Penulis Non-Sastera Melayu

Baru-baru ini saya diminta menulis tentang penulis fiksyen Inggeris tempatan. Saya terima sebagai satu cabaran. Apatah lagi, tidak ramai penulis sastera @ fiksyen Inggeris yang saya kenali secara peribadi.

Bagi saya, inilah peluang untuk saya berkenalan dengan mereka, menyusur desah dan rasa yang mereka alami. Mereka merasakan mereka agak terpinggir daripada arus perdana sastera. Oleh itu, mereka terpaksa berusaha keras untuk mendapat sebarang bentuk pengiktirafan. Malah mereka harus berusaha untuk memastikan karya mereka dapat diterbitkan terlebih dahulu.

Memang sukar bagi mereka untuk menerbitkan karya kerana tidak banyak penerbit yang mahu menerbitkan karya fiksyen Inggeris seperti novel. Apatah lagi antologi cerpen dan puisi. Kalau ada pun, yang semakin terkenal kini ialah Silverfish Books dan Pelanduk Publications. Namun jumlah pembaca mereka juga terhad. Ini menyebabkan karya sukar untuk dijual.

Dilema ini tidak banyak berbeza dengan penulis sastera Melayu. Saya menggunakan perkataan "sastera" kerana karya sastera ada beza dengan karya ringan hatta yang bersifat picisan sekalipun. Masih tidak ramai pembaca yang mahukan karya 'berfikir'. Mereka masih dahagakan karya yang senang dibaca, tidak perlu diberi taakulan dan kalau boleh lebih lucah lebih baik.

Kini saya telah mula mengenali beberapa penulis yang aktif menghasilkan karya dalam Bahasa Inggeris. Mereka sangat terbuka dalam menerima penulis Bahasa Melayu. (Sekurang-kurangnya mereka yang sempat saya wawancara.) Mereka tidak menganggap ada jurang pemisah bagi penulis dalam bahasa apa sekalipun. Yang penting sikap hormat menghormati.

Bayangkan, mereka tidak ada wadah yang banyak untuk menerbitkan karya. Apatah lagi sayembara untuk mereka cari sebarang pengiktirafan. Mereka juga harus bersaing dengan masyarakat penulis antarabangsa jika mahu menggapai anugerah seperti Commonwealth Writers Awards, dan sebagainya.

Mereka jadikan Rani Manicka (pemenang Commonwealth Writers Awards 2003) dan Tash Aw (yang baru-baru ini menjadi jutawan kerana menulis novel The Harmony Silk Factory) sebagai kayu ukur. Kedua-duanya rakyat Malaysia. Tentulah ada rasa bangga yang bercambah di hati.

Tetapi Rani dan Tash tidak menetap di Malaysia. Mereka tinggal di England dan ini memungkin mereka berdua mendapat kemudahan menerbitkan karya dalam Bahasa Inggeris berbanding penulis sastera Inggeris tempatan. Apakah tanggapan ini benar?

Namun mereka harus bersaing dengan menghasilkan karya yang berkualiti hingga layak untuk diterbitkan di luar negara. Ataupun itu sahajalah peluang yang mereka ada.

Apapun, karya yang berkualiti akan lebih mudah dikesani. Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Penulis sastera Melayu kaya dengan anugerah tetapi masih ramai yang mahu menulis untuk pulangan RM berbanding mereka yang menghasilkan karya yang boleh dibanggakan oleh tamadun Melayu zaman ini.

Ulasan

Catatan Popular