Tapak Untuk Penulis Muda


Tahniah kepada para penulis yang karyanya tersiar dalam Tunas Cipta (Mei 2006). Antaranya:
Khairunnasriah Abd. Salam (Elegi Puteri Sa'dong) - Cerpen
Zanazanzaly (Rekayasa) - Cerpen
Salman Sulaiman (Menunggu Bulan dan Matahari) - Drama
Syarifah Salha Syed Ahmad (Duniaku) - Sajak
Faizah Mohd Shafawi (Bersayap Mimpi Dalam Hati) - Sajak

Saya turut berbangga dengan kejayaan adik-adik dan teman seangkatan saya ini.

Tidak ketinggalan ruangan tetap :

Faisal Tehrani (Eng Bahlut)
Nisah Haron (Mewariskan Harta Intelektual)

Bicara karya kali ini ialah : Sdr Khairul Nizam Abd. Raub.

Dapatkan naskhah anda hari ini!

* * * * * * * * * * * * * * * *

Terasa sayu apabila saya melihat Tunas Cipta. Terimbau segala kenangan sewaktu kelahiran edisi pertama hinggalah yang terkini. Ada banyak perubahan yang saya lihat. Satu pada isi majalah dan kedua, tentang perubahan terhadap penulis muda itu sendiri.

Suka tidak suka Tunas Cipta telah menjadi satu-satu majalah yang memberi ruang kepada penulis muda membina keyakinan dan tapak untuk berdiri teguh dalam dunia penulisan. Belum ada majalah lain yang memberikan ruang yang sebegitu banyak kepada penulis muda untuk berkarya.

Karya-karya sendiri membesar dengan majalah Dewan Siswa. Majalah itu hanya menyediakan dua buah cerpen sebulan. Satu khas dari penulis remaja dan yang satu lagi terbuka. Peluang untuk cerpen itu terbit memang amat sukar. Pada usia remaja, apabila ada karya yang tersiar, tidak dapat tidak itu merupakan sesuatu yang amat membanggakan. Kepuasannya pula, paling sukar untuk digambarkan.

Kini dengan adanya Tunas Cipta, saya melihat peluang yang diberikan kepada penulis muda lebih luas. Terpulanglah kepada penulis itu sendiri untuk memanfaatkannya. Kalau Dewan Siswa mengehadkan usia (cerpen daripada siswa) 20 tahun ke bawah, Tunas Cipta pula bagi penulis 35 tahun ke bawah.

Terimbau juga sejarah Tunas Cipta. Nama asalnya GEN - sedikit ranggi tetapi bersesuaian dengan remaja. Tetapi entah bagaimana boleh bertukar atau tertukar menjadi satu nama yang sangat klise - Tunas Cipta. Tak mengapalah, lama-lama semua penulis boleh sahaja terima dengan nama baru (yang bunyinya macam tak 'glamour'). Yang penting, karya yang tersiar di majalah itu mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Penulis yang telah mendapat tempat dan tapak dalam Tunas Cipta kemudiannya menulis pula di wadah-wadah lain. Ada yang telah pun menjadi 'graduan' Tunas Cipta dan beralih ke Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan lain-lain. Penulis hari ini melihat adanya kepentingan Tunas Cipta sebagai tapak tempat mereka bermula.

Sesekali saya bimbang seandainya Tunas Cipta tidak ada, barangkali agak sukar untuk penulis baru @ muda untuk lebih cepat meningkatkan diri dalam bidang penulisan. Mungkin edaran untuk majalah Tunas Cipta tidaklah setinggi majalah remaja yang lain tetapi saya percaya melebihi 5,000 naskhah setiap bulan. Itu sudah cukup baik bagi majalah yang berteraskan sastera 100%.

Majalah ini wajar mendapat sokongan. Setakat hari ini, saya masih ada koleksi lengkap Tunas Cipta, hatta sewaktu ia masih bergelar GEN.

Semoga kepentingan majalah muda ini tidak dipandang sepi oleh pihak pengurusan DBP.

Ulasan

Catatan Popular