Menuju Shanghai
Insya-Allah, esok sekitar jam 9.00 pagi, saya akan berlepas ke Shanghai, China.
Ya, ini pertama kali saya menjejakkan kaki ke negara itu. Pun, tak sangka sebenarnya saya mendapat tawaran tersebut. Saya akan membentangkan kertas kerja berjudul An Overview of the Malay Oral and Classical Poetry as Traditional Knowledge under Malaysian Copyright Law. (Suatu Tinjauan tentang Puisi Klasik dan Lisan sebagai 'Ilmu Tradisi' di bawah Undang-undang Hak Cipta di Malaysia)
Persidangan ini anjuran East China University of Political and Law di Shanghai dan kalau ingin tahu maklumat lanjut, boleh singgah ke laman web persidangan ini. (Klik pada 'conference programme' untuk dapatkan senarai pembentang kertas kerja).
Apa yang akan saya perkatakan? Tentang puisi klasik seperti pantun, syair, nazam, teromba dan lain-lain. Bagaimanakah kedudukan mereka jika karya ini diambil oleh orang luar Malaysia? Sebagai contoh, tentu ada yang tahu tentang lagu "Anak Ayam" versi asal. Kini diadunkan dalam lagu Too Phat. Jadi royaltinya tentulah kepada penyanyi dan syarikat rakaman. Penyanyi ataupun pencipta asal lagu "Anak Ayam" ini tentulah tidak dapat apa-apa kerana ia sudah dianggap milik orang ramai (public domain).
Sebagai lagu rakyat, ia tidak dimiliki oleh mana-mana individu, sedangkan hak cipta melindungi hak individu. Bayangkan pula jika Too Phat itu bukan orang Malaysia, ertinya dia penyanyi warganegara luar dengan syarikat rakamannya, misalnya di London - menyanyikan lagu yang sama. Apakah yang kita akan dapat sebagai rakyat Malaysia? Sekadar populariti - eh, eh itu lagu 'anak ayam' - lagu nenek moyang kita la! Selebihnya? Royalti dikutip penyanyi dan syarikat rakaman mengaut untung.
Apa yang mahu saya perjuangkan ialah hak cipta terhadap karya milik masyarakat Melayu Malaysia. Pantun, syair, seloka, gurindam, masnawi, rubaie, rangkait, rejang dan banyak lagi - semua itu sastera lisan yang tidak diketahui siapakah pencipta asalnya. Dalam masyarakat Melayu, kita selesa menurunkan sesuatu secara lisan. Kita juga percaya bahawa ilmu itu milik semua dan wajar dikongsi bersama. Ilham itu dari Allah dan kita hanya menyampaikan sahaja. Tetapi, konsep hak cipta dalam undang-undang hari ini datangnya dari Barat. Mereka mengiktiraf hak cipta individu sahaja. Jika penciptanya tidak dikenalpasti maka ia menjadi milik sesiapa sahaja. Harus ada satu bentuk mekanisme bagi melindungi harta intelektual orang Melayu ini sebelum diambil semudahnya oleh orang luar dan kita tidak mempunyai sebarang perlindungan untuk mengatakan bahawa ia milik kita.
Ada apa di Shanghai ya? Setahu saya ia sebuah kota perjudian yang besar. Selebihnya, ada juga saya dengar Shanghai sebagai kota ekonomi dan ramai juga Muslim di sana yang menjalankan aktiviti perniagaan. Apabila terdengar China, saya sudah bayangkan berapa kati mee segera yang perlu saya bawa ataupun makan buah sahajakah saya di sana? Tetapi pembacaan dan maklumat yang saya terima, terdapat banyak restauran yang dikendalikan oleh Cina Muslim.
Saya tidak pasti sama ada saya boleh berblog dari Shanghai. Mungkin, jika ada kesempatan saya akan menurunkan tinta. Jika tidak, seperti entri dari Palembang dua tahun dulu, saya akan menulisnya sebaik-baik sahaja pulang dan berkesempatan menulis.
Doakan saya selamat di rantau orang. Saya mohon untuk pergi membawa nama Malaysia, nama Melayu, sastera Melayu di peringkat antarabangsa.
Ulasan