Imej negatif dalam karya


Seperti biasa, ujaran daripada Samy Vellu, memang selalunya menyakitkan telinga. Sebagai menteri yang mengaku sebagai rakyat Malaysia, tatabahasa dan tutur bahasa ketika membuat kenyataan media, lebih teruk daripada .... (hmmm... tak ada perbandingan yang sesuai dengan orang yang punya tatabahasa tunggang langgang).

Kali ini dia buat kenyataan lagi, (bukankah ini hobi dia), dalam Utusan Malaysia hari ini :

KUALA LUMPUR 6 Julai - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G. Palanivel untuk menghapuskan adegan bunuh diri dalam filem Tamil.

Menurutnya, adegan dalam filem tidak memberi kesan secara langsung, malah langkah pemotongan terlalu banyak babak ganas hanya akan menjejaskan mutu serta industri filem.

“Semua filem sama ada Inggeris, Cina atau Tamil ada aksi bunuh, tembak dan potong, kalau tidak ada, mesti tak laku. Kita perlu sedarkan masyarakat itu saja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Palanivel semalam agar aksi bunuh diri dalam filem Tamil dipotong bagi mengurangkan pengaruh ke atas masyarakat dan meminta pengarah filem menonjolkan unsur-unsur positif dalam filem mereka.


Nak sedarkan masyarakat tu, bagaimana ya, Samy?

Elemen negatif dalam karya itu bukan semestinya perlu wujud secara eksplisit atau tersurat, namun ia perlu diwujudkan secara tidak sedar oleh khalayak dalam imaginasinya. Dalam filem, misalnya, kalau pun mahu ditunjukkan babak orang pecah masuk rumah, tak perlulah diperincikan metodologi pilihan pencuri itu. Sebabnya, kita tidak tahu siapa yang menonton filem tersebut. Bukan semua orang pula memilih untuk mengambil yang positif daripada filem itu. Lebih ramai mengambil yang negatif.

Teringat saya kepada satu sayembara yang pernah saya hakimi setahun dua yang lalu. Ada satu karya yang ditulis untuk remaja. Temanya ialah tentang lumba haram dan bahayanya. Panel sepakat tidak dapat membenarkan karya itu melangkah ke saringan berikutnya kerana pengarang benar-benar memperincikan tatacara keluar rumah tengah malam, tolak motor 50 meter dari rumah sebelum hidupkan enjin, pulang sebelum jam 4 pagi dan esoknya berlagak seperti tiada apa yang berlaku.

Memandangkan karya tersebut ditulis untuk remaja, panel berpendapat karya tersebut lebih banyak unsur negatif berbanding yang positif. Kalaulah ada pembaca yang teruja untuk mengikuti metodologi cadangan pengarang dan seterusnya benar-benar mengekspreimenkan perkara tersebut, bukankah 'saham' negatif itu turut dikumpul pengarangnya.

Bukannya tidak boleh ada unsur negatif dalam karya. Sesuatu yang negatif itu boleh sahaja dibayangkan secara kreatif oleh pengarang dalam pelbagai cara. Sebagai surah yang difirmankan Tuhan sebagai "Ahsanul Qasasa" - Cerita yang terbaik, Surah Yusuf boleh dijadikan model bagaimana babak-babak negatif diperikan sahaja seperti kisah Yusuf kononnya dibunuh serigala, Zulaikha menggoda Yusuf dan sebagainya.

Kembali kepada topik, filem Tamil banyak aksi bunuh diri. Saya bersetuju dengan Palanivel. Filem sebagai satu bentuk escapisme, dan juga banyak peniruan daripada realiti yang digarap secara langsung. Sampai sekarang saya 'tobat' tak akan tonton filem Tamil. Filem Bollywood - hanya ketika tertekan butang dan filem itu tersiar, tengok jugalah dalam 2 - 3 minit. Itupun kalau filem itu sedang memperagakan sinematografinya yang diperindahkan itu.

Hakikatnya, saya tak betah menonton filem ataupun membaca buku yang membesarkan emosi + nafsu rendah secara berlebih-lebihan. Saya makin derita kalau menonton ataupun membacanya. Ruang ta'akulan saya disekat. Saya resah apabila tidak diberi berfikir.

Tetapi apa boleh buat? Berapa ramai yang boleh terima aliran "Chef Chimiko" yang saya cipta dulu, berbanding "Chef Senandika" yang memudahkan semua perkara. Tak perlu fikir, telan sahaja sampai muntah belalah!

Ulasan

Catatan Popular