Konvensyen Bahasa & Pendidikan JB

4 Feb 2006, Hotel M Suite, Danga Bay - Saya telah diundang oleh DBP Wilayah Selatan untuk mempengerusikan forum besar berjudul Bahasa Kebangsaan sebagai Medium Pembinaan Sebuah Negara Bangsa Malaysia yang Berilmu Tinggi : Cabaran dan Usaha Mengatasi. Membaca judulnya sahaja boleh senak perut. Apatah lagi, apabila saya diberitahu bahawa antara panelnya ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Mantan Ketua Pengarah DBP, Dato' A. Aziz Deraman. Mula-mula dapat panggilan telefon, sesekali rasa macam nak pitam!

Belum pernah lagi saya diberi tugas yang demikian besar. Seperti biasa saya terima segalanya sebagai satu cabaran. Alhamdulillah, turut sama dalam forum tersebut ialah Sdr. Suhail Ahmad (Presiden Persatuan Pelajar Islam) yang masih muda belia. Sekurang-kurangnya tidaklah saya seorang sahaja mewakili generasi muda di atas pentas.

Pun, Prof. Nik, Dato' Aziz dan Suhail merupakan panel yang tidak banyak karenah. Saya juga diminta mengendalikan forum tersebut dalam suasana yang agak santai serta memberi banyak peluang kepada peserta konvensyen mengambil bahagian dalam sesi soal jawab. Apatah lagi, pada sebelah paginya, peserta telah dibentangkan dengan isu-isu besar dan berat dalam Bahasa Melayu oleh Prof. Dr. Awang Sariyan dan Hjh Noresah (Ketua Jabatan Bahasa, DBP). Dalam sesi kedua, Dr. Ir. Zaini Ujang (UTM) dan Dr. Ahmad Murad Merican (UiTM) turut memberikan pandangan yang bernas dalam kertas kerja masing-masing.

Tujuan konvensyen ini ialah antara lain mendesak supaya kerajaan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu. Desakan ini timbul ekoran kesan dan tamparan kepada bangsa Melayu sendiri apabila kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar dalam Bahasa Inggeris. Betapa sekian ramai anak-anak Melayu kian keciciran dalam subjek-subjek tersebut. Itu belum lagi dicampur dengan guru-guru yang tidak terlatih dalam Bahasa Inggeris terpaksa mengajar anak-anak didik mereka.

Turut disentuh dalam konvensyen ini ialah kematian akhbar Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan buat kali terakhir pada 29 Januari 2006. Itulah nasib tulisan jawi apabila tidak mendapat sokongan daripada pengguna Melayu yang beragama Islam. Berapa peratus daripada orang Melayu sebenarnya boleh membaca tulisan jawi setelah ia dikeluarkan daripada kurikulum sewaktu Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran?

Dalam hal akhbar berbahasa Melayu pula, ramai yang bimbang akan nasib akhbar-akhbar ini. Jika kita tidak hati-hati, Bahasa Melayu juga akan menjadi seperti Bahasa Latin yang telah pupus. (Hanya kami, pelajar Undang-undang masih aktif menggunakan frasa-frasa Latin yang sukar diganti/terjemah maknanya ke dalam bahasa lain, seperti prima facie, doli incapax, ignorantia legis non excusat).

Namun, kita juga harus kritikal terhadap tulisan-tulisan ataupun artikel-artikel dalam akhbar berbahasa Melayu. Ada pihak yang merasakan membaca akhbar Melayu ini tidak puas. Nipis dan isinya lebih banyak mengutarakan hal-hal politik dan apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh politik. Sedikit sebanyak saya juga menyetujui pandangan ini. Berbanding dengan akhbar Inggeris yang lebih tebal halaman dan juga isi, akhbar Melayu tidak banyak isu yang mengutarakan hal-hal bersifat ilmiah / pengetahuan. Lebih banyak juga tentang artis dan hiburan. Malah ada sisipan khas untuk hiburan pada setiap minggu.

Barangkali, ini ekoran daripada sistem mata pelajaran media dan komunikasi - lebih banyak menghasilkan wartawan dan pelapor berbanding jurnalis yang kritis dan menulis hal-hal tertentu secara mendalam. Ya, kita sangat kekurang penulis demikian dalam akhbar berbahasa Melayu. Mungkin juga golongan yang kritis ini wujud, namun tiada wadah dan ruang yang disediakan dalam akhbar-akhbar ini.

Bukan saya hendak mengangkat akhbar berbahasa Inggeris, tetapi cuba baca akhbar The Star, sebagai contoh. Akhbar tersebut tebal (pada setiap hari, dan tebalnya bukan kerana ada sisipan prospektus saham) begitu juga dengan rencana-rencananya. Seimbang laporan tentang tokoh-tokoh politik dengan tulisan-tulisan yang berbentuk separa ilmiah serta boleh menggugah minda pembaca.

Namun, konvensyen sehari itu dapat membuka minda generasi muda (kehadirannya 90% pelajar IPTA & IPTS). Saya melihat adanya sinar dan harapan dalam anak mata setiap pelajar di hadapan saya dalam konvensyen tersebut. Mereka ini ialah golongan yang menyedari kepentingan Bahasa Melayu sebagai akar kepada jati diri. Mereka juga golongan pengguna Bahasa Inggeris dalam pengajian masing-masing. Semoga mereka dapat menyeimbangkan kedua-duanya dengan cara yang paling bijaksana.

Ulasan

Catatan Popular