Jumaat, Mei 05, 2006

Lagi tentang pantang larang pantun

Entri saya tentang pantun "Yang kurik itu kundi" menerima pelbagai reaksi. Mungkin tidak ramai yang membaca reaksi tersebut dan reaksi / komen tersebut apabila 'dipustakakan' akan hilang begitu sahaja.

Jadi saya mengambil langkah beberapa komen yang wajar didokumentasi untuk tatapan semua. Saya percaya penulisnya tentu tidak keberatan kerana komen mereka ini memang dihantar supaya dibaca pengunjung di sini.

Berikut beberapa kutipan yang menarik:

i. kurik itu buah saga muda yang memang berbintik-bintik hitam. justeru, yang disebut kundi memang bersifat kurik.

yang bersifat merah itu adalah saga.

beza kecil pada kata tetapi besar beza pada makna.

ii. kata molek itu lebih halus (khusus) dan lebih cantik sifat katanya daripada kata baik. kata baik bersifat lebih umum.

dalam sastera lama, sering disebut molek sifat(nya), berbanding baik sifat(nya). rujuk pantun & syair.

contoh kalimat yang diberikan nisah: budi yang baik vs budi yang molek.

kalimat yang harus dipakai (dibaca) ialah baik budi dan molek budi (bukan budi yang molek).

maka, memang dapat diterima pantun dengan kalimat: yang molek itu budi (tidak cacat cela! malah lebih indah kalimatnya daripada: yang baik itu budi)

selain itu, kita juga ada kata elok. digunakan dalam konteks; elok perangai (selain kata elok sifatnya), elok wajah (molek wajah, dan bukan baik wajah).

justeru, kalau pantun itu tertulis:

yang molek itu budi,

ia merujuk kepada sifat budi yang molek (indah) itu.

memang kata baik, elok, molek seperti terlihat sama tetapi kata yang sama erti/sinonim (dalam konteks definisi) tidak akan dapat memberi makna sama 100%.

salam.

ralat:

i. kundi itu buah saga muda yang memang kurik (berbintik-bintik hitam). justeru, yang disebut kundi memang bersifat kurik.

yang bersifat merah itu adalah saga.

mohon maaf.



Saya suka betul dengan entri ini Nisah. Tahniah kerana ada seorang lagi pejuang pantun Melayu asli. Saya pun dulu suka betul buat silap pasal kendi itu.

Sebab 'kurik' itu saya faham maksudnya adalah 'cantik'. Sesuatu yang berukir dan berlorek-lorek (of course, many people have argued the actual meaning of 'kurik' in many different ways). Jadi (kalau ikut aliran dan teori makna yang ini), logik sangat kalau kendi Melayu yang lazimnya dibuat dari tembaga atau perak dikatakan kurik.

Tapi ya, setuju dengan Nisah bahawa 'kurik kundi' adalah frasa yang diguna secara rasmi dalam kitab pantun Melayu (yang merah itu). Jadi, barangkali ia wajar dijadikan piawai.

Kalau kurik itu dirujuk sebagai rintik-rintik; maka, barangkali ya.. kundi adalah padanan yang lebih sesuai.

Penggunaan koma dan semicolon itu pun saya sangat setuju Nisah higlight-kan SEBAB itu memang ciri signifikan penulisan pantun. Aturan itu bukan dibuat suka-suka atau sambalewa. Ia menggambarkan bagaimana fashahah dan lafaz pantun itu sendiri.

Pada hujung baris pertama, bunyinya harus bersifat 'saktah' (jeda pendek tanpa lepaskan nafas). Sebab itu MESTI pakai koma. Pada hujung baris kedua, bunyinya bersifat 'wakaf ringan' (jeda pendek dengan lepaskan nafas). Pada hujung baris ketiga, bunyinya sekali lagi kembali kepada 'saktah'. Dan hujung baris keempat ia kembali jadi 'wakaf mutlak' (sebab itu mesti noktah).

Kalau tanda-baca kita ikut dalam penulisan pantun, maka pincanglah jadinya. Ibaratnya baca Quran tapi tak ikut aturan tajwid. Cam gitulah.

Satu lagi, orang suka letak tanda soal kalau pantun itu (kononnya) berbentuk soal. Tak ada istilah pantun soal dan pantun jawab dalam kamus tradisional. SEMUA PANTUN boleh jadi pantun jawab dan soal sekaligus. Sebab itu dalam Dondang Sayang, pantun yang dilagukan secara berkait-kait itu sifatnya saling soal menyoal. Pantun pertama jadi pantun soal. Pantun kedua jadi pantun jawab sekaligus jadi pantun soal untuk pantun yang berikutnya (ketiga). Tidak ada pantun eksklusif yang sifatnya MENYOAL SAJA atau MENJAWAB saja. Jadi, penggunaan tanda (?) pada baris akhir pantun adalah tidak relevan. Stick dengan noktah saja sebagai satu bentuk sejagat pantun asli Melayu.
Saya ada buat eksplorasi sikit, tapi isu 'kurik kendi' vs 'kurik kundi' ini memang ada dua mazhab yang berbeza.

Satu mazhab kata, ia memang 'kendi' dan bukan 'kundi'. Alasannya? Sebab kurik itu bermaksud sesuatu yang berlorek atau bercorak-corak. Satu mazhab lagi kata, ia adalah 'kundi' (biji saga). Dalam konteks ini, sifat kurik dikaitkan dengan 'rintik-rintik' (atau berbintik).

Saya selama ini memang ikut mazhab yang 'kendi' itu sebab menyangka memang ia merujuk pada kendi Melayu. Saya langsung tidak terfikir tentang kundi sebagai biji saga. Cuma, beberapa bulan dulu, Nisah ada menegur tentang penggunaan 'kendi' itu. Ia membikin saya merujuk semula kitab pantun Melayu, dan kebetulan saya terjumpa frasa rasminya sebagai kundi.

Sebenarnya asal-usul kepada kemelut ini datangnya daripada proses transkripsi tulisan jawi kepada rumi. Persuratan Melayu bermula dengan tulisan Jawi (versi lama). Jadi kundi atau kendi itu dieja 'kaf nun dal ya'. Bila dirumikan - maka wujud dua aliran: kundi dan kendi.

Dua-dua konteks ini memang ada alasan yang tersendiri. Bagi yang kata 'kendi', mereka hujahkan bahawa 'kurik' itu adalah satu pemerian tentang sifat indah satu benda yang berlorek-lorek dan bercorak. Dalam hal ini, 'kendi' lebih munsabah berbanding dengan biji saga.

Yang kata 'kundi' pula, alasannya sebab pada baris kedua pembayang, ia disebut 'merah saga'. Justeru, perkaitan yang lebih intim tentunya 'kundi'. Jarang benar pembayang-pembayang pantun Melayu lama ini melilau tak tentu hala dan hilang perkaitan antara baris pertama dan kedua. Tapi bukan bermakna TIDAK BOLEH. Ada juga kes pantun klasik yang buat pembayang tanpa bertautan makna yang intim. Contohnya:

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;

Pucuk pauh dengan anak sembilang kat tangan, apa interaksinya?

Setelah ditegur oleh Nisah, saya sudah bertaubat (hehehe!) dan berpegang kepada mazhab yang kedua, iaitu 'kurik kundi'. Kenapa? Sebab itu yang dimanifestasikan secara rasmi dalam kitab pantun rujukan terbitan DBP. Tapi saya fikir, isu ini adalah persoalan yang subjektif. Barangkali kita harus izinkan 'kebenaran' untuk dua-dua mazhab. Asalkan saja kita faham apa justifikasi dan rasional pilihan kita.

Jangan main guna sebab terikut-ikut (macam saya dulu la). Saya selalu pakai 'kendi' sebab itu adalah konsepsi fitrah yang mula-mula diperkenalkan kepada saya. Paling tidak, saya sekarang faham tentang asas-asas perdebatan untuk isu ini. Terima kasih Nisah kerana membuka pintu kepada kecelikan ini..
i. orang menulis kendi kerana dia tidak tahu (tidak mengkaji) tentang kundi. jadi ini soal dengar-dengar, ambil mudah dan bikin rumusan.

kundi itu memang padanan untuk saga. itu premis utama yang menjadi hujahan kuat tentang pembayang "kundi" tersebut.

justeru, tidak muncul persoalan wujud versi di bawah ini (mazhab lain) kerana ia memang versi yang salah:

yang kurik itu kendi,
yang merah itu saga;
yang molek itu budi,
yang indah itu bahasa.

dari mana datangnya asal kata untuk kurik yang bermaksud berlorek atau bercorak?

arab? melayu lama? bahasa daerah? dusun? jawa? sunda? minang? dengar-dengar dari mana-mana?

ii. pucuk pauh delima batu,
anak sembilang di tapak tangan;

pembayang ini dikatakan tidak ada hubungan? tiada interaksi?

anggap sahaja kita tidak tahu sebelum kita membuat rumus bahawa dua kalimat di atas tiada hubung kait langsung.

premis 1:
hubungan pucuk pauh dan delima, tumbuh-tumbuhan (mungkin) sebagai ubat menghilangkan bisa.

premis 2:
anak sembilang = bisa sengatan. bayangkan kalau menangkap sembilang dengan tangan, walaupun anak sembilang.

premis 3:
hubungan dua alam yang berbeza, satu di darat (pucuk pauh et. al), satu di air [(anak sembilang) - dan kemudian cuba didaratkan - elemen tapak tangan)].

hubungan ini penting jika dirujuk kepada dua baris maksud pantun:

sungguh jauh di negeri satu,
hilang di mata di hati jangan.

hubungan dua alam ini merujuk hubungan ruang-masa yang ingin disampaikan oleh keseluruhan pantun.

anak sembilang dan sengatan = konsep ingatan setelah berlaku perpisahan.

saya pernah mendengar ada pihak yang menukar pembayang pantun daripada anak sembilang kepada anak belalang.

alasannya: belalang lebih dekat dengan tumbuh-tumbuhan (darat) tadi.

tetapi, apabila mendengar seluruh pantun, terlihat kesatuan makna agak terjejas. impak sembilang itu lebih kuat dari belalang (yang selalu meloncat-loncat dari satu rumput ke lalang).

iii. satu contoh pantun lain dengan pembayang yang cantik:

sianggit paku lembayung,
gelenggang ada dibawa budak;
menangis merengkuh dayung,
hendak pulang beremas tidak.

kalau tidak dilakukan penyelidikan, berapa banyak kita yang tahu tentang sianggit, lembayung dan gelenggang? ketiga-tiganya adalah tumbuhan herba yang boleh dibuat ubat.

dan orang merantau, benda mustajab untuk dibawa pulang (dengan bangga) adalah emas (bermaksud keberuntungan nasib). kalau tidak ada emas (ubat yang dapat menyembuhkan maruah diri), bagaimana mahu pulang dan berdepan diri dengan keluarga, sahabat taulan di kampung asal.

kalau kita tidak tahu, tidak semestinya hal itu tidak atau bukan yang sepatutnya.

marilah mencari dan bertanya dahulu sebelum membuat rumus. memang banyak perkara dalam dunia boleh dianggap hal subjektif, ikut justifikasi dan rasional diri sendiri.

tapi, susahlah kalau kita suka-suka memberi justifikasi dan rasional sendiri.

kalau boleh, janganlah begitu.
Sebenarnya ada kaitan antara pucuk paut delima batu dengan ikan sembilang di tapak tangan - kaitan yang amat rapat. sebab itu jenis ikan yang dipilih ialah ikan sembilang tidak ikan gelama atau ikan tuka atau ikan lumba-lumba yang bunyi akhir a lebih sesuai dipadankan dengan bunyi akhir untuk kata "mata".



1 ulasan:

Shaiful Bahri Md Radzi berkata...

Ikut nasrun.... dia pernah bincang ttg pantun ini...

dua baris pertama hujungnya dipadankan bijian rupa yang serupa, saiz serupa... kundi dan saga. kundi buat timbangan emas (check kamus) - tidak bagi saga...

dua kata awal - warna - kurik dan merah... (tak silap - nasrun kata gelap? - dlm kamus dewan tiada - check wilkinson - dlm poewardaminta - rintik2 - makna gelap)

Related Posts with Thumbnails