Annyss Sophilea - satu retrospeksi


Sewaktu menulis cerpen Annyss Sophilea, saya tidak pernah terfikir tentang banyak perkara :
  • bahawa Annyss Sophilea akan menang Hadiah Sastera Siswa - Bank Rakyat 1992 (HSSBR'92)
  • bahawa Annyss Sophilea akan terpilih sebagai judul antologi HSSBR'92
  • bahawa Annyss Sophilea akan terpilih sebagai satu daripada cerpen untuk dikaji pelajar Tingkatan 4 (Antologi Anak Laut)
Insprasi untuk menulis cerpen itu datang daripada getaran yang kuat tentang persahabatan. Sebagai remaja, aspek persahabatan memberi pengaruh yang sangat besar. Itu sahaja mesejnya. Ketika menulisnya, saya menulis dari hati. Pun, saya cuba mengikuti ciri-ciri penulisan cerpen yang betul kerana pada waktu itu saya sudah khatam buku Persediaan Menulis Cerpen tulisan Allahyarham Othman Puteh.

Latar belakang pembacaan saya pada waktu itu : memang ada novel-novel fantasi yang saya selami sewaktu saya remaja. Antara yang paling menarik perhatian saya ialah novel karangan David Eddings - The Pawn of Prophecy, Queen of Sorcery, Magicians' Gambit, Castle of Wizardry dan The Enchanter's End Game. Siri itu seterusnya dikenali sebagai The Belgariad Series, kemudiannya disambung pada tahun-tahun berikutnya dan dinamakan sebagai The Mallorean Series.

Namun, saya tidak pernah bercadang untuk menulis seperti Eddings. Saya lebih terkesan dengan karya-karya Ahmad Patria Abdullah yang boleh dikatakan pelopor novel-novel fantasi moden di Malaysia. Pada ketika itu juga, tidak ramai pengikut mazhab penulisan begini. Ramai juga yang rasa pelik apabila membaca karya fantasi dalam Bahasa Melayu. Membaca karya-karya beliau tidak menjadikan saya mahu menulis karya fantasi pada ketika itu. Saya juga memulakan karya dengan menulis kisah-kisah remaja @ pelajar sekolah @ kekeluargaan dan sebagainya - segalanya yang klise!


Annyss Sophilea juga bukan karya saya yang pertama. Seperti mana yang diketahui ramai, cerpen saya yang pertama ialah Di Sebalik Wajahmu, Aries (Dewan Siswa, September 1990). Ini diikuti oleh Atlantis Duniaku Duniamu (Dewan Siswa, Mac 1991) dan Penawar Astrid (Dewan Siswa, September 1991). Annyss Sophilea tersiar pada September 1992 dalam majalah Dewan Siswa juga.


Dewan Siswa pada ketika itu majalah yang sangat berprestij di kalangan pelajar sekolah menengah. Persaingan untuk mendapatkan ruang dalam "Cerpen Daripada Siswa" sangat sengit. Kualiti karya yang dihasilkan penulis remaja pada ketika itu ada yang setanding dengan penulis mapan. Pemilihan dilakukan oleh sifu cerpen dan novel remaja Malaysia - Allahyarham Dr. Othman Puteh. Daripada pemilihan dan di tangan Allahyarham, maka lahirlah ramai penulis muda yang kini sudah pun agak 'dewasa' dalam penulisan. Kebanyakannya terpilih untuk Minggu Penulis Remaja anjuran DBP.

Oleh sebab pemilihan penulis bagi menyertai Minggu Penulis Remaja berdasarkan merit dan bukannya melalui permohonan, kualiti penulis pada ketika itu amat membanggakan. Perbezaan agak jelas apabila DBP mengubah cara pemilihan dan sesiapa sahaja yang berminat boleh memohon (tertakluk kepada kelulusan pemilihan). Bukan saya katakan kategori mereka yang memohon ini tidak baik, tidak kurang juga yang kini agak menyerlah, namun sebagai satu kumpulan, ada kesan yang berbeza.

Jadi tidak hairan juga, ramai penulis remaja yang karyanya diterbitkan oleh DBP pada tahun-tahun 90-an. Dengan yang demikian, nama-nama seperti Hizairi Othman, Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, Siti Hajar Mohd Zaki, Dima Mazlina Abu Bakar, Saroja Theavy, (termasuk juga Mawar Shafei - tetapi Dr. Mawar bukan produk Minggu penulis remaja, walaupun dia rapat dengan kumpulan MPR dan sering dikaitkan) dan beberapa angkatan penulis muda, karya mereka terpilih untuk dikaji oleh para pelajar sekolah menengah sebagai Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Pengajaran Bahasa Melayu.

Tanyalah kepada semua penulis yang saya sebutkan, mereka akan menjawab bahawa mereka tidak menyangka karya tersebut akan dibincangkan dalam kelas-kelas di sekolah. Namun, panel pemilih melihat ada sudut sastera remaja, nilai-nilai murni dan banyak yang positif dapat dikutip daripada karya tersebut. Itu pandangan pengkaji.

Penulis tidak akan nampak perkara-perkara tersebut. Tugas penulis hanyalah menyampaikan maksud, tidak lebih daripada itu. Selebihnya terpulanglah kepada tafsiran pembaca.

Dengan itu, ada banyak tafsiran pembaca tentang Annyss Sophilea. Ada yang kata cerpen itu mengarut kerana pembaca itu tidak dapat menerima karya-karya fantasi berbahasa Melayu. Ada juga yang mengatakan cerpen tersebut satu percubaan menulis karya sains fiksyen yang gagal. Memanglah, Annyss Sophilea bukan karya fiksyen sains. Ada perbezaan yang jauh antara karya sains fiksyen dan karya fantasi. [Hanya jauhari yang mengenal manikam].

Tidak kurang juga yang menuduh, mengapa gadis dari masa depan mesti memakai nama yang tergeliat lidah hendak menyebut. Jawapan saya, Annyss Sophilea bukanlah seorang gadis dari masa hadapan, dia dari masa yang sama cuma dari tempat yang berbeza. Dia cuma kaum dan bangsa lain yang wujud dalam imaginasi penulis dan pembaca. Kalau namanya Limah, Bedah ataupun Tijah - dia sudah mewakili bangsa Melayu dan tidak lagi bernuansa fantasi.

Mengapa saya mesti mengeja Annyss Sophilea sedemikian rupa? Kalau saya eja Anis Sofilia mungkin tak ada pembaca yang akan melihat judul itu dua kali. Malah ejaan Anis Sofilia itu mungkin sedikit asing pada hujung tahun 80-an hingga awal 90-an. Tetapi kini nama itu sudah jadi sangat biasa. [Tak tahulah kalau sudah ada orang yang menamakan anaknya dengan ejaan Annyss Sophilea. Setahu saya ada seorang sahabat yang menamakan anaknya Anis Sufea mengambil sempena cerpen saya, katanya.]

Secara peribadi, Annyss Sophilea bukanlah cerpen terbaik daripada saya, namun saya ada rasa dekat dengan cerpen ini berbanding cerpen-cerpen lain. Ketika itu, saya masih lagi belajar memperbaiki cerpen saya.

Sesungguhnya, menjadi penulis merupakan satu terapi kepada diri. Untuk menghasilkan karya yang baik, penulis harus memperbaiki dirinya terlebih dahulu. Itu nanti akan terpancar dalam karyanya. Penulis tidak akan mampu berselindung di dalam karyanya. Untuk lebih kenal hati budi seorang penulis, bacalah karyanya, kerana apa yang anda lihat secara fizikal dan apa yang anda nampak apabila bertemu seorang penulis, bukanlah dirinya yang sebenar. Penulis biasanya tidak dapat tidak akan mewujudkan dirinya (secara cameo) dalam karyanya.

Persoalannya, di sebalik watak yang mana, dia berselindung?

**********

p/s : cerpen-cerpen yang disebut di atas boleh dibaca dalam kumpulan cerpen Impian Tsu-Ryi. Begitu juga dengan pembaca yang tertanya-tanya, apa sebenarnya terjadi kepada watak Akmal dalam Annyss Sophilea, jawapannya ada dalam cerpen Annyss Sophilea, Puteriku - turut terkandungn dalam kumpulan cerpen ini. Buku ini ada dijual di www.ujanailmu.com.my.

Ulasan

Catatan Popular