Ada Apa Dengan Buku?
Pada mulanya saya agak terkedu apabila dihubungi oleh pihak penganjur. Apa yang harus saya perkatakan tentang buku. Bagi saya, buku itu sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Jiwa rasa kosong apabila tidak membaca. Saya akan merungut dan kecewa jika menunggu seseorang yang lambat dan malang sekalilah orang itu, jika pada ketika itu saya tiada buku di tangan. Kalau ada buku, biasanya memang kurang sikit marahnya, kerana saya akan leka dengan buku itu.
Kalau masuk kedai buku, dua tiga jam tak cukup. Masuk kedai baju atau kedai kasut, 5 minit dah keluar.
Lalu, ada apa dengan buku?
Saya cuma boleh katakan saya sangat menggilai buku. Bertemu jodoh pun dengan orang yang suka membaca. Lantas, saya ceritakan pengalaman saya yang mula boleh membaca seawal usia 4 tahun.
Berikut antara catatan saya dalam kertas edaran yang saya sediakan :
"Membaca sudah menjadi kegilaan saya sejak dari kecil. Saya boleh membaca seawal usia 4 tahun. Saya diajar oleh nenek sebelah emak yang tinggal bersama-sama dengan kami. Selain daripada membaca, saya juga gemar menonton televisyen. Namun, untuk mengetahui apakah rancangan yang bakal ke udara, saya perlu membaca akhbar. Sedikit sebanyak, itu telah mendorong saya supaya cepat pandai membaca.
"Selepas daripada itu, saya ini bukanlah anak gadis yang bebas keluar untuk mengukur bandar dan pekan. Masa lapang selepas sekolah saya habiskan di rumah sahaja. Jadi, saya pun menyelongkar almari buku kepunyaan ibu saya. Di sana saya temui buku-buku beliau yang masih lagi tersimpan dengan baik.
"Antaranya, buku-buku karangan Shakespeare, Charles Dickens, Harriet Beecher Stowe, Mark Twain dan beberapa buku cerita klasik Inggeris yang lain. Tidak kurang juga buku-buku melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Sejarah Melayu dan Suboh tulisan Atan Long.
"Dalam almari yang sama juga tersimpan buku-buku syair milik nenek saya seperti Syair Selendang Delima Seri Banian, Syair Dandan Setia dan satu dua buku syair yang hanya tinggal sekerat kerana telah ‘dinikmati’ oleh sang lipas dan kaum kerabatnya. Sayang sekali! Mana-mana buku yang dapat saya selamatkan, saya bawa keluar dan saya letakkan di tempat yang lebih selamat.
"Keluarga saya bukanlah keluarga berada yang mampu untuk membeli banyak buku. Malah, saya hanya sesekali mendapat hadiah buku. Namun, saya diajar supaya menghargai buku. Oleh sebab saya jarang keluar untuk berhibur bersama-sama teman-teman sekolah, wang saku saya juga dapat saya gunakan untuk membeli buku.
"Biasanya, selepas waktu sekolah, saya akan dijemput pulang oleh datuk saya. (Kedua-dua ibu dan bapa saya bekerja). Sekitar dua minggu sekali, saya akan mengajaknya ke kedai buku di bandar. Tanpa banyak soal, datuk pasti akan membawa saya ke kedai pilihan. Datuk mungkin tidak banyak wang untuk membelanja saya, tetapi dia langsung tidak pernah menolak jika saya mengajak. Dengan setia dia akan menunggu sehingga saya selesai membeli buku. Dia tidak akan bertanya buku apa yang saya beli, namun dia hanya tersenyum kerana dia tahu saya gembira. Datuk, walaupun hanya lulus darjah dua, gemar membaca, biarpun merangkak-rangkak. Dialah yang gemar membeli akhbar setiap kali beliau ke pasar.
"Barangkali suasana itulah yang saya warisi. Saya jatuh cinta kepada buku. Pada awal usia, saya merasa terhalang kalau mahu membeli buku, lantaran keadaan kewangan keluarga pada ketika itu. Namun, saya tidak pernah dihalang jika mahu meminjam buku dari perpustakaan.
"Ketika dalam darjah empat, saya sudah mula menghadam buku-buku Enid Blyton. Ini ekoran saya dihadiahkan dengan buku jenis itu, ketika mendapat hadiah tempat pertama dalam kelas sewaktu Hari Penyampaian Hadiah. Sewaktu di sekolah rendah, setiap tahun saya akan mendapat 2 hadiah: hadiah pelajar terbaik dalam darjah dan juga mata pelajaran terbaik.
"Itu merupakan koleksi pertama ‘perpustakaan kecil’ saya di rumah. Sejak itu juga saya mula mengumpul buku.
"Saya tidak kisah kalau tidak ada baju baru, tetapi saya jadi gelisah jika tiada buku baru untuk dibaca. Tidak kiralah sama ada buku itu buku baru dibeli ataupun buku yang baru dipinjam.
"Sewaktu di sekolah menengah saya mula mengenali nama-nama seperti Othman Puteh, Nazel Hashim Mohamad, Shahidan Mohd Noh, Ariffin Ngah dan ramai lagi penulis novel remaja yang mula mengisi perpustakaan sekolah saya. Setiap hari saya akan baca sebuah novel. Sedaya upaya saya akan habiskan pembacaan saya. Tentu sahaja untuk membaca novel, saya perlu sudahkan kerja-kerja rumah yang dibekalkan oleh guru. Untuk itu, jika ada masa terluang dalam kelas, saya akan cuba menghabiskan kerja rumah supaya saya ada masa untuk membaca setelah sampai di rumah.
"Untuk mengingati apa yang telah saya baca, saya ada buku catatan. Pada zaman saya tiada anugerah NILAM. Jadi, saya hanya mencatat sendiri nama buku dan pengarangnya sekali. Catatan itu membolehkan saya mengingati banyak nama buku serta pengarangnya sampai hari ini.
"Bacaan saya juga tidak terhad kepada novel Bahasa Melayu sahaja. Saya masih tidak meninggalkan novel berbahasa Inggeris. Siri Hardy Boys dan Nancy Drew juga tidak ketinggalan mewarnai zaman remaja saya.
"Antara kawan-kawan saya, ada 5 orang yang gemar membaca. Pada setiap kali ulang tahun hari lahir masing-masing, kami mesti menghadiahkan sebuah buku. Buku tersebut setelah diterima oleh sahabat yang menyambut hari lahir, akan bertukar tangan untuk sama-sama mengambil giliran membaca.
"Jika kami bercadang untuk membeli buku pada bulan tersebut, kami pastikan supaya kami tidak akan membeli buku yang sama. Nanti boleh sahaja ditukar-tukar setelah tuan punya buku selesai membaca. Demikianlah rutinnya, sehinggalah kami semua meninggalkan alam persekolahan."
Saya akhiri ceramah ringkas itu dengan kata-kata 'kitalah apa yang kita baca' (we are what we read).
Ulasan