Di Pinggir Pantai Dungun

Saya menulis dari Hotel UiTM Dungun. Alangkah bertuahnya menjadi pelajar di UiTM Dungun ini, kampusnya berhadapan dengan pantai. Setiap hari boleh melihat matahari terbit dari laut. Barangkali, fakulti sasteranya patut diletakkan di sini supaya banyak inspirasi untuk menulis!

Pun, insprasi bukannya datang dari laut sahaja. Menulis, di mana-mana pun boleh.

Saya akan pulang pada hari ini. Tetapi semalam, hari paling banyak advencer saya kira.

Hari saya dimulakan pada jam 5.oo pagi. Usai solat subuh pada 5.33, saya terus ke kereta dan memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu. Dungun masih basah bukan sahaja dek embun tetapi ada gerimis di subuh hari.

Inilah pertama kali saya memandu ke pantai timur. Subuh yang gelap, perlahan-lahan meninggalkan saya. Fajar semakin membawa cahaya di sebelah kanan. Pantai juga kekal setia di sebelah kanan sepanjang perjalanan saya ke Kuala Terengganu. Pagi itu, saya tidak dapat melakukan aktiviti kegemaran setiap kali ke Pantai Timur - melihat matahari terbit dari laut. Bukan kerana saya memandu, tetapi juga hari mendung.

Lebih kurang di Marang, hari semakin cerah dan saya sampai di pinggir pantai Kuala Terengganu sekitar 7.00 pagi. Bandar itu masih belum bangkit sepenuhnya. Saya menuju Bukit Kecil kerana mahu ke Terengganu FM. Alhamdulillah, selepas sedikit 'sesat-barat' jumpa juga stesen radio itu.

Saya ke udara secara langsung dari konti Terengganu FM untuk rancangan Motivasi Pagi (yang selalunya hanya melalui panggilan telefon sahaja).

DJnya (Farah Fauzi) terkejut dengan kehadiran saya. Program tetap dijalankan mengikut jadual. Kemudian, dalam perjalanan keluar saya bertemu dengan DJ Rohani. (Kami semua memang tidka pernah bertemu muka - hanya mendengar suara masing-masing). Dia sudah dimaklumkan oleh pihak atasan bahawa saya akan hadir, tetapi saya tidak memaklumkan pada mereka jam berapa saya kan sampai. (Saya juga tidak pasti, sama ada saya boleh sampai ke konti seawal itu).

Selebihnya, saya memandu di bandar Kuala Terengganu yang tenang. Tidak sesukar memandu di Kota Bharu. Memang susah hendak sesat di Kuala Terengganu. Saya cuma 'sesat' dalam Pasar Payang. Tetapi Nisah Haron kalau tersesat dalam kedai kain baju, mesti dapat jalan keluar. Tetapi kalau tersesat di Pesta Buku memang tak akan cari jalan keluar!

Ada apa di Kuala Terengganu? Cadangnya hendak ke Perkampungan Hadhari - bukan kerana hendak sangat ke program ini. Niat saya lebih kepada hendak ke Muzium Terengganu. Hendak membeli buku-buku terbitan Muzium itu. Tetapi mungkin Tuhan tak izinkan. Saya pun tak jumpa di mana Losong (Muzium terletak di sini) dan mengikut khabar yang saya terima, Perkampungan Hadhari itu lebih kurang macam Jom Heboh dan tak lebih macam pasar malam juga. Orang K.Terengganu sendiri kata malas nak pergi sebab orang dijangka ramai dan sesak. Jadi orang K.Terengganu pun taklah berapa kisah walaupun Mawi dijangka ada di sana. Kereta pun tak boleh hendak diparkir dekat-dekat.

Sudahnya, saya pulang terus ke Dungun kerana saya masih lagi ada acara dengan penganjur pagi ini. Saya sampai sekitar 4.00 petang. Pengalaman memandu dari K.Terengganu - Marang - Rantau Abang - Dungun memang menyeronokkan dan merehatkan. Kalau makan kenyang-kenyang memang boleh mengantuk ketika memandu. Mujur saya tidak makan di K.Terengganu.

Apa yang saya buat di Dungun? Itu mungkin dalam entri akan datang. Petang akan berlangsung lagi saya advencer baru - memandu turun dari Dungun ke pangkuan keluarga.

Ulasan

Catatan Popular