Sabtu, Oktober 01, 2005

Apa perlunya peguam menulis?

Adakalanya, saya rasa hendak padamkan sahaja ruangan karya bulan ini di sebelah kanan blog ini. Sejujurnya, saya bukanlah menunjuk-nunjuk bahawa hampir setiap bulan ada karya kreatif ataupun non-kreatif yang saya hasilkan. Saya tahu ada sesetengah yang tak pasal-pasal rasa jaki dengan saya kerana karya yang tidak sampai sepuluh itu terbit. Saya sekadar mahu menjadikan ia satu sumber rujukan bagi mereka yang ingin tahu tentang karya saya.

Tidak kurang juga suara-suara sumbang yang mengatakan, mengapa seorang peguam perlu menulis. Tidak cukupkah dengan yuran guaman yang dibayar oleh anak guam.

Selalunya, saya ketawakan sahaja kepada orang yang berkata demikian. Memang tak dapat nak tolong dengan orang yang berfikiran singkat demikian. Itu belum dicampur lagi dengan manusia-manusia yang tidak berpuas hati kerana dalam sebuah majalah tertentu, dua karya saya terbit setiap bulan. Inilah masalahnya jika kita berada dalam komuniti yang bernama manusia. Harap diingat, ini bukan soal *PHD* orang Melayu. Bahkan semua orang yang bergelar manusia tetap mempunyai rasa negatif sedemikian.

Namun, seringkali mereka juga terlupa bahawa menulis itu bukan hanya berkiblatkan wang ringgit, walaupun tidak dinafikan wang itu cukup penting dalam menjalani hidup seharian. Sebaliknya, ada yang lebih penting daripada wang ringgit.

Bukan nama.
Bukan populariti.

Tetapi dokumentasi. Ya, apabila karya diterbitkan, ia bererti idea dan buah fikiran penulis dapat didokumentasikan. Itu yang lebih penting. Hanya setelah karyanya tersiar, barulah seseorang itu dipanggil penulis. Selagi dia hanya punya idea ataupun setakat menebarkan pandangannya di coffee-house, kopitiam, kedai kopi ataupun sembang-sembang yang tidak dapat disimpan kekal, tiada satu pun bentuk pendokumentasian berlaku.

Tinggallah idea itu menjadi suatu yang disembang-sembangkan sahaja. Lebih baik jika sesuatu fikiran ataupun perasaan dapat ditukang menjadi sebuah karya kreatif ataupun bukan kreatif. Pendokumentasian itu akan dijadikan satu bukti dalam pembinaan sebuah tamadun bangsa. Jadi sebelum menulis, harus juga difikirkan apakah bahan yang mahu ditulis. Adakah ia sekadar mengisi kocek sehingga cek bulan hadapan diterima ataupun tulisan itu kelak akan menjadi sumber rujukan sepanjang zaman, insya-Allah...

Bangsa kita sendiri pun ketandusan bahan dokumentasi. Kita lebih banyak dibesarkan dengan sastera lisan, misalnya. Sukar untuk kita cari dokumen tentangnya kerana ia sememangnya tidak wujud kerana diwarisi secara turun temurun secara lisan. Apabila orang yang boleh menurunkan ilmu itu meninggal dunia tanpa pewarisnya, hilanglah satu daripada khazanah bangsa.

Kita seharusnya berfikir untuk generasi hadapan - anak cucu kita. Hidup ini bukan sekadar untuk diri kita sahaja. Masih ada amanah dan tanggungjawab yang tidak selesai, jika kita yang mampu melakukan sesuatu tidak melakukannya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails