Ahad, Februari 19, 2006

Ayahanda Saleh Daud Pulang Kepada-Nya

Penulis veteran Saleh Daud atau nama penanya Zulastri pulang ke rahmatullah pada 17 Februari 2006 di kediamannya di Kelana Jaya. Beliau meninggal dunia dalam usia 71 tahun (dilahirkan di Cincin, Jasin, Melaka pada 24 Dis 1934). Beliau banyak menulis cerpen dan sajak. Juga pernah menjadi Bendahari GAPENA dalam tahun-tahun 1990-an.


Sumbangannya yang paling besar ialah dalam sastera kanak-kanak. Tugas beliau sebagai editor Majalah Dewan Pelajar satu masa dahulu, merupakan tahun-tahun gemilang majalah itu. Beliau turut dikenali sebagai Pakcik Esdi. Lulusan SITC ini pernah menjadi guru untuk beberapa tahun sebelum bertugas dengan DBP. Beliau bersara pada tahun 1989.


Peribadi, saya tidak banyak berhubung secara langsung dengan arwah. Cuma sekali dua ketika menerima Hadiah Sayembara Cerpen Esso-GAPENA ke-10. Cerpen Persidangan Agung Wanita Klasik menemukan kami lantaran arwah merupakan bendahari GAPENA. Di kalangan penulis-penulis muda, beliau membahasakan diri sebagai ayahanda.


Kelebihan sebagai editor itu diwarisi oleh anak lelakinya Armin Salleh - Editor Pelita Bahasa (yang kini saya tidak pasti dia di majalah mana, sejak penstrukturan semula DBP).


Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails