Kebangkitan Anak-anak Sasterawan Negara

Helmy Samad, menjadi penulis pada usia 40-an. Lahir dengan karya yang agak kuat. Tetapi hanya yang membaca Dewan Sastera barangkali pernah terserempak dengan karyanya. Kini dia semakin kukuh menunjangi Wira Bukit Sdn. Bhd - syarikat yang ditubuhkan bagi memelihara karya-karya bapanya SN A. Samad Said.

Haslina Usman, mungkin tidak pernah kita dengar namanya dalam dunia sastera. Namun, kini dialah tunjang di sebalik kemunculan semula karya-karya bapanya, SN Usman Awang. Produk pertamanya, Tulang2 Berserakan yang telah berjaya diterbitkan oleh UA Enterprises Sdn Bhd.

Asrul Sani Shahnon juga bukan siapa-siapa dalam dunia sastera, tetapi kini dia gigih memasarkan buku-buku bapanya. Dia memulakannya dengan Perjalananku Sejauh Ini - Sebuah Autobiografi Shahnon Ahmad.

Ahmad Patria Abdullah menjadi penulis mengikuti jejak bapanya, SN Abdullah Hussain. Teguh dalam pendirian penulisannya.

Apakah kelebihan mereka ini? Merekalah sebahagian anak-anak Sasterawan Negara yang percaya dengan karya bapa mereka sendiri. Apatah lagi apabila pihak lain (baca : Penerbit Utama karya-karya mereka) putus harapan dengan karya penulis-penulis besar. Ketika penerbit-penerbit besar itu berkata, "Buku-buku Sasterawan Negara tak laku," anak-anak mereka bangkit dan percaya bahawa buku-buku ini tetap ada pasarannya.

Mereka juga bangkit membuktikan bahawa, sang Penerbit Utama itu tidak buat kerja-kerja promosi dan pemasaran. Orang yang bekerja dalam syarikat Penerbit Utama itu sendiri tidak percaya bahawa karya-karya SN boleh laku dengan baik jika dipakej dengan betul.

Kini mereka bangkit!

Ujana Ilmu akan teguh berdiri di belakang mereka.


Ulasan

Jong berkata…
salam,
saya membayangkan satu forum dengan semua mereka menjadi ahli panelnya dan kita beri mereka kebebasan untuk 'mengata' apa sahaja.
Unknown berkata…
Menerbitkan buku sendiri adalah tindakan di luar kerangka yang sepatutnya dialu-alukan.

Karya Sasterwan Negara harus diterbitkan semula dalam bentuk edisi mewah. Ramai yang mencari sebenarnya.

Tak patut sangat jika karya Sasterawan Negara hanya kelihatan di longgokan buku-buku lama yang dijual murah di Kedai DBP.
Nisah Haji Haron berkata…
Faisal,
Kita perlukan platform untuk membawa mereka ke sana. Ia sesuatu yang wajar di usahakan.

Jiwarasa,
Memang benar, buku-buku SN tidak boleh dijual lelong. Mereka bukan calang-calang penulis setelah dinobatkan sebagai SN. Dawama memang tak pandai jaga buku. Habis semuanya rosak disimpan di stor. Saya cukup sakit hati melihat buku-buku yang dijemur, basah dll. Mereka tidak hormat pada buku!

Catatan Popular