2006 : 20 Tahun MPR

Percaya atau tidak, Minggu Penulis Remaja (MPR) akan berusia 20 tahun pada tahun hadapan. Masih terasa seperti semalam, apabila Minggu Remaja (nama asalnya) diperkenalkan sekitar pertengahan 80-an. Ketika itu, sudah ada nama-nama yang telah membina jati diri dalam penulisan seperti Hizairi Othman, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Arfah Ahmad, Amaruszati Noor Rahim dan sebagainya.

Sempena 20 tahun MPR, khabarnya pihak DBP akan mengadakan acara besar. Besar mana tu tak tahulah lagi. Apatah lagi, ia serentak dengan perayaan 50 tahun DBP pada tahun hadapan. Insya-Allah akan ada acara khas untuk mantan MPR.

Sehubungan dengan itu, Sabtu lepas, adik-adik MPR telah menganjurkan bicara karya 4 puteri MPR - Kamariah Kamaruddin, Amaruszati Noor Rahim, Maharam Mamat dan Salina Ibrahim. Pada sebelah petangnya pula diadakan mesyuarat tidak rasmi tentang masa depan dan pucuk pimpinan MPR.

MPR sewaktu ada Hizairi dulu, lain hala tujunya. Maklumlah Hizairi sangat komited dengan usaha menaiktaraf MPR dan MPR menjadi satu brand name yang agak besar pada ketika itu. Tetapi setelah kehilangan beliau, Faisal pula tidak berada dalam negara dan AJK lain ada komitmen masing-masing, MPR dilihat seolah-olah terbiar tanpa kemudi.

Banyak suara-suara sumbang yang timbul.

Namun perbincangan kami pada petang Sabtu lepas jelas menunjukkan bahawa MPR bukanlah satu badan persatuan. Kita sudah ada banyak persatuan penulis. Tidak perlu lagi ada sebuah badan yang lebih kurang sama. Jadi diputuskan juga bahawa MPR tidak perlu ada sebarang ketua yang bergelar Presiden, Pengerusi atau sebagainya. Sesiapa sahaja boleh menjadi wakil MPR dan setiap mantan MPR itu sama sahaja tarafnya.

Sebelum ini pun pihak pengurusan DBP sudah selesa berurusan dengan Faisal dan Salina. Mereka sudah pun dianggap wakil yang senang untuk berurusan. Kini kemunculan adik-adik baru seperti Ida Munira and the gang (Ghafirah, Fahd, Nimoiz dll) banyak membantu. Mereka telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja mantan MPR boleh membentuk jawatankuasa sendiri dengan kertas kerja sendiri dan boleh menjayakan apa-apa projek. Jika tak tahu, bertanyalah pada yang tahu.

Masalah yang wujud barangkali, ialah adanya jurang antara setiap batch MPR. Ada sesetengah batch yang tidak ada hubungan dengan batch tahun yang lain. Itu bukan masalah MPR secara amnya, itu masalah individu yang tidak bijak berurusan dengan individu lain. Pendek kata, kurang pandai buat PR lah! Kalau tak segan bertanya, berkenalan dan sebagainya, banyak perkara yang dapat diselesaikan.

Cara mana hendak berhubung, itu tak susah. Teknologi sekarang canggih-canggih belaka. Selain penulis yang ada blog sendiri, MPR juga boleh ada e-group sendiri ataupun berhubungan secara SMS. Akhirnya nanti, kita bukan sekadar berhubungan kerana kita sesama Mantan MPR tetapi kerana kita semuanya teman-teman penulis.

Sebagai mantan MPR juga kita bebas untuk masuk mana-mana persatuan penulis, tidak semestinya jadi mantan MPR sahaja. Tidak semestinya menerbitkan karya dengan DBP sahaja. DBP telah mengeluarkan belanja yang besar untuk menjalankan MPR, setidak-tidaknya kita balaslah jasa mereka itu dengan menulis dan menghasilkan karya yang bermutu.

OK, cukuplah 'syarahan' untuk kali ini. Saya nak pergi sekolah!

Ulasan

Catatan Popular