KES ABU NAIM KASSAN lwn SYARIKAT DELTA

Ini satu kes pertarungan hak cipta. Ini seorang penulis yang berani mempertahankan haknya. Ini bukan soal duit sedikit ataupun duit banyak. Ini bukan soal kalah jadi abu menang jadi arang.

Ini persoalan maruah penulis!

Penulis telah sempat menemuramah Abu Naim Kassan seorang penulis sastera dan juga banyak menulis buku-buku rujukan sekolah. Dalam kes ini, Abu Naim telah mengambil keputusan untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Syarikat Delta. Ia berpunca daripada royalti yang tidak dibayar oleh syarikat ini setelah empat tahun menunggu. Padahal sebelum ini, syarikat tersebut telah melunaskan bayarannya.


Oleh kerana tempoh menunggu yang agak panjang, Abu Naim telah menulis surat kepada Syarikat Delta supaya menjelaskan bayaran yang tertunggak. Beliau juga meletakkan syarat bahawa sekiranya jumlah yang dituntut tidak dijelaskan maka Abu Naim berhasrat untuk menarik kembali hak cipta yang telah diserahkan kepada syarikat tersebut.


Akibat daripada gesaan tersebut, syarikat itu hanya membayar RM500 berbanding jumlah yang dibayangkan oleh Abu Naim, iaitu lebih kurang RM10,000 setahun (bergantung kepada jumlah jualan).

Abu Naim agak beruntung di dalam kes ini kerana beliau mempunyai perjanjian bertulis dengan pihak Syarikat Delta. Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan tertentu di dalam perjanjian tersebut, Abu Naim telah mengarahkan peguamnya, Encik Firdaus Masood supaya meneruskan tindakan tuntutan ini di mahkamah.


Pada 1 April 2002, peguam telah memfailkan saman terhadap syarikat ini. Terdapat 2 buah perjanjian di dalam kes ini. Mengikut perjanjian pertama, jumlah yang terhutang ialah RM9,000 manakala perjanjian kedua RM8,000.


Pihak syarikat melalui peguamnya sendiri cuba menyelesaikan kes ini di luar mahkamah. Setelah sesi perbincangan yang diuruskan oleh peguam masing-masing, jumlah RM17,000 ini akhirnya dipersetujui di luar mahkamah.


Pada 7 Ogos 2004, pihak-pihak telah merekodkan jumlah tersebut di dalam mahkamah. Ia terus menjadi suatu perintah ke atas pihak syarikat dan mesti diselesaikan dalam tempoh yang telah dipersetujui. Jumlah RM17,000 itu juga tidak termasuk faedah yang terkumpul apabila tempoh masa berjalan.


Setahun berlalu, janji hanya tinggal janji. Pihak syarikat tidak mengotakan langsung, jumlah yang telah dipersetujui dan diperakui, sedangkan jumlah hutang telah meningkat kepada RM22,000 akibat faedah yang terkumpul.


Ini memaksa Abu Naim meneruskan tindakannya. Beliau mengarahkan peguamnya sekali lagi supaya mendapatkan kembali jumlah tuntutan yang menjadi hak beliau.


Kes lanjutan ini difailkan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 12 Januari 2004. Perintah penyitaan dan jualan telah dikeluarkan oleh Majistret serta merta dan Syarikat Delta akan disita jika masih lagi gagal melunaskan hutang-hutangnya.


Pada ketika ini, barulah pihak syarikat menyedari bahawa mereka tidak boleh melarikan diri lagi daripada undang-undang.


Menurut Abu Naim, syarikat itu kemudiannya mengeluarkan beberapa siri cek bertarikh hadapan (post-dated cheque) yang dilunaskan setiap bulan. Kini kesemua jumlah tersebut telah pun dijelaskan. Bayaran terakhir kepada Abu Naim telah dibuat pada November 2004.


Ketika ditanya apakah benar stigma yang menyatakan bahawa sukar untuk mempertahankan hak cipta di mahkamah lantaran kos guaman yang tinggi dan prosedur mahkamah yang menyulitkan, Abu Naim menafikan kedua-dua kenyataan ini.


Kata beliau lagi, kebanyakan penulis membuat andaian bahawa kos mendapatkan perkhidmatan peguam itu mahal padahal, mereka belum pun membuat sebarang pertanyaan kepada peguam tersebut.

Beliau turut menasihati mana-mana penulis lain yang berada di dalam kes yang sama supaya tidak takut dengan peguam dan cuma meningkatan kesedaran tentang undang-undang hak cipta dan memahami sedikit sebanyak prosedur mahkamah. Semua ini boleh diperolehi dengan bertanya lebih lanjut kepada mereka yang arif.


“Penulis-penulis baru terutamanya, seringkali gopoh dan ghairah ketika hendak menerbitkan karya. Ada juga yang tidak tanda tangan perjanjian langsung. Itu sangat merbahaya dan boleh menyebabkan hak cipta penulis itu tidak dapat dipertahankan,” tambah Abu Naim lagi.


Kes beliau selesai akhirnya setelah berjuang selama dua tahun. Meskipun mengambil masa yang agak panjang namun perjuangannya benar-benar membuahkan hasil.


**Tulisan ini pernah disiarkan dalam Dewan Sastera Mac 2005

Satu lagi kes yang tidak kurang penting ialah bagaimana novelis Hartini - Aziz Afkar mempertahankan hak ciptanya daripada diambil pergi oleh penerbit telemovie Hartini oleh Erma Fatima dan syarikat perfilemannya. Namun, saya hanya akan menulis sesuatu tentang ini setelah melengkapkan fakta kes dan khabarnya, keputusan kes ini sudah ada.

Ulasan

Catatan Popular