Entri Pilihan dari Terengganu FM
Saya tidak mahu bercakap tentang topik motivasi yang seringkali diucapkan oleh para motivator yang sudah acapkali disebut-sebut. Saya mahukan 'celoteh' saya pagi-pagi ini ada cerita, ada humor, paling penting mesti ada elemen ceria kerana saya mahu memberi kesan kepada pagi hari Isnin dan Khamis setiap pendengar Terengganu FM. Namun, celoteh; celoteh juga, pada saya ia mesti ada isinya. Permulaan celoteh saya mesti mukadimahnya serangkap pantun - sama ada saya petik dari Kurik Kundi Merah Saga ataupun saya cipta spontan pagi itu.
Ini catatan saya tentang budi bahasa. Pernah ke udara di Terengganu FM pada 2 Februari 2006 :
Salam hormat kepada para pendengar Terengganu.FM yang budiman. Selamat pagi. Salam ceria. Salam Maal Hijrah 1427. Tidak dilupakan juga Selamat Tahun Baru Cina kepada sahabat handai kita yang merayakannya.
Januari 2006 yang lalu kita berasa amat bertuah. Kita telah diberi kesempatan waktu untuk merasai nikmat tahun baru ini. Jadi kita mempunyai banyak sebab untuk bersyukur. Setidak-tidaknya, setiap seorang daripada kita semua dapat menyambut Tahun Baru mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.
Mungkin ada saudara pendengar yang sedar ataupun ada yang terlepas pandang: Dalam bulan Januari lepas, kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum merayakan 3 jenis tahun baru iaitu, Tahun Baru 2006, Tahun Baru Cina dan Tahun Baru Hijrah.
Saudara pendengar sekalian,
Baiklah, saya ingin memulakan sesi sembang-sembang motivasi pagi kita ini dengan serangkap pantun :
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Saya teringat pada kempen budi bahasa yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Sedikit sebanyak saya terasa kesannya di mana-mana. Kalau dulu, saya merasa gemuruh jika perlu berurusan dengan mana-mana kaunter. Saya telah membayangkan pasti ada kesilapan pada pihak saya dan saya akan ditegur atau dimarahi dengan cara yang tidak menyenangkan.
Tetapi alhamdulillah, kesan daripada kempen ini, saya melihat ada perubahan dalam hubungan sesama manusia ini. Saya gembira jika kita selesa menggunakan perkataan 'sila', 'tolong' dan 'terima kasih'. Bahasa Melayu amat kaya dengan kosa kata yang mencerminkan kesantunan berbahasa.
Andai tersesat jalan, kita masih lagi ada ruang untuk menegur orang tempatan yang tidak dikenali dengan bertanya, "Assalamualaikum, tumpang tanya…?" Perhatikan penggunaan perkataan 'tumpang'. Kamus Dewan mendefinisikan rangkaikata 'tumpang tanya' ini sebagai meminta izin. Dalam bahasa Melayu juga perkataan tumpang ini ertinya digunakan oleh orang yang singgah.
Sikap merendah diri dalam berbahasa ini menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang unik. Tidak hairanlah, jika orang-orang tua kita kaya dengan kias ibarat. Orang Melayu juga jarang bercakap secara terang, terutama sekali dalam hal-hal yang akan menyinggung perasaan orang lain. Tentang ini, orang Melayu amat berhati-hati.
Pernah guru sastera saya bercerita tentang bagaimana kesusasteraan Melayu ini bermula. Kononnya, ada sebuah kisah. Seorang musafir yang telah lama mengembara akhirnya singgah di sebuah kampung. Oleh sebab merasa sangat dahaga, dia terpaksa berhenti dan meminta segeluk air. Tuan rumahnya seorang wanita. Wanita itu pula bermurah hati dan kebetulan masih ada bagi nasi dan lauk, langsung dia mengajak si musafir makan. Sama ada terlalu lapar ataupun masakan wanita itu terlalu sedap, nasi yang dimakan habis licin dan tidak seulas pun yang tertinggal. Si musafir ingin meminta nasi tambah, tetapi dia segan.
Jadi dia pun mengangkat pinggannya yang bersih licin itu dan ditunjukkan kepada wanita itu sambil berkata, "Cantik pinggan ini, berapa harganya?"
Wanita itu, setelah melihat keadaan pinggan si musafir, mengangkat pula periuk nasi yang juga telah licin kerana nasinya telah habis dihidangkan kepada si musafir, pun berkata, "Harga pinggan itu, samalah dengan harga periuk nasi ini." Dia juga menayangkan periuknya yang telah kosong itu kepada si musafir.
Kedua-duanya tersenyum dan sama-sama faham bahawa si musafir tidak dapat menambah makanannya dan si wanita juga tidak dapat berbuat demikian, kerana nasi memang sudah habis. Tetapi si musafir tidak pula berkata, "Sedapnya, tambah lagi boleh?" dan si wanita itu pula tidak berkata, "Maaflah, nasi dah habis." Sebaliknya, mereka menggunakan kata-kata yang amat berkias tetapi dalam maksudnya.
Dengan cara itu, masing-masing faham dan tidak tersinggung dengan perbuatan mana-mana pihak.
Saudara pendengar yang budiman,
Dalam kepesatan pembangunan pada hari ini, kita seringkali lupa tentang seni berbahasa dengan penuh santun begini. Hari ini, semuanya hendak cepat. Berbahasa juga hendak cepat. Menulisnya juga demikian. Kesan daripada sistem pesanan ringkas atau SMS, bahasa kita pun jadi singkat. Ketika menaip sms, maklumlah, kita perlu menaip satu-satu dan adakalanya perlu kepada kependekan perkataan tertentu. Tetapi, biarlah ia habis setakat di SMS sahaja. Hendaknya, tidaklah dijadikan amalan dalam berbahasa.
Dalam gurindam Melayu juga ada disebut :
Kalau tak kita siapa lagi
Mempertahankan budaya sendiri
Agar ia kekal abadi.
Sebagai penutup, saya akhiri dengan mutiara kata daripada Khalifah Abdul Malik bin Marwan :
Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.
Hingga kita bertemu lagi di udara, salam hormat, salam ceria dan semoga apa yang kita lakukan pada hari ini mendapat restu dan keberkataan Allah Taala.
Sekian, assalamualaikum w.b.t.
Ulasan