Bernazam di UTM Skudai

Saya telah menerima undangan untuk menyampaikan nazam di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai pada 25 Ogos yang lalu. Acaranya dinamakan Malam Puisi Alam - kerjasama antara DBP Wilayah Selatan, Jabatan Alam Sekitar dan UTM. Khabarnya, idea asal datang daripada pihak UTM sendiri.

Secara peribadi, saya jarang menyertai acara baca puisi ataupun deklamasi kerana bagi saya, persembahan demikian agak mendatar. Apatah lagi, apabila deklamasi untuk disampaikan dengan cara 'terjerit-jerit' atas nama seni.

Namun, ada sesuatu yang berbeza dengan Malam Puisi Alam. Persembahan ini menggabungkan bukan sahaja penyampaian puisi moden, malah tidak meninggalkan puisi-puisi tradisional. Saya sendiri membuat dua persembahan iaitu Nazam Mencintai Alam dan Gurindam Alam Terbentang.

Kedua-duanya sempat saya tulis sekitar 15 - 20 baris setiap satu dan saya lagukan pada malam itu.

Keunikan nazam dan guridam sebagai manifestasi budaya masyarakat Melayu Islam, terletak pada bentuk puisi dan juga isinya. Apabila disebut gurindam, mungkin ramai yang akan mengaitkannya dengan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji. Ya, betul. Itu juga satu daripada gurindam yang amat terkenal. Daripada situ, wujud beberapa variasi gurindam.

Menurut Mohd Ali Bachik (Iladam) dalam bukunya Khazanah Puisi Klasik Melayu (2003), ciri-ciri gurindam terdiri daripada :

  1. anak kalimat (subordinate clause) ataupun (clause of reason)
  2. kalimat utama ataupun kalimat induk (main clause)
  3. kedua-duanya akan membentuk sebuah ayat kompleks yang berangkap . Rangkap gurindam tidak semestinya dua baris, ia boleh terjadi dalam bentuk yang lebih; misalnya gurindam berlapis (3 baris, 4 baris, 5 baris dan seterusnya)
  4. Gurindam berima, iaitu bunyi di hujung kalimat-kalimatnya seragam
  5. Gurindam membawa motif pengajaran atau nasihat yang dalam maksudnya.
Gurindam membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana sesuatu 'sebab' dan dari sebab-sebab itulah terjadi 'akibat', contoh :

Kalau cakap tidak cermat (sebab)
Tentu kamu tidak selamat (akibat)

Atau dalam lain-lain perkataan, sesuatu 'jawapan' pasti akan dihasilkan dengan 'syarat' sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi atau berlaku.

Kalau tiada emas di pinggang, (syarat)
Sanak saudara menjadi renggang. (jawab)

Apabila perut terlalu penuh, (syarat)
Keluarlah kelakuan tidak senonoh (jawab)


Pada malam tersebut, saya bawakan gurindam berlapis. Saya memilih untuk melagukan gurindam berlapis (dengan 3 baris) kerana apabila saya mempelajari lagunya, saya dapati ia amat sesuai dengan orang yang mempunyai nada suara sederhana. Saya pun sedar bahawa saya ini bukan Siti Norhaliza. Jadi, saya tahu takat keupayaan dalam menyampaikan gurindam dengan cara berlagu ini.

Persembahan pada Malam Puisi Alam, saya mulakan dengan nazam sebetulnya. Nazam ialah satu genre puisi klasik Melayu yang berasal daripada puisi Arab. Menurut Mohd Ali Bachik lagi,

Pada awal abad kedua puluh, nazam amat popular sebagai nyanyian masyarakat kampung dalam majlis-majlis tertentu. Pada masa ini nazam sudah hampir luput dari alam puisi Melayu, alam tradisi lisan bahkan dari alam budaya Melayu. Pahadal nazam amat mudah difaham, amat sedap didengar apabila dinyanyikan, dan tidak sukar pula untuk mengarangnya.

Ciri-ciri nazam adalah seperti berikut :

  1. serangkap nazam terdiri daripada dua baris berangkap
  2. baris nazam terdiri daripada enam patah perkataan ataupun lebih kurang dua belas suku kata.
  3. nazam dibaca dengan irama lagunya yang tertentu
Nazam bertemakan agama iaitu menceritakan hal-hal syurga, neraka, ajal maut, amal ibadat, Nabi, malaikat dan seruan memuji kebesaran Tuhan. Kadang-kadang ada juga nazam bertemakan nasihat, menuntut ilmu, akhlak dan sebagainya.


Contoh nazam :

Nazam Mukadimah (Risalah Ahmad Mufti)

Allah Allah azza wajal tuhan kami,
Kami minta ampun akan dosa kami.

Kami nama nazam ini mukadimah,
Bagi orang baru belajar ilmu Allah.

Kami harap bagi Allah Tuhan Esa,
Mana salah faham kami ampun dosa.

Ya rabbana kami harap akan rahmat,
Dari dunia sampai kami ke akhirat.

....

Sampai sini nazam kami akhir kata,
Mana salah faham kami ampun dosa.


Nazam juga mestilah dimulakan dengan salam, selawat dan basmalah. Zaman dahulu, nazam menjadi satu cara untuk menghidupkan surau dan madarasah. Kuliah yang disampaikan dalam bentuk ceramah mungkin ada menarik satu pihak sahaja tetapi, apabila disampaikan dalam bentuk nazam (perbandingan sekarang nasyid) kesannya berbeza kepada pihak yang lain.

Lihat sahaja bagaimana anak-anak yang didedahkan dengan nasyid "Raihan" begitu mudah menghafal nama-nama Rasul, mudah selawat dan mengucap. Ungkapan yang amat fasih pada lidahnya. Demikian halnya dengan nazam. Nazam Sifat 20 misalnya, memudahkan seseorang menghafal makna Sifat-Sifat Allah; ataupun Nazam Rukun Islam.

Bentuk-bentuk puisi tradisional yang begini walaupun nampak mudah tetapi memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak, khasnya. Di kampung-kampung, perkara-perkara kecil seperti nazam, pantun, syair, gurindam inilah yang telah menjadi benteng akidah anak-anak satu ketika dahulu. Ia menjadi sebahagian daripada budaya tidak langsung yang membentuk peribadi anak-anak tadi.

Anak-anak pada zaman itu (pada zaman saya dahulu) banyak dididik melalui suasana tidak langsung ini. Kalau bapa saya akan dengan mudahnya marah kalau saya lambat pergi mengaji, nenek saya pula akan berpantun :

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Suruh makan engkau makan,
Suruh mengaji engkau tak mahu.

Kesan pantun itu lebih dalam daripada suruhan yang berbentuk langsung. Saya jadi teringat kepada pantun yang saya pelajari bersama-sama arwah nenek yang disampaikan dalam bentuk yang santai. Dalam baik, saya 'terpukul' oleh kata-kata itu dan dengan senang hati saya terus ambil Quran dan mengaji.

Keistimewaan beginilah yang semakin luput dalam zaman hari ini. Namun, saya tidak berputus asa. Selagi ada hayat, saya akan terus memperjuangkannya. Saya juga masih belajar dan akan terus belajar mendalami dan mahu mewarisinya daripada generasi yang lebih lama. Mungkin saya tidak terdaya mempelajarinya sendirian, jadi saya menyeru kepada semua yang masih sayang akan identiti Melayu-Islam, marilah kita buktikan bahawa Islam itu syumul - meliputi segala aspek kehidupan. Ia ada di mana-mana.

Setiap seorang ada peranan masing-masing. Usahlah kita berperanan 'membunuh' bangsa sendiri dengan racun-racun budaya asing...

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum Pn. Nisah,

Terima kasih atas kesudian anda menerima undangan DBPWS untuk bergurindam dan bernazam dalam 'Malam Puisi Alam', serta terima kasih atas tulisan ini dalam blog anda.

Insyaallah, DBPWS akan mengadakan satu atau dua lagi acara deklamasi yang menggabungkan deklamasi puisi moden dan tradisional sehingga Disember ini antaranya deklamasi puisi bertemakan bahasa iaitu 'Gema Puisi Bukit Timbalan' sempena 50 tahun DBP / BBSN 2006 di Johor Bahru.

Maaf daripada saya di DBPWS jika ada serba kekurangan dalam pengurusan program ini bersama UTM dan JAS. Apa-apapun DBPWS akan terus mengadakan 3-4 lagi program sastera dalam bentuk ilmiah, separa ilmiah dan persembahan untuk September hingga Disember ini antaranya termasuklah 'Gema Puisi Bukit Timbalan', 'Pertandingan Lagu Puisi Berkumpulan Negeri Johor 2006' dan 'Ceritera Bersama Karyawan Sastera'. Kami juga telah merancang program sastera untuk bulan Januari - Februari 2007.

Sekian, terima kasih.

rar / dbpws.
A. Jazmin berkata…
Puan Nisah,

Dah jauh betul 'kami' semua dari budaya sendiri - nazam - dulu ingatkan tajuk lagu Datin Siti. Rupanya budaya kita ....

Assalamualaikum.

Aminah Jazilah Abu Bakar
Tanpa Nama berkata…
Saya begitu khusyuk membaca entri ini sampailah kepada ayat:

"Saya pun sedar bahawa saya ini bukan Siti Norhaliza. Jadi, saya tahu takat keupayaan dalam menyampaikan gurindam dengan cara berlagu ini."

Nisah.. oh Nisah. Ketawa berguling-guling tau!

Apa-apa pun, terima kasih kerana berkongsi informasi ini. Ringkas tapi padat dengan contoh mudah. Saya dah banyak baca buku pasal gurindam ni. Hari ni baru la saya rasa boleh faham! :)
Nisah Haji Haron berkata…
Encik Rusdi (DBPWS),
Terima kasih atas undangan tersebut. Setakat ini, saya memang selesa berurusan dengan pihak selatan dan tidak ada masalah.

A.Jazmin,
Benar, apabila lagu 'nazam lebaran' dipopularkan oleh Siti, ramai terkeliru dengan dengan perkataan 'nazam' itu sendiri. Yang dinyanyikan itu bukan rentak nazam yang saya faham.

Rem,
Amboi! Siap guling-guling ketawakan kita :) Alahai... kita kenalah tahu di mana letak duduk (suara) kita. Saya tahu suara saya tak mungkin capai note yang tinggi, jadi perlu pilih penyampaian dengan note sederhana. Kalau base sangat pun tak jadi juga.

Maaflah, tak reti A,B,C tentang notasi lagu. Tahu pada garis note sahaja E,G,B,D,F - tengah-tengahnya F,A,C,E tetapi macam mana bunyi nota-nota itu masih tak berapa reti :)
Tanpa Nama berkata…
kata2nya bagus.benar2 terpilih.tetapi ada yang tidak saya mengerti.misalnya nazam,iaitu.ada sejumlah kata2 yang "aneh".karena saya masih smp, saya tidak seberapa mengerti.
makasih.

Catatan Popular