Khamis, Jun 02, 2005

WACANA NOVEL REMAJA UTUSAN 2005

Berita baik untuk yang berminat menjadi novelis. Mari belajar tulis novel yang baik melalui wacana novel anjuran Kumpulan Utusan. Butirannya seperti berikut :

Novel remaja merupakan salah satu kategori yang dipertandingkan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ke-20 yang majlis penyampaiannya akan dilaksanakan pada 15 Jun depan. Hadiah-hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM6,000 menanti pemenang tempat pertama, RM4,000 tempat kedua dan RM3,000 tempat ketiga.

Kumpulan Utusan amat berbangga menjadi antara badan penting yang mendokumenkan hasil karya penulis-penulis tempatan bagi menjadi wadah seni sastera untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

Untuk menghasilkan novel remaja yang baik, ciri-ciri yang membentuk komposisi sebuah karya sastera bermutu perlu dihadirkan.

Bagi menghalusi perkara ini, pihak Utusan Publications & Distibutors Sdn Bhd dengan kerjasama Kumpulan Utusan akan menganjurkan Wacana Novel Remaja yang bertujuan memberi rangsangan ke arah penghasilan novel remaja yang bermutu, iaitu mengandungi nilai sastera yang tinggi serta menghiburkan.

Wacana sehari tersebut akan diadakan pada Sabtu, 18 Jun 2005, bertempat di Hotel Istana, Jalan Raja Chulan dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Bayaran penyertaan yang dikenakan ialah RM100 termasuk kertas kerja, minum pagi, makan tengah hari berserta minum petang.

Tahun ini merupakan tahun kelima penganjuran bengkel ini, yang mana pada tahun ini empat ahli panel terkemuka telah dijemput bagi membentangkan kertas kerja melalui empat segmen, berbanding tiga pada tahun sebelumnya. Mereka ialah Profesor Dr. Uthman el-Muhammady yang akan membincangkan tentang "Falsafah Seni ", Dr. Sidek Fadzil, "Pemikiran dan Jati Diri: Penghadirannya dalam Pengkaryaan"; Encik Mohammad Saleeh Rahamad, "Strategi Bahasa dalam Penulisan Novel Remaja"; dan Puan Nor Azah Abd Aziz, "Kenapa Sesebuah Karya Terpilih atau Tertolak?"

Wacana sebegini bertujuan membantu para penulis mempertajam kebolehan dan ilmu dalam bidang penulisan, sekali gus memperkukuh kredibiliti dalam mengungguli mutu karya sastera tanah air. Kepada yang berminat untuk menyertainya sila berhubung dengan Puan Nor Azah Abd Aziz atau Puan Nik Anura di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd di talian 03-92856577.

** Daftar segera, tempat terhad.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails