. Ini bukan kisah penulis muda merampas kuasa. Ini bukan kisah penulis muda gilakan tampuk pentadbiran dan persatuan.

Ini kisah amanat dan perjuangan yang diturunkan secara perlahan-lahan, penuh simbolik kepada penulis muda. Tanpa kata-kata, seolah-olah penulis mapan ini bersuara, "Nah, masa kami telah tiba. Sekarang semuanya ditangan kamu semua. Pimpinlah bahtera ini sebaiknya. Kami hanya akan memerhatikannya. Kami masih ada di sini tetapi tanggungjawab dan bebanan indah ini telah kami wariskan kepada kalian."

Itu yang membuatkan saya merasa sebak. Terharu. Seluruh kepercayaan yang diberikan kepada penulis muda ini, belum pernah lagi kami rasai sebelum ini.

Trust is to be earned. Dan kami telah pun mengusahakan sebaik mungkin untuk mendapat dan menerima kepercayaan ini.

Oleh itu, dalam ucapan ringkas saya pada petang selepas forum bersama-sama dengan tokoh yang saya sebutkan, saya mohon kepada hadirin supaya berdiri dan memberikan tepukan penghargaan kepada wakil penulis mapan yang membarisi panel forum yang baru sahaja berlangsung. Alhamdulillah, semua berdiri memberikan standing ovation kepada mereka.

Ini penting kerana selama ini, pergeseran antara penulis muda dan mapan agak kerap berlaku. Tetapi belum ada satu bentuk penghargaan terbuka yang diberikan oleh setiap pihak. Penulis mapan telah memberikan kepercayaan kepada penulis muda menguruskan program ini.

Kepercayaan yang total. Ia satu bentuk penghargaan yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Oleh itu, secara simbolik dan tidak dirancang, saya memohon kepada audiens supaya berdiri dan mengucapkan terima kasih ini dengan tepukan gemuruh kerana cara itu lebih diingati daripada kata-kata sahaja.

Sepanjang 2 hari berseminar dan tidak kurang daripada 20 kertas kerja dibentangkan. Turut dilancarkan juga 2 antologi - sebuah antologi karya sasterawan 2005 dan sebuah antologi esei.

Semuanya hasil tulisan penulis muda. Turut dibukukan juga prosiding perhimpunan ini. Semua kertas kerja yang dibentangkan telah dibukukan lebih awal. Dengan cara ini, ada dokumentasi yang agak lengkap tentang aktiviti penulisan penulis muda dengan cara yang sistematik.

Sesungguhnya PPMN '05 ialah satu rakaman sejarah. Bumi Kukup dan Tg Piai menyaksikan satu perhimpunan yang berjaya, dan memberi ruang dan platform kepada penulis muda untuk bersuara. Ia memang satu majlis untuk penulis muda. Tahniah kepada pihak urus setia yang bertungkus lumus memastikan PPMN ini menjadi satu kenyataan.

:II:

Saya pula, akhirnya memilih untuk memandu ke Kukup. Alhamdulillah, pilihan yang agak tepat juga. Seronok dapat memandu. Saya keluar dari Simpang Renggam dan terus ke arah Benut dan seterusnya Pontian Kechil. Agak mudah kiranya, mencari Kukup Golf Resort.

Saya sempat mengikuti pembentangan kertas kerja yang pertama walaupun tiba lewat (sekitar jam 4 petang). Rupa-rupanya bas dari Rumah PENA juga tiba lewat kerana ada masalah di jalanan. Majlis yang sepatutnya bermula jam 3 petang, terpaksa ditunda sedikit. Jadi sempatlah saya mengikuti pembentangan tersebut.

Malamnya, ada acara perasmian dan pelancaran buku - Antologi Karya Sasterawan 2005 dan Antologi Esei.

Esoknya, saya bentang kertas kerja berjudul "Penglibatan Golongan Professional Dalam
Penulisan Kreatif". Dua sesi pembentangan berjalan serentak.

Petangnya, kami semua ke Taman Negara Tg. Piai. Akhirnya, saya sampai ke Penghujung Tanah Besar Asia.

Malamnya, Majlis makan malam di Tg. Piai Resort. Makan atas air dengan dihembus angin
malam.

Esoknya, sesi bersama editor pada sebelah pagi dan tengah hari, 3 sesi pembentangan kertas kerja serentak. Petang ada forum sebagai acara terakhir.

Malamnya, majlis penutup. Disempurnakan oleh ADUN Kukup.

Keesokkannya, peserta pulang. Saya memilih untuk tidak mengikuti lebuh raya. Saya ikut jalan lama. Dari Kukup - Pontian - Batu Pahat - Muar (sempat makan mee bandung Muar yang lazat) - Jasin - masuk lebuh raya hingga Alor Gajah - Tampin - Rembau - jalan pintas ke Kuala Pilah (hantar seorang ahli PEN - Rozita Latiff) - Seremban.

Satu perjalanan yang panjang, tetapi banyak makna dan dalam pengertiannya. Kata pujangga, bukanlah destinasi yang menjadi penting tetapi dengan menghayati sebuah perjalanan ini lebih banyak yang boleh diteladani.

Semoga Resolusi yang berjaya dikumpul sepanjang perhimpunan ini berjaya direalisasikan, insya-Allah...

Ulasan

Catatan Popular