Membakar Lilin Dinihari

Jam 2.30 pagi.

Mata masih enggan picing. Rehat sebentar daripada tugasan yang sedang membusung.

Mana nak lelap, assignment belum siap lagi :) - Orang lain sedang enak dibuai mimpi. Adakalanya, terfikir juga. Di mana seronoknya tidur? Orang yang jaga akan berkata, seronoknya orang lain tidur. Tetapi apabila kita sendiri tidur, kita pun tidak pasti di saat dan ketika mana, kita menikmati nikmat tidur tersebut.

Assignment masih belum dapat kesudahannya. Bukan, ini bukan assignment atau tugasan menulis esei yang biasa saya tulis untuk majalah. Ini tugasan berat. Ada markah disediakan. Sendiri juga cari susah, buat tajuk yang agak kekurangan bahan tempatan.

Saya tulis tentang Hak Orang Asli : Perbandingan antara Malaysia dan Australia. Begitulah tajuknya lebih kurang. Sekurang-kurangnya dalam mahkamah di Malaysia, hak orang asli masih tidak dipandang sepi. Ada yang dapat pampasan berjuta-juta RM. Namun, pada mereka bukanlah pulangan RM yang mereka harapkan. Sesuatu yang telah dimusnahkan bukanlah mudah diganti dengan wang ringgit begitu sahaja.

Ada banyak perkara yang kita perolehi dengan percuma di dunia ini, tetapi jika diambil orang, wang ringgit tidak boleh menggantikannya. Itulah anugerah-Nya.

Saya kurang sihat seminggu dua ini. Tetapi malam ini (pagi ini) saya gagahkan juga menyiapkan tugasan penting ini. Esok ada satu dua temu janji yang mesti ditunaikan. Rakaman rancangan Kurik Kundi Merah Saga di Negeri.FM juga sudah tertangguh, esok juga mesti dilunaskan.

Rabu nanti, Kem Seri Perkasa, Mantin menunggu kehadiran Program Penghayatan Sastera dan Budaya bagi Tahap II. Tahap I telah selesai minggu lepas. Kali ini saya diamanahkan sebagai Ketua Fasilitator. Besar juga tanggungjawab yang diberikan. Mujurlah pelatih di Kem Seri Perkasa jauh lebih baik daripada kem sebelumnya. Mereka agak bersedia dalam memberikan kerjasama.

Itu dulu coretan untuk dinihari.
Tugasan mesti beres.
Kopi makin dingin.

Ulasan

Catatan Popular