Hari Persidangan di ECUPL, Shanghai


(bergambar sebelum majlis perasmian bermula)

25 Mei 2006 - Hari pertama persidangan. Paginya mendung. Tengah hari sedikit gerimis semakin lebat. Giliran saya untuk membentang jatuh pada hari kedua. Jadi kami yang tidak membentang masih menghadirkan diri untuk majlis perasmian The 3rd ASLI* Annual Conference di Dewan Persidangan, East China University of Politics & Law (ECUPL). Temanya : The Development of Law in Asia : Convergence versus Divergence

*ASLI = Asian Law Institute

Jam 8.00 pagi, kami yang berada di Hua Ying Yuan Bo Hotel, sama-sama menunggu di lobi sementara menantikan bas yang menjemput kami berempat (kemudian baru kami tahu bahawa hanya ada 5 orang delegasi yang tinggal di hotel yang sama. Yang seorang itu dari Hong Kong University).

Rupa-rupanya bukanlah jauh sangat jarak ECUPL dan hotel kami. Cuma kami yang tidak tahu letak duduk ECUPL. Memang benarlah seperti yang dicatatkan dalam survival kit kami: jaraknya dari hotel kalau berjalan sekitar 15 minit sahaja. Cuaca yang agak dingin itu tentu menyebabkan kami tidak terasa penat ataupun berpeluh. Lagipun, jadi tetamu di negara orang, mestilah manja - berjemput, berhantar.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden ECUPL, He Qianhua, yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Ucapannya diterjemahkan oleh seorang pelajar dengan bahasa Inggeris seperti menyanyi (macam orang Thailand cakap orang putih). Apapun, sebagai tetamu, kenalah hormat pada tuan rumah walaupun terasa lemas juga apabila dia berucap satu perenggan dalam Bahasa Mandarin lepas tu kena tunggu terjemahannya dalam Bahasa Inggeris.


(Sidang pleno : Kiri sekali, Dr. Ida Madieha mewakili Dekan Kuliyyah Undang-undang UIA, Dr. Ago (Jepun), Dr. Khaw Lake Tee (Dekan FUU UM), Dr. Alan (pengerusi majlis yang asyik tengok jam - dari National University of S'pore), diikuti wakil universiti India, Beijing dan entah mana lagi, tak ingat semuanya)

Begitu, begini; acara perasmian pun tamat dan diteruskan dengan sidang pleno. Wakil daripada setiap universiti yang menjadi menjadi ahli terawal (founding universities) diminta membentangkan dalam tempoh 5 minit, perkembang perundangan terkini di negara masing-masing. Malaysia diwakili oleh Prof. Madya Dr. Ida Madieha Abd. Ghani Azmi dari (UIA) dan Prof. Dr. Khaw Lake Tee (Dekan Fakulti Undang-undang UM).

Tengah hari, kami dibawa ke Shanghai City Restaurant. Di sinilah bermulanya diet sayur-sayuran kami. Nak sentuh benda lain, walaupun dikatakan halal, tak berani. Apabila hati dah berkata, elok jangan sentuh. Pun, terkejut juga dengan beberapa delegasi Muslim yang lain (terutamanya dari Indonesia) yang dengan selambanya mengambil makanan-makanan yang berasaskan ayam, ikan (bergoreng), daging dan sebagainya. Terdengar juga suara dari teman-teman yang mengatakan, bagi mereka asalkan baca Bismilillah tu dah kira sah.

Alahai... mazhab mana pula ni? Pun, saya tak mahu campur. Mulut asing-asing, perut pun lain-lain. Kalau dia yakin, teruskanlah. Kami tidak.

Usai makan tengah hari, kami kembali ke ECUPL. Solat Zuhur - Asar, jamak & qasar. Penganjur menyediakan bilik sahaja. Kiblat cari sendiri. Mujur saya dan Farah Nini bawa kompas. OK. Selesai tanggungjawab dengan Allah.

Kami pun berpecah mencari mana-mana pembentangan yang diminati. Ada 7 sesi pembentangan serentak yang merangkumi pelbagai bidang perundangan, spt : Jenayah, E-Dagang, Perlembagaan, Terrorisme dan banyak lagi. 7 sesi tersebut dipecahkan dalam 2 bangunan. 4 sidang di Jiao Yi Lou, 3 sidang di Hua Yi Lou.

Kedudukan bangunannya tidak berapa jauh, lebih kurang 200 meter sahaja. Tetapi hujan makin lebat sejak selepas makan tengah hari. Tetapi mereka yang sudah biasa dengan keadaan demikian, menyediakan satu kotak payung. Ambil satu payung dan boleh ke bangunan satu lagi, kemudian tinggalkan di sana. Nanti akan ada orang akan datang dari bangunan tersebut, ke bangunan pertama.

Saya pun sekejap ke sana, sekejap ke sini. Mencari pembentangan yang menarik. Tetapi pembentangan dalam tempoh 15 setiap seorang itu bagi saya amat pendek dan memerlukan kebijaksanaan pembentang supaya dapat menjadikannya menarik lagi padat.

Hujan seperti tidak mahu berhenti. Walaupun sesekali gerimis, selebihnya hujan lebat.

Usai sesi hari pertama, kami dibawa kembali ke Shanghai City Restaurant untuk makan malam pada jam 6.00 petang. Selama 2 jam kami dihidangkan dengan diet sayur-sayuran - brokoli, berjenis-jenis cendawan - cendawan rupa macam udang, cendawan rupa macam sotong, cendawan yang rupanya macam cendawan. Segalanya cendawan dan sayuran.



(gambar : ini bukan ikan, tetapi kentang, keledek campur lobak merah yang telah direbus. Rasanya masam-masam manis. Dihiasi timun dan lobak merah sekelilingnya. Penyediaannya seperti kuah kacang dal)

Malam itu, kami kenyang makan sayur. Maaf ya, nasi tak jumpa. Kalau adapun, nasi goreng Jepun, yang tidak dipastikan jenis minyak yang digunakan untuk menggoreng.

Nanti saya akan ceritakan bagaimana Syair Perahu dan Seloka Emak Si Randang berkumandang di Shanghai.

Sementara itu, saya bawakan sedikit video dari pintu masuk ECUPL hingga ke perkarangan kampus. Selamat menonton.

Ulasan

Catatan Popular