Sabtu, April 22, 2006

Membaca Dalam Nadi & Salur Darah

Hari ini saya dijemput oleh SMK King George V, Seremban untuk menyampaikan ceramah tentang buku dan proses kreatif novel saya Mencari Locus Standi. Dalam ceramah sekitar sejam itu saya bawa mereka melihat novel itu daripada perspektif saya sebagai pembaca, kemudian saya kongsi proses kreatif novel tersebut bersama-sama mereka.

Sebelum sesi itu dimulakan, saya minta sekitar 5 - 6 orang membacakan fragmen novel tersebut mengikut giliran dan saya sendiri menyudahkannya.

Saya juga membayangkan jumlah sekitar 40 - 50 orang itu semacam 'terpaksa' datang kerana sekolah mewajibkan mereka hadir untuk Program Khemah Membaca peringkat sekolah. Tidak dinafikan ada beberapa pelajar yang benar-benar berminat dan ada yang seperti ada keinginan untuk menjadi penulis.

Teringat saya kepada kata-kata Jaafar Rahim sewaktu Seminar Pencinta Buku 20 April yang lalu. Kata beliau, membaca tidak perlukan sebarang kempen. Kempen hanya akan menghabiskan wang. Tetapi kalau orang itu tidak mahu membaca, dia tidak akan membaca juga! Saya menyetujui pandangan tersebut.

Nikmat membaca hanya boleh dirasai oleh orang yang membaca dengan segala urat nadi dan salur darahnya. Nikmat membaca itu melalui di dalam dirinya. Kesedaran itu juga harus tumbuh dari dalam. Andai dipaksa, sikap membaca itu tidak akan kekal. Apabila pelajar tersebut meninggalkan sekolah, itulah kali terakhir dia membaca. Sayang, bukan?

Kerajaan (dalam menjalankan 'kempen' membaca) nampak tidak cukup bersungguh-sungguh dalam hal ini. Bulan Julai telah dijadikan bulan membaca tetapi hanya bulan itu sahajakah kita perlu banyak membaca, sedangkan membaca itu tidak bermusim. Membaca itu boleh di mana-mana sahaja.

Projek NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) yang dijadikan kayu ukur kepada jumlah dan tahap pembacaan pelajar saya lihat ada buruk dan baiknya. Ya, pada satu sisi pembaca digalakkan membaca dan kemudian memasukkan maklumat tentang buku dan sinopsis tentang buku tersebut dalam sebuah buku khas yang disediakan. Rata-rata saya melihat pelajar hanya menyalin blurb buku yang dipilih. Belum tentu dia membaca buku tersebut. (Saya percaya guru yang memeriksa buku tersebut juga tidak tahu apa yang dibaca oleh pelajarnya).

Hakikatnya masih ramai rakyat Malaysia yang tidak membaca bahan berilmu. Remaja hari ini bakal menjadi pemimpin hari esok. Bayangkan pemimpin masa depan yang tidak membaca. Mungkin tidak perlu melihat terlalu jauh. Bagaimana dengan pemimpin hari ini?

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails