Melodi Remaja Millenium

Boleh dikatakan semua orang sukakan muzik. Jiwa manusia mudah dibuai alunan melodi yang indah-indah. Atas alasan itu juga ada sesetengah pendapat yang terus mengharamkan muzik kerana ia terlalu mudah untuk melalaikan jiwa-jiwa yang rapuh.

Namun Faisal Tehrai cuba mengubah persepsi tersebut. Lewat karya terbarunya, Advencer Si Peniup Ney, Faisal memberi satu perspektif baru tentang seni muzik dalam Islam yang jarang diperkatakan. Selagi muzik atau apa sahaja tindakan manusia masih berlandaskan kerana-Nya, selagi itulah ia dianggap sebagai satu bentuk ibadah.

Ooops! Tapi usah tersasar. Tulisan Faisal ataupun tulisan saya ini tidak bermakna, sesiapa sahaja boleh tergedik-gedik di atas pentas menayangkan bahagian-bahagian yang sepatutnya menjadi aurat, kemudian menyatakan niat seseorang itu 'melalak-lalak' hanyalah kerana Allah. Maka dia pun menganggap itu satu ibadah.

Niat tidak pernah menghalalkan cara. Itu cuma kata-kata Nichollo Macheavelli.

Untuk lebih memahami konsep muzik dalam Islam, silalah baca buku terbaru Faisal ini - Advencer Si Peniup Ney. Kalau masih tak boleh ditemui di MPH, Kinokuniya ataupun mana-mana kedai mamak, datanglah ke http://www.ujanailmu.com.my/. Kami telah lama mengadakan jualan prapelancaran. Sambutannya, alhamdulillah amat menggalakkan.


************


Dua hari lalu saya dilantik menjadi hakim.
Bukan, saya bukan hakim wanita pertama di mahkamah. Malah tak pernah mohon pun. Saya menjadi hakim sayembara puisi tradisional Negeri Sembilan. Saya telah diminta menghakimi kategori syair.

Seramai hampir 40 orang peserta seluruh sekolah NS mengambil bahagian. Namun agak ironi, saya tidak menemui ramai peserta wanita yang benar-benar boleh melagukan syair dengan merdu serta dengan patah lagu dan nada syair yang betul. Sedangkan, mengikut syarat penyertaan, syair mestilah dilagukan mengikut irama Selendang Delima - irama yang agak popular dan piawai bagi melagukan syair.

Adakah juga ironi jika saya katakan pemenang tempat pertama (kategori sekolah menengah) dimenangi oleh peserta lelaki dari SMK Pendeta Za'ba, Seremban. Tetapi dia benar-benar boleh melagukan syair tersebut dengan irama yang dikehendaki.

Sekadar pengetahuan, syair boleh dilagukan dengan beberapa irama, mengikut daerah popularitinya lagu-lagu tersebut. Irama yang selalu kita dengar (dulu-dulu dalam radio) ialah irama Selendang Delima. Tetapi turut biasa dilagukan juga ialah irama Siti Zubaidah, irama Janda Berhias dan irama Bunga Setaman. Malah ada banyak lagi jenis lagu syair, itu belum masuk dari Pahang, Sabah dan Sarawak.

Semasa persembahan selingan, sempat saya lagukan beberapa rangkap syair dengan irama Siti Zubaidah. Sebagai penutup saya sampaikan gurindam yang bertemakan sayembara ini. Sengaja saya mahu perdengarkan (kehebatan suara ini???). Ohh.. tidaklah. Jauh sama sekali. Suara milik Allah ini bukan sengaja mahu dialun-alunkan. Tetapi tradisi bangsa tidak wajar luput hanya kerana generasi masa kini tidak lagi menghargai puisi-puisi lama.

Turut dipertandingkan pengucapan teromba dan deklamasi sajak.

Teromba bukanlah sesuatu yang biasa didengar. Jangan katakan orang luar Negeri Sembilan tidak pernah mendengar teromba, orang NS sendiri pun ada yang tidak pernah mendengar teromba dibacakan. Alhamdulillah, apabila pertandingan ini diadakan, saya gembira dan bersyukur, masih ada lagi anak-anak muda yang sedar akan akar budayanya. Masih lagi tahu di bumi mana dia berpijak. Bukan mudah mengucap teromba. Ia sekadar popular di kalangan tokoh-tokoh adat. Namun apabila ia dipertandingkan, mulalah kemahiran ini semakin menular di kalangan pelajar-pelajar sekolah @ anak-anak muda.

Satu lagi kategori yang dipertandingankan ialah irama Malaysia. Sejujurnya, saya tidak bersetuju kategori ini diwujudkan. Ini disebabkan lagu-lagu irama Malaysia tidak termasuk dalam kategori Puisi Tradisional. Sepatutnya, ia dipertandingkan dalam majlis yang berasingan.
Namun, itu kehendak penganjur. PEN yang sepatutnya jadi sebahagian daripada penganjur juga lenyap di atas buku cenderamata, latar pentas dan di mana-mana di kawasan pertandingan. Tapi malaslah, nak fikir hal-hal sebegini.

Mungkin ramailah yang seronok menonton anak-anak dara, dara sunti, yang bertudung, tak bertudung melenggang-lenggok di atas pentas atas nama seni. Lagipun, apa erti tudung pada remaja hari ini? Ada yang mengenakan atas nama fesyen semata ataupun sekadar taqlid.
Benarlah, sorakan seringkali gemuruh bila si manis jelita melontarkan suara sambil menghayun punggung dan dada. Mungkin Inul tidak diperlukan di Malaysia, di sini sahaja sudah tumbuh bagaikan cendewan busut.

Guru-guru pun diarahkan untuk menggalakkan mereka. Kalau sekolah-sekolah agama boleh memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam kategori nyanyian ini, kasihan... sekolah-sekolah lain seakan-akan terpaksa (tetapi suka) untuk mengambil bahagian.

Ah... bukankah Malaysia ini negara demokrasi!

Ulasan

Catatan Popular