Cabaran Bekerja & Anak-anak

Kepada pembaca yang tidak sempat mengakses tulisan tentang keibubapaan yang tersiar dalam Berita Harian 14 Februari yang lalu, saya turunkan tulisan tersebut di sini.
Keibubapaan: Cabaran ibu bekerja

Oleh Fadzlena Jafar


Nisah Haron buktikan tanggungjawab sebagai peguam, penulis dan ibu kepada tiga anak


DALAM dunia penulisan, nama Nisah Haron (gambar) cukup dikenali. Karya hebatnya seperti Mencari Locus Standi, Farris Putera yang Hilang dan Puisi untuk Esdyzuar serta beberapa cerpen yang sering tersiar di majalah dan akhbar berjaya menempatkan penulis berbakat ini sebaris dengan penulis sezamannya.


Malah, karya beliau sering kali mengungguli pertandingan sastera yang diadakan. Tetapi apa yang menarik mengenai wanita yang berusia 33 tahun itu, beliau juga seorang peguam cara yang mengendalikan pelbagai kes membabitkan perundangan syarie dan sivil. Tidak hairanlah, beliau banyak menghasilkan artikel perundangan yang membincangkan pelbagai isu semasa.


Kini, khabarnya Nisah sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dengan kepelbagaian bidang yang diceburinya, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana ibu muda itu membahagikan masa antara penulisan, pelajaran, kerjaya guamannya dengan rumah tangga.Apa tah pula, ketiga-tiga cahaya matanya baru berusia antara tiga tahun hingga enam tahun, kumpulan umur yang memerlukan perhatian lebih daripada ibu bapanya.


Pada pandangan mata kasar, Nisah bagaikan tidak mempunyai masalah kerana sehingga hari ini beliau masih tidak menggaji pembantu rumah.


"Bukan tiada masalah, tetapi saya perlu mengambil kira keperluan bapa yang tinggal bersama saya sejak pemergian ibu pada 1999. Memang saya sudah menetapkan, apabila berkahwinpun saya akan tinggal bersama ibu bapa kerana keluarga saya kecil, hanya dua beradik saja.


"Jadi, saya bimbang bapa berasa tidak selesa jika ada orang lain di dalam rumah. Lagipun, selepas kelahiran anak sulung saya, Maisara pada November 2000 saya mengambil keputusan untuk menjaga sendiri anak. Walau susah sekali pun, saya ingin anak membesar di bawah jagaan saya," katanya.


Ketika itu Nisah masih berkhidmat di sebuah firma guaman di Seremban. Tetapi selepas berbincang dengan suaminya, Mohd Shukri Nasir dan mengambil kira pelbagai aspek, beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan firma guaman sendiri bagi membolehkan beliau menjaga sendiri Maisara yang masih kecil.


Pada 2001, Nisah Haron & Co memulakan operasi. Dengan menjadikan rumah sebagai pejabatnya, Nisah bukan saja dapat menyiapkan kerja sambil memberi tumpuan kepada rumah tangga, bahkan berpeluang bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan luar khususnya membabitkan dunia kesusasteraan.


Tidak cukup dengan itu, Nisah dan suami membuka satu lagi bidang perniagaan iaitu Ujana Ilmu yang menjual pelbagai buku ilmiah secara talian. Namun, bagi memastikan setiap bidang yang diceburi berjaya, mereka mengambil keputusan untuk memberikan tumpuan secara individu.


"Saya menguruskan firma guaman, manakala suami pula perniagaan buku. Kedua-dua bidang itu kami uruskan dari rumah. Bagi saya apabila ada firma sendiri di rumah pula, saya bebas memilih waktu untuk bekerja. Kadang-kadang, pukul 12 tengah malam pun saya akan buka pejabat.


"Malah, pernah juga beberapa kali pelanggan datang berbincang mengenai kes mereka pada waktu malam, jadi waktu saya sangat fleksibel. Tetapi, kini apabila saya menyambung kembali pelajaran saya mengurangkan pelanggan, mungkin antara empat hingga lima kes sebulan," katanya yang mengakui beruntung mempunyai suami yang sangat memahami.


Beliau juga bersyukur bukan saja suaminya banyak membantu mengurangkan beban pejabat, bahkan turut mengambil inisiatif untuk belajar cara menguruskan anak khususnya kanak-kanak kecil yang memerlukan perhatian teliti.


Bagaimanapun, sejak dulu lagi Nisah berkata, beliau dan suami akan berkompromi menjaga anak dan mereka akan memastikan salah seorang berada bersama si kecil. Umpamanya, sekiranya beliau mempunyai tugasan di luar, suami akan berada di rumah dan begitu juga sebaliknya.


Ketiga-tiga anaknya yang dilahirkan dengan jarak kira-kira setahun setengah memberi kelebihan kepada Nisah kerana seperti katanya, mereka membesar bersama. Justeru, setiap kerja dapat dilakukan sekali gus dan penatnya hanya dirasakan pada waktu itu saja.


"Cabaran utama sebagai ibu ialah bagaimana hendak kawal emosi terutama apabila kita penat, anak pula buat hal. Maklum saya terbabit dalam pelbagai bidang pada satu masa Ada kalanya perasaan marah itu tidak dapat dikawal juga, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mengawal emosi.


"Jadi, saya mengambil pendekatan mudah - menyiapkan kerja apabila anak sudah tidur, sama ada tidurkan mereka lebih awal atau bangun awal pagi. Lagipun apabila mempunyai syarikat sendiri, masa berpihak kepada kita. Kita boleh bekerja pada bila-bila masa tanpa mengabaikan anak," katanya.


Berbeza dengan kebanyakan ibu yang melarang anak mereka daripada menonton televisyen terutama program kartun, Nisah pula memberi galakan selepas melihat perkembangan bahasa si kecil yang semakin meningkat terutama Maisara yang kini mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.


Malah, sejak kecil lagi beliau sudah menghadiahkan buku untuk si kecil bagi memupuk minat untuk membaca meskipun pada usia yang terlalu muda itu mereka masih belum boleh membaca dengan fasih. Baginya, dengan cara itu si kecil akan lebih terdedah kepada alam pembelajaran meskipun ketika ini minat mereka lebih sekadar melihat gambar dalam buku berkenaan.


Mengenai masa depan si kecil, Nisah berkata, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk menentukan haluan sendiri sama ada mewarisi perniagaan suaminya ataupun firma guamannya. Malah, jika si kecil menunjukkan minat terhadap bidang yang tidak berkaitan sekalipun beliau akan tetap menggalakkan.

Ulasan

Catatan Popular