Memilih Antah di dalam Beras

Saya telah diminta oleh *Penganjur* supaya menghakimi satu *Sayembara*. Pada mulanya saya hendak menolak saja. Tak sanggup rasanya. Tapi memikirkan bahawa saya juga akan memperoleh pengalaman, lantas saya cuba. Pun, saya tersilap perkiraaan. Ingatkan hanya kategori cerpen, rupanya ada novel juga.

Aduhai... berasaplah membacanya.

Mula-mula ingat nak baca ikut nombor siri yang telah disediakan. (Nota : Dalam sayembara, panel memang tak tahu siapa penulis setiap manuskrip). Baca yang pertama. Plot melompat-lompat. Mungkin dia salah kategori, banyak subplot dalam cerpennya. Boleh dikembangkan jadi novel.

Patah semangat untuk baca yang seterusnya. Tapi tak adil pada peserta yang lain. Jadi saya harus buat sesuatu.

Mula-mula saya asingkan mengikut yang OK dan kurang OK. Saya baca judul dan perenggan pertama. Kalau perenggan itu boleh membawa saya terus ke penghujung halaman pertama, saya asingkan.

Bagi yang kurang OK, saya masih beri peluang. Saya semak tengah dan penghujung, jika ada walau secubit pun 'sesuatu' yang menjanjikan, saya asingkan dalam tempat yang kedua. Akhir sekali, barulah cerpen-cerpen yang klise, lewah, dan biasa ditemui di kalangan penulis yang baru hendak mencari tapak dalam dunia kesusasteraan ini.

Saya tak boleh salahkan mereka. Saya juga bermula seperti mereka. Kalau boleh, saya ingin sahaja pulangkan mana-mana manuskrip yang tidak berjaya itu, dengan nota dan catatan bagaimana karya itu boleh dibaiki. Sayang sekali, itu bukan dalam bidang tugas panel untuk berbuat demikian.

Namun, apa yang ingin saya katakan ialah penulis haruslah bijak membina judul yang menarik dan membina ayat pertama, seterusnya perenggan pertama yang memukau. Analoginya seperti kulit buku yang menarik akan menarik pembeli @ pembaca mengambil buku itu dari rak buku. Itu sahaja sudah dilihat sebagai satu kejayaan.

Memilih karya yang baik seperti kata seorang sahabat penulis, ia macam orang pilih antah dalam beras. Kena sabar dan beras itu perlu dibalik-balikkan. Mencari di mana tersoroknya antah yang ingin dicari. Bila jumpa, ada sesuatu kepuasan kerana dapat mengasingkan antah tadi. Mungkin secara analoginya, mencari antah itu tidak boleh disamakan dengan mencari karya yang baik, kerana antah akan dibuang dan karya yang baik diasingkan, bukan untuk dibuang.

Tapi saya percaya, pembaca saya yang bijaksana, dapat memahaminya.

OK, selepas baca cerpen, kena baca novel pula! Doakan saya terus diberi kekuatan...

Ulasan

Catatan Popular