Hari Lahir Istimewa Untuk Pencinta Buku


Seperti dalam entri terdahulu, saya pernah katakan bahawa bagi seorang pencinta buku tiada yang lebih istimewa daripada menyambut hari yang istimewa dengan buku-bukunya. Semalam, Seminar Pencinta Buku 2006 jatuh pada hari lahir saya. Ada kejutan kecil buat saya. Itulah kek coklat yang telah disediakan untuk saya. (Terima kasih, Zamri & kawan-kawan!)

Semalam berhimpunnya pencinta-pencinta buku (yang mendapat khabar berita tentang Seminar ini). Alhamdulillah, penyertaannya agak menggalakkan walaupun saya mengharapkan lebih ramai lagi yang hadir. Tetapi saya melihatnya sebagai satu permulaan yang sangat baik. Tahniah buat Bukuonline dan pengasasnya Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim (Kirin).

Kirin juga bukan orang lain dalam dunia sastera, ilmu dan buku. Beliau juga anakanda kepada penulis terkenal Nazel Hashim Mohamad. Saya membesar dengan novel-novel beliau sewaktu usia awal remaja.

Saya mempengerusikan sesi jam 2.30 petang yang membariskan panel Puan Ainon Mohd (Buku & Wanita), Dr. Abu Hassan Hasbullah (Dunia Buku & Tradisi Kesarjanaan) dan Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim (Tentang Bukuonline).

:: Senarai penuh pembentang dan pembentangan di sini ::

Paling mengejutkan ialah pendedahan kajian Dr. Abu Hassan yang menyatakan bahawa para sarjana kita di Malaysia adalah kumpulan yang paling sedikit membaca berbanding sarjana luar negara. Kita kalah dengan sarjana Brunei, malah.
:: Kertas kerja penuh beliau boleh dibaca di sini ::

Aduhai, jika benarlah demikian, betapa sarjana tempatan sangat ketinggalan dalam hal ini. Namun, saya tidak berapa terkejut dengan angka yang dipaparkan. Pengalaman saya menjual buku di sekolah-sekolah dan reaksi sesetengah guru turut menggambarkan situasi yang serupa. Malah ada sesetengah daripada guru-guru ini yang mengakui tidak mempunyai masa untuk membaca.

Kasihan anak-anak muridnya! Mereka nantilah yang akan membesar dan menjadi sarjana. Sarjana inilah nanti yang telah dibesarkan tanpa tradisi membaca sebagai cara hidup.

Saya juga manusia yang sangat sibuk. Tetapi saya sering mengadakan masa untuk membaca. Adakalanya, ketika memandu juga saya mencuri-curi membaca sewaktu kesesakan jalan raya. Ketika jalan jam, semua kenderaan sedang berhenti juga saya pernah dihon oleh pemandu lori - semacam menyindir saya yang sedang membaca. Padahal, daripada saya melopong atau lebih teruk lagi menyumpah-nyumpah kerana jalan jam, bukanlah lebih baik saya manfaatkan dengan cara yang lebih baik. (Nak hon-hon kita pulak)

Hari ini semakin banyak kekanan untuk anak-anak kita membaca. Cuba kita senaraikan faktor-faktornya dan selepas itu cuba menyelesaikannya :

  • Tiada perpustakaan di rumah
  • Bila nak beli buku, ibu akan berkata "buku di rumah banyak lagi." - padahal anak itu sudah habis membacanya dan memerlukan buku lagi.
  • Tiada orang yang tolong bacanya buku cerita untuknya (untuk anak-anak yang belum pandai membaca).
  • Buku untuk anak-anak dikatakan mahal. Boardbooks boleh sampai harga RM30 - RM50 - terutamanya big book. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa itulah pelaburan paling berharga untuk anak-anak. (Saya bukan suruh mereka beli buku demikian setiap minggu ataupun setiap bulan - pandai-pandailah buat belanjawan keluarga)
  • Perpustakaan negeri tidak memperbaharui koleksi buku kanak-kanak. Tidak pandai buat pemilihan buku. Bergantung kepada mana-mana pembekal buku yang rajin buat PR dengan mereka. Padahal, pustakawan yang baik seharusnya merayau mencari buku yang baik untuk menambah koleksi buku-bukunya.
  • Banyak lagi faktor yang boleh disenaraikan, marilah kita tambah bersama-sama, tapi ingat mesti ada penyelesaiannya.
Tradisi membaca itu perlu datang dari rumah. Ibu merupakan orang nombor satu yang mempengaruhi pembacaan. Ibu / wanita merupakan orang yang tidak lokek berkongsi apa yang dia tahu dengan anak-anaknya. (Bapa kalau baca suratkhabar, dia akan faham seorang, jarang mahu berkongsi atau mengulas apa yang dia baca). Ibu yang membaca akan menceritakan apakah keseronokan ataupun kekurangan isi bahan yang dibacanya.

Arwah ibu dan nenek saya juga demikian. Komen-komennya itu yang menimbulkan rasa ingin tahu dan menggugah supaya saya juga membaca apa yang telah dibaca. Lantas, membaca menjadi satu tradisi dalam keluarga kami yang sederhana. Beli buku pun bukan selalu, ketika itu, tetapi sekurang-kurangnya kami membaca dengan kapasiti pembelian yang sederhana itu.

Kini anak-anak saya lebih 'dimewahkan' dengan buku. Saya mewujudkan persekitaran yang penuh dengan buku. Mereka juga tahu yang ini buku siapa. Mereka tidak ganggu buku-buku saya atau suami ataupun datuknya. Masing-masing menghormati buku orang lain. Kalau mahu lihat atau baca, boleh pinjam tetapi nanti pulangkan semula. Setakat ini, nampaknya mereka boleh menerima hakikat tersebut.

Saya masih ada satu lagi impian kecil - membelikan mereka rak buku khas supaya mereka juga pandai menyusun buku mengikut milik masing-masing.

Itulah sahaja yang boleh saya tinggalkan untuk anak-anak saya. Pelaburan kecil yang diharapkan dapat membantu mereka menjadi insan yang berguna.



Nota hujung :

1. Saya masih belum sempat membeli hadiah untuk diri sendiri tetapi semalam sewaktu menjadi pengerusi panel, saya dihadiahkan dengan 5 buah buku. Satu daripadanya sangat menarik perhatian. Judulnya Terbakar Cinta Tuhan - Kajian Eksklusif Spiritualitas Islam Awal (Micheal A. Sells - Profesor Perbandingan Agama Haverford College). Buku ini saya karya terjemahan. Akan saya iktiraf sebagai hadiah hari lahir untuk diri sendiri.

2. Sesiapa yang membeli buku saya semalam dan meminta tandatangan saya juga bertuah kerana saya meletakkan tarikh hari lahir saya ke dalam buku tersebut :-)

3. Nisah tak sudah-sudah cerita pasal hari lahir, macamlah orang lain tak sambut hari lahir.

Cukup sampai di sini dahulu. Terima kasih kepada semua SMS dan sebarang ucapan tanda ingatan.

Ulasan

Catatan Popular