2 Tokoh Besar di Hujung Tahun


Saya terbang ke Pulau Mutiara pada subuh 31 Disember 2005. Berada di USM kira-kira satu setengah jam kemudian setelah dijemput oleh Dr. Fatimah Busu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Pulang malam itu juga. Mencecahkan kaki semula ke KLIA lebih kurang setengah jam sebelum detik 12.00 malam.

Apa saya buat di sana? Biasalah, Nisah dan idea spontannya. Saja-saja ke USM kerana kali terakhir saya ke sana, kalau tidak silap pengiraan, pada tahun 94 ataupun 95. Ketika itu saya baru pertama kali menyertai Pertandingan Debat Antara Universiti. Tentu sahaja terlalu banyak yang berubah apabila sudah sepuluh tahun tidak ke sana.

Saya telah dijemput, mewakili Persatuan Penulis Negeri Sembilan, oleh Dr. Zakaria Ali untuk menghadiri Seminar Kefahaman Budaya ke-9 yang mengemukakan beliau sebagai tokoh pada kali ini. Seminar yang sama pernah memperkatakan tentang Dr. Fatimah Busu dan juga Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh pada tahun-tahun sebelumnya. Apatah lagi, Dr. Zakaria merupakan penerima Tokoh Novel pada Anugerah Sastera Negeri Sembilan yang lalu.

Keistimewaan Dr. Zakaria ialah kebolehannya menguasai dua bidang ekspresi yang berbeza iaitu menulis dan melukis. Anehnya, apabila menulis, beliau menjadi seorang yang amat simple dalam pemilihan kata-kata. Tetapi apabila melukis, beliau menjadi amat 'deskriptif' dalam lukisannya. Sifat ini berbeza daripada penyair/pelukis yang lain seperti A. Latiff Mohidin, A. Ghaffar Ibrahim ataupun Siti Zainon Ismail. (Hmm... perhatikan mereka berempat ini punya darah keturunan Negeri Sembilan/Minangkabau. Menarik, bukan?)

Kertas-kertas kerja yang dibentangkan adalah seperti berikut :

  • PAUTAN KATA DAN WARNA - Ucaptama Dr. Zakaria Ali
  • ESTETIKA MELAYU OLEH ZAKARIA ALI : SATU HURAIAN DAN PENILAIAN - Dr. Sohaimi Abdul Aziz (USM)
  • ALIRAN-ALIRAN DALAM KARYA SENI VISUAL ZAKARIA ALI - Dr. Ahmad Suhaimi Mohd Noor (Dekan Fakulti Seni & Muzik, UPSI)
  • SOROTAN TERHADAP ALIF BA TA: THE LIFE AND TIMES OF AHMAD KHALID YUSOF - Abdul Rahman Yusof (DBP)
  • MEMBONGKAR MISTERI WATAK "J" MELALUI UNSUR BIOGRAFI - AUTOBIOGRAFI DAN FIKSYEN DALAM NOVEL-NOVEL ZAKARIA ALI - Siti Hajar Che Man(USM)
  • PERKEMBANGAN CERPEN-CERPEN ZAKARIA ALI - Talib Samat (UPSI)
  • ZAKARIA ALI : ANTARA WARNA DAN KATA - Dr. Sakinah Abu Bakar (USM)
  • ANTOLOGI ARAH KE SELATAN : SATU KAJIAN TERJEMAHAN - Hasuria Che Omar (USM)
  • KERAGAMAN BAHASA DALAM NOVEL-NOVEL ZAKARIA ALI - Wan Hasmah Wan Teh (USM)

Sempat juga berbual-bual dengan Dr. Jelani Harun - pemenang Hadiah Mastera 2005 baru-baru ini dan juga teman penulis/blogger Salman Sulaiman (yang baru-baru ini menjadi penghias kulit majalah Tunas Cipta Januari 2006)
Majlis yang selesai kira-kira jam 5.30 petang itu memungkinkan saya menghabiskan sedikit masa dengan Dr. Fatimah Busu di rumahnya. Apatah lagi, penerbangan pulang mengikut jadual ialah pada jam 10.20 malam.


Terasa amat-amat bertuah apabila diberi peluang melihat sendiri suasana dan kerancakan pertumbuhan ekonomi dan industri di Bayan Baru. Namun paling bertuah ketika dapat menjejakkan kaki ke teratak istimewa penulis tersohor - Fatimah Busu! Rasa macam tak percaya.

Sebelum singgah ke rumahnya, beliau membawa saya berjalan-jalan di sekitar Bayan Baru. Sempat juga beliau menunjukkan tempat kegemarannya berjogging - sebuah bukit yang boleh tahan tingginya, mempunyai trek untuk pejalan kaki hingga ke puncak. Menurut Dr. Fatimah, beliau hampir setiap hari memanjat bukit tersebut. Dan dialah satu-satunya wanita Melayu yang telah berusia melakukan aktiviti sedemikian. Kawan-kawannya yang lain rata-rata berbangsa Cina ataupun India. Patutlah beliau kelihatan sihat dan cergas.

Teratak Dr. Fatimah, sebuah rumah teres dua tingkat itu punya laman kecil yang dirimbuni sebatang pokok mempelam. Dari balkoni di tingkat atas, buah mempelam yang melayut-layut itu boleh saja dicapai dengan tangan. Di tingkat atas juga, ruang peribadi dan ruang kerja beliau. Terasa bertuah sekali lagi, apabila dipelawa masuk ke sarang tempat beliau bergelumang dengan dunia penulisan. Penulis tentu sahaja tidak boleh dipisahkan dengan dinding penuh dihiasi buku-buku, tempat yang lapang, meja komputer dan sebuah kerusi santai untuk melepaskan pandangan ke luar tingkap bergril tetapi labuh hingga ke lantai. Sebagai penulis mapan, koleksi buku-buku beliau - sungguh tidak terkata - hebat, banyak dan berkualiti!

Beliau menerima saya dengan mesra sejak awal pagi hinggalah dihantar pulang ke lapangan terbang. Terasa seperti seorang ibu melayan kerenah anak yang keletah. Seronok bukan kepalang, berkongsi ilmu, pendapat dan teguran jujur.

Beliau semakin prolifik berkarya kini. Menurutnya, ada sebuah dua lagi yang masih dalam pembikinan. Sebelum ini, Fatimah Busu amat dikenali dengan Ombak Bukan Birunya, setelah itu The Missing Piece sebagai kesinambungan kepada novel itu. Beliau juga mempunyai kumpulan-kumpulan cerpen seperti Al-Isra', Keajaiban Alam, Bunga-bunga Pulau dan novel Salam Maria. Beliau juga mempunyai kumpulan puisi Apa Ada Di Sana.

Dan ketika kapal terbang menujah langit, tiada air mata yang gugur kali ini. Barangkali saya terlalu letih tetapi merasa sangat puas dengan singgahan ini.

*Nota hujung*

Sekurang-kurangnya pramugari Airasia dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan betul ketika membuat pengumuman di dalam pesawat. Bukankah itu sesuatu yang harus diambil iktibar oleh MAS?

Ulasan

Catatan Popular