Bertemu Fatimah Busu

Sudah lama saya nantikan peluang untuk bertemu dengan seorang penulis besar tanah air, penulis besar nusantara, malah! Isnin lalu, ada diskusi karya terbesar (memang saiz bukunya pun besar) Fatimah Busu - The Missing Piece (Bahagian 1) di Foyer Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Alhamdulillah, kali ini Dr. Fatimah Busu hadir dan diterbangkan khas dari Pulau Pinang. Seperti mana yang pernah saya lihat dalam gambar/akhbar, begitulah rupa orangnya. (Sebelum ini hanya biasa menelefon beliau beberapa kali, mencari semangat baru untuk menulis). Dia juga gembira bertemu saya (nampaknya), apatah lagi saya hadir bukan sahaja sebagai peminat karya-karya beliau tetapi juga sebagai penjual buku Ujana Ilmu (seperti biasalah, kan?)

Karya beliau The Missing Piece (Bahagian 1) merupakan kesinambungan daripada novel beliau Ombak Bukan Biru (Heinemann Asia, 1977). Namun kata Dr. Fatimah, bahagian 1 ini baru intronya sahaja. Inti cerita akan ditemui pembaca ketika menghayati bahagian 2 yang bakal terbit akhir tahun ini ataupun selewat-lewatnya awal tahun depan.

The Missing Piece (Bahagian 1) diterbitkan oleh Citra Kurnia Enterprise dan dijual dengan harga RM60. Tentu sahaja boleh dibeli secara online dari Ujana Ilmu. Sebagai sebuah novel sekuel kepada Ombak Bukan Biru, ia masih lagi boleh berdiri sendiri. Pembaca yang tidak membaca Ombak Bukan Biru juga tidak ada masalah ataupun merasa ketinggalan. Namun, kalau nak baca juga carilah Ombak Bukan Biru dari perpustakaan. Buku ini memang sudah tidak dicetak lagi. Khabarnya pihak DBP sedang mengusahakan penerbitannya dalam bentuk kulit keras (Siri Novel Abad ke-20) tapi nampaknya setelah beberapa tahun diuar-uarkan masih tidak kelihatan lagi novelnya. Saya temui Ombak Bukan Biru di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. Kalau jadi Rakan Dewan, boleh pinjam novel ini. Itupun dalam bentuk fotokopi sahaja. Dan cuma ada 2 naskhah. Kedua-duanya fotokopi. Jadi jangan rebut-rebut.

Saya fikir, orang Kelantan wajib baca teks The Missing Piece ini. Apatah lagi ia menggambarkan masyarakat Kelantan secara jujur dan jelas. Boleh dibuat perbandingan dengan novel Orang Kota Bharu (SN S. Othman Kelantan).

*******

Di kesempatan ini, saya juga mengucapkan selamat berpuasa dan semoga kita semua dilimpahi berkah sempena bulan yang mulia ini. Kepada yang telah menghantar SMS ucapan selamat berpuasa, terima kasih saya ucapkan. Maaflah, tak larat rasanya nak balas semua SMS itu. Apa pun, semoga kita semua sama-sama berjaya menikmati bulan penuh berkah ini.

Ulasan

Catatan Popular