Selamat Datang Blogger Baru @ Penulis Mapan
Semakin ramai penulis sastera yang mendekati cara mempromosi pemikiran masing-masing melalui blog. "Kempen" kecil saya dalam tulisan di Mingguan Malaysia dahulu, saya kira mendapat sambutan juga.
Kini, penulis-penulis mapan selepas Faisal Tehrani dan Lutfi Ishak, SM Zakir dan Ariff Mohamad pula menyertai wadah penulisan begini. Selamat datang semua! Semoga dunia sastera kita semakin dipromosikan sebaik-baiknya. (Pautan ke laman mereka sudah saya masuk ke dalam senarai laman penulis di sebelah kanan laman ini.)
Ya, kita tidak perlu tunggu pihak lain dan mengharapkan promosi oleh sesetengah pihak yang memang tidak berminat untuk mempromosi karya sastera, walaupun mereka itu sebuah institusi sastera. Blog lebih mudah diakses pembaca. Malah pembaca generasi siber akan lebih selesa membaca di hadapan skrin komputer/laptop daripada membaca bahan bacaan yang tidak sampai kepada mereka.
Sekarang ini zaman kita harus lebih proaktif jika tidak mahu ketinggalan. Pemikiran penulis-penulis ini walaupun tersiar dalam karya-karya mereka, namun ia mudah tenggelam apabila penerbit tidak memasarkannya dengan baik.
Rujuk kembali entri saya tentang Dosa-dosa Penerbit.
Tetapi, setakat ada blog tetapi tidak dikemaskini pun, tak wajar juga. Oleh sebab senarai pautan ke laman penulis sudah semakin panjang, tidak lama lagi saya tiada pilihan melainkan mengeluarkan daripada senarai ini, mana-mana laman yang tidak berapa aktif. Kecewa bukan, apabila kita masuk ke laman itu tetapi entrinya masih lagi entri tahun 'alip'.
Jadi, bila dah ada blog tu, rajin-rajinlah update.
Ulasan