Sabtu, Oktober 29, 2005

Penulis Disaman

Terbaca sebuah berita tentang penulis The Da Vinci Code, Dan Brown bakal disaman lagi. Kali ini di Mahkamah Tinggi London. Setakat ini, beliau telah pun menjadi penulis paling kaya di dunia. Jadi bila tengok orang kaya, orang lain pun mulalah kreatif juga. Sama-sama nak berkongsi kekayaan tersebut. Apa tidaknya, tahun ini sahaja Dan Brown mendapat sebanyak 45 juta pound hasil daripada tulisan itu sahaja.

Micheal Baigent dan Richard Leigh menyaman Dan Brown, Random House (penerbit) dan mendakwa bahawa penulis itu telah mengambil keseluruhan hasil kajian mereka dalam buku "The Holy Blood and the Holy Grail" (1982) dan dimuatkan ke dalam buku The Da Vinci Code. Baigent and Leigh pula merupakan dua orang sejarahwan. Mereka juga turut mendakwa bahawa watak Sir Leigh Teabing dalam novel tersebut merupakan gabungan nama mereka berdua iaitu Leigh dan Baigent - nama Baigent telah dijadikan anagram (dipusing-pusingkan ejaannya) dan dieja menjadi Teabing.

Menarik juga tuduhan mereka itu. Pastinya ada asas tertentu. Kalau tak ada asas masakan boleh nak menyaman. Walau bagaimanapun, penulis ketiga buku The Holy Blood and the Holy Grail tidak pula turut sama menyaman Dan Brown.

Kes ini akan didengar pada 27 Februari tahun depan. Namun, berita tidak menyebut kausa tindakan (cause of action) iaitu sebab kes ini difailkan. Adakah mereka menuntut di bawah hak cipta? Barangkali ya. Tapi tengoklah apa keputusannya nanti.

Cuba bayangkan kalau The Da Vinci Code hanya terperuk di kedai-kedai buku tak ada siapa yang akan menyaman penulis.

Kata penulisnya lagi, "Ini sekadar sebuah novel."

Di Malaysia, fenomena menyaman penulis hanya berlaku setakat buku-buku itu bernuansa politik kebanyakannya. Saya percaya tak ada orang yang akan saman Faisal Tehrani kerana menjungkarbalikkan sejarah dalam novelnya 1515. Lagipun jualan novel biarpun sebaik novel Faisal tidak akan mampu mengatasi jualan buku-buku import. (Biarpun novel itu khabarnya telah diulang cetak)

Terus terang, buku-buku yang baik terutamanya terbitan Utusan dan DBP, tak masuk kedai pun. Kalau masuk pun, setakat standing order sahaja. Lepas tu, susah nak dapat buku-buku itu. Namun, itu bukan salah kedai buku 100%. Walaupun sedikit sebanyak tetap 'menanggung dosa' kerana tidak menjual buku-buku yang baik. Pun, kena lihat juga. Berapa ramai taukeh buku yang baca buku. Apatah lagi mengikuti perkembangan sastera tempatan.

Jika tidak tentu sahaja buku-buku yang menang anugerah seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Sayembara Novel Alaf Baru (DBP) akan diletakkan di rak yang khas. Hatta Kedai Buku Utusan di pejabat Utusan Publications pun tak ada rak khas untuk buku-buku istimewa ini. Semuanya diletakkan pada tempat yang serupa sahaja. Kedai buku DBP di Menara DBP pun begitu juga, harapkan besar tak tentu arah. Tapi tidak 'mengajak' atau 'mencadangkan' pembaca memilih buku yang tertentu.

Di kedai DBP, pojok untuk Sasterawan Negara pun dicampur dengan buku-buku penulis lain yang bukan SN. Bagi pengunjung yang tak perasan pun siapa dia SN di Malaysia ni, tentu saja rasa 'tertipu' ataupun tak tahu telah 'ditipu' oleh kedai buku DBP.

Selagi persoalan sikap ini masih lagi di takuk lama, penerbit yang tidak memperkasa bahagian pemasaran akan dilanda kerugian yang besar. Penerbit yang agresif akan mendapat tempat di hati pekedai dan pembaca. Lalu penulis yang menulis dengan penerbit-penerbit yang tidak agresif ini bukan sahaja mendapat royalti yang lembab tetapi buku-buku mereka tidak menemui khalayak.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails