Kekuatan Seorang Penulis


Ketika menerima undangan ke Hotel UiTM, Dungun untuk Bengkel Penulisan Kreatif anjuran sebuah institusi pengajian tinggi awam, saya memandu sendirian ke sana. Ya, perjalanan 7 jam itu sesuatu yang agak 'mendera' bagi saya dan sang kancil yang comel. Kasihan kancil saya, dipaksa meredah sebuah perjalanan yang tidak pernah direntas sebelum ini. Bersama-sama kancil ini saya telah sampai ke Tg. Piai, Johor Bahru dan Tg. Malim. Banyak jasanya kepada Ujana Ilmu, khasnya.




Memandangkan perjalanan dari Seremban ke Dungun itu jauh dan meletihkan, saya pun singgah bermalam di Pekan - rumah seorang sahabat penulis, Amaruszati Noor Rahim.


Bagi yang tidak pernah mendengar nama penulis ini (di planet mana anda hidup?), beliau merupakan novelis Bila Sena Kembali Berbunga, dan Bila Sena Kembali Berbunga 2. Dia banyak memberi semangat kepada saya untuk menulis sewaktu anak-anak saya masih kecil dan tercari-cari ruang waktu sebenar untuk menulis.

Zati (panggilan mesra saya kepadanya) telah membuktikan kepada saya bahawa mempunyai anak-anak kecil bukanlah penyudah kepada dunia penulisan kreatif. Dengan anak-anaknya seramai 5 orang itu, dia terus aktif menulis sama ada novel, skrip drama radio, cerpen, puisi dan segala-gala yang mungkin. Dia telah membuktikan bahawa dengan hasil titik peluhnya menulis, dia dapat menyumbang kepada ekonomi keluarga. Dia juga teguh dalam prinsip penulisannya bahawa menulis itu satu bentuk dakwah kepada pembaca. Dalam karyanya memang tiada unsur-unsur negatif, watak-watak bukan muhrim berpegangan tangan ataupun apa-apa yang tidak sepatutnya ada dalam novel.

Kami sependapat bahawa menulis itu, ada ganjaran di akhirat kelak. Kalau penulis 'menggalakkan' atau 'merangsang' pembaca supaya membuat maksiat dalam karyanya, sedikit sebanyak penulis itu juga mendapat 'saham' apabila pembaca membuat sesuatu yang tidak baik setelah membaca karya tersebut.

Selain menjadi penulis, beliau juga isteri mithali yang mampu menguruskan suami dan anak-anak. Kalau ada yang mengatakan bahawa saya ini 'superwoman', Zatilah pencetusnya. Dia bukanlah penulis, wanita, ataupun ibu yang mudah menyerah kepada keadaan.

Ya, dia bukan isteri seorang datin, atau orang berada yang boleh duduk senang lenang menulis sambil ada orang gaji yang menguruskan rumah tangga. Dia harus melakukan semuanya. Namun, saya mengambil iktibar daripada cara dia mengurus masanya:

Pagi - selepas suami dan kesemua anak ke sekolah, itulah masa untuk dia menulis sehingga sekitar jam 11. Kemudian dia akan menyediakan makanan sebelum anak-anaknya pulang makan tengah hari. Katanya, sebelah petang biasanya anak-anak sudah pulang, dan dia tidak akan dapat menulis lagi, kecualilah anak-anaknya ada aktiviti petang dan pergi mengaji.

Malam, memang masanya dengan keluarga. Melihat kerja rumah anak-anak dan sebagainya.

Jadi, kalau seorang penulis lelaki yang belum berkahwin banyak menghasilkan karya - saya tidak hairan. Andainya lelaki itu sudah berkahwin, juga saya tidak hairan kerana apabila dia menulis, isterinya akan menguruskan rumah, buatkan kopi dan sebagainya. Begitu juga dengan seorang penulis wanita yang belum berkahwin, sudah berkahwin tetapi belum ada anak - prolifik menulis. Tidak ada sesuatu yang sangat luar biasa tentang itu.

Namun, apabila seorang isteri yang aktif menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tanpa henti dan masih ada masa untuk berkarya kreatif. Memang saya tabik kepada mereka ini. Mungkin, bagi yang belum berumahtangga akan mengatakan 'apalah sangat menjadi suri rumah sepenuh masa, kerjanya cuma duduk di rumah'. Ooops, satu generalisasi yang sangat silap. Menjadi suri rumah kerjanya lebih berat daripada bekerja di pejabat. Saya sudah lalui kedua-duanya. Saya tahu.

Pun begitu, paling penting ialah restu seorang suami dan mempunyai suami yang sangat memahami keinginan isterinya untuk menulis. Suami itu tidak semestinya seorang penulis. Tetapi dia mestilah suami yang memberi ruang kepada isterinya untuk bersendirian, sesekali menghantarkan kopi buat isterinya yang sedang berkarya. Itulah sesuatu yang sangat dihargai oleh si isteri, sekalipun dia tidak membaca karya isterinya. Itu sudah cukup memberikan dirinya suatu kekuatan yang sukar untuk digambarkan.

Suami yang memahami akan terus memberikan dorongan senyap, kerana dia memahami bahawa 'kegilaan' isterinya menulis merupakan satu sumbangan kepada bangsa, masyarakat dan satu bentuk dakwah yang akan sama-sama dikutip hasilnya 'di sana' nanti.

Terima kasih, Zati. Singgahan ke teratak istimewamu memberi aku kekuatan baru...

Ulasan

Catatan Popular