Erti Perkahwinan
Pada mulanya ia sangat mengganggu fikiran saya. Persoalan yang sering timbul, apakah demikian ragam hidup orang yang berumah tangga. Namun, setelah saya pertimbangkan secara rasional, saya mendapat satu pemikiran baru. Saya simpulkan bahawa mereka ataupun mana-mana pasangan yang datang bertemu dengan saya ialah mereka yang mengalami kegagalan dalam perkahwinan. Pasangan yang melalui kehidupan yang bahagia atau dalam erti kata lain berjaya dalam perkahwinan, tentu sekali tidak akan datang menemui saya.
Saya berada di kawasan orang-orang yang gagal dalam perkahwinan. Lantas, saya juga percaya bahawa setiap orang ada tertakluk kepada qada' dan qadar yang berbeza. Mengapa saya mesti hidup atas ketentuan orang lain, sedangkan saya mempunyai ketentuan yang ditetapkan Tuhan.
Walau bagaimanapun, apa yang saya lalui amat mengajar saya tentang hidup berumah tangga. Saya dapat mendengar luahan rasa suami atau isteri. Sesekali saya terfikirkan mungkinkah ini juga suara hati suami saya. Ini menyebabkan saya merasakan masih banyak perkara dalam hidup yang wajar saya perbaiki. Muhasabah - itulah kata kuncinya.
Pasangan yang mengalami kegagalan dalam perkahwinan adakalanya mempunyai permulaan perkahwinan yang sangat baik, bahagia dan sangat menjanjikan. Namun, ada banyak faktor yang menyebabkan mereka terpaksa berada di pintu mahkamah.
Boleh sahaja saya namakan faktor kewangan, orang ketiga, tiada persefahaman dan banyak lagi. Namun melalui pemerhatian saya, faktor persefahaman dan kepercayaan merupakan aspek paling pentign dalam melihat jaya jatuhnya pasangan tersebut. Andainya pasangan yang bahagia ini dilanda krisis kewangan yang sangat meruncing, namun jika ada persefahaman dan percaya bahawa mereka dapat menyelesaikan, masalah tersebut boleh sahaja di atasi. Bukankah mereka pernah berjanji untuk senang sama senang dan susah sama susah. Begitu juga, jika ada orang ketiga yang mengganggu, jika mereka ada persefahaman dan saling percaya, pasangan akan saling menasihati supaya berhati-hati dengan sikap orang ketiga yang cuba menghampiri pasangannya.
Persefahaman dan kepercayaan.
Tanpa kedua-duanya kebahagian akan hancur. Kepercayaan itu boleh terhapus dengan satu bisikan dan apabila hilang, sekiranya diperoleh kembali pun, sukar untuk keadaan sama seperti sediakala.
Perkahwinan ialah satu proses penyesuaian kepada kebiasaan hidup - Penyatuan dua jenis gaya hidup dan mencari kompromi yang paling sesuai.
Sebab itu orang tua-tua percaya kepada 'raksi' atau rasi. Keperibadian seseorang itu ada pasangannya. Tuhan Maha Mengetahui. Bukankah seorang lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik dan begitulah sebaliknya. Orang tua-tua juga percaya bahawa hari pernikahan itu wajar dilangsungkan pada hari yang baik-baik. Hari yang terpilih. Bukan sebarang hari. Bukan kerana cuti sekolah. Bukan hanya kerana pada waktu tersebut semua sanak saudara dapat berkumpul. Biarlah kalau tiada sanak saudara dapat hadir pun kerana yang hendak bernikah bukannya sanak saudara mereka tetapi pasangan tersebut. Sanak saudara boleh sahaja hadir pada hari walimah.
Islam juga menyuruh pasangan itu dilihat keserasiannya dari aspek sekufu' ataupun kesetaraan. Pasangan yang tidak setara dari segi cara hidup akan membuatkan kehidupan bersama-sama akan menjadi tidak lancar.
Setelah semua aspek diambil kira dan dipertimbangkan, jika masih ada persilihan faham dalam perkahwinan, itu memang adat berumah tangga. Jika semua baik-baik belaka, ertinya pasangan tersebut menyimpan dalam hati segala yang terkilan. Itu lebih bahaya. Akan sampai ketikanya semua sekali akan terhambur keluar seperti sebuah gunung berapi pendam.
Kejujuran dan ketelusan tidak kurang penting juga.
Mengapa saya bercakap tentang perkahwinan? Adakalanya saya juga terlalu mual melihatkan ego pasangan yang berbakul-bakul di hadapan pintu mahkamah. Banyak kes yang boleh selesai dengan baik andainya ego mereka diketepikan buat sementara. Dunia ini akan lebih aman.
Mungkin ada yang lebih berpengalaman daripada saya yang ingin berkongsi pendapat.
Silakan.
Ulasan