Catatan Tertangguh Dari Bachok

Ada beberapa pembaca yang tertunggu-tunggu dengan catatan ini. Maaflah, sebaik-baik sahaja pulang dari Kota Bharu, badan terasa benar letihnya.

Minggu Penulis Remaja Timur 2005 berlangsung dengan baik, alhamdulillah. Pembimbing sampai lebih awal daripada peserta. Kami diterbangkan awal, barangkali kerana sukar bagi urus setia untuk menempah tiket yang hampir dengan tarikh majlis. Maklumlah, pilihan raya Pengkalan Pasir pada 6hb Disember menambahkan lagi kesesakan umat manusia yang mahu pulang mengundi.

Penerbangan MH 1396 ke Kota Bharu, penuh. Saya yang lambat ke KLIA, penerbangan jam 3.00 petang pada 2hb Disember. Saya daftar masuk pada 2.30 petang. Maklumlah, hari Jumaat, tentu ada pihak yang mahu menunaikan solat terlebih dahulu. Tetapi saya masih sempat naik pesawat tersebut seperti yang dijadualkan.

Image hosted by Photobucket.com

Sehari lebih awal daripada peserta, dapat berehat di Sudara Beach Resort dan menikmati keindahan pantai. Chaletnya pun baik. Hari juga tidak terlalu panas. Hendak keluar ke bandar, tiada kenderaan. Saya sudahkan sahaja beberapa tulisan yang tertangguh.

Image hosted by Photobucket.com


Setelah bengkel dimulakan, pada sebelah malam, saya, Nazmi dan Zakir memulakan bengkel dengan memberi penerangan ringkas mengikut bidang kepakaran masing-masing. Kami juga sudah pesan pada urus setia supaya pecahkan peserta kepada 3 kumpulan. Kami akan ambil seorang satu.

Saya mulakan sesi dengan memperkenalkan format cerpen, aspek teknikal dalam menghantar karya dan perkara-perkara asas yang lain. Pendek kata, persediaan seorang penulis sebelum menghantar karya.

Nazmi menyentuh aspek yang yang editor suka dan tidak suka apabila menerima cerpen daripada penulis. Dia juga menyebut tentang perkara-perkara yang tidak boleh disentuh secara langsung dalam karya iaitu seks, perkauman dan sensitiviti agama.

Zakir mengakhiri dengan menyentuh struktur dan muatan dalam cerpen yang baik. Konsep retorik, paradoks dan deus ex machina juga diperkenalkan kepada peserta. Mungkin ada yang menganggap ia agak tinggi tetapi pendedahan sedemikian, saya fikir amat berharga kepada peserta.

Esoknya, saya mulakan hari dengan mengejar matahari terbit. Fenomena yang tak mungkin saya lepaskan setiap kali berada di pantai timur. Lautan di waktu subuh amat mengasyikkan.

Image hosted by Photobucket.com



Selepas sarapan, peserta masuk ke dalam kumpulan masing-masing. Zakir dan Nazmi memilih untuk bermuzakarah di tepi pantai dengan kumpulan masing-masing. Saya memilih untuk tinggal dalam bilik seminar dan memanfaatkan kedinginan suhu bilik.

Dalam kumpulan, saya temui lebih banyak mutiara yang selama ini belum digilap. Kesemua tujuh orang peserta dalam kumpulan saya ternyata berbakat. Hanya mereka sahaja tidak menyedarinya. Ramai yang mempunyai kekuatan gaya bahasa. Berani mencuba diksi baru dan frasa yang segar.

Kesemua peserta berada dalam kumpulan sehinggalah pada sebelah malamnya. Keesokan harinya barulah peserta kembali dalam kumpulan besar untuk sesi rumusan. Respons daripada peserta juga kedengaran positif. Seperti biasa, dalam bengkel seperti ini, saya harap tiada yang terbunuh kerana pembimbing. Jika calon penulis itu sendiri yang memilih untuk tidak mahu digelar penulis, itu pilihan peribadi yang harus dihormati. Itu cerita lain.

Petang itu, saya dipindahkan oleh DBPWT ke Hotel Perdana. Keesokan harinya saya diminta beri ceramah seperti yang telah saya nyatakan dalam entri terdahulu. Saya pun tak berapa pasti tentang audiens saya, jadi saya bercakap secara umum tentang berfikir di luar kotak.

Selesai acara, saya dibawa teman penulis di sini ke Pasar Besar Siti Khadijah. Itu sahaja yang sempat saya singgah dalam jangka waktu yang agak singkat. Memandangkan pula, penerbangan pulang ke KLIA pada jam 4.40 petang. Sambil terkejar pulang, terima pula panggilan telefon daripada Puan Hajah Mahani Che' Ibrahim - pemangku Pengarah DBPWT. Ada cenderamata untuk saya dan satu lagi buat dititipkan kepada Puan Hajah Mahaya. Mereka kenalan rapat satu masa dahulu tetapi terpisah oleh tanggungjawab : Mahani - Mahaya.

Image hosted by Photobucket.com

Penat berkejar, penerbangan saya ditunda sejam kemudian kerana kapal terbang belum tiba dari KLIA. Menung-menunglah minum oren sebelum berlepas.


Lihat gambar-gambar di Bachok dan kawasan sekitarnya di sini.

Ulasan

Catatan Popular