Sembang-sembang Penulis Melayu MPH
Buat pertama kalinya dalam sejarah kedai buku rangkaian yang besar ini, penulis Melayu mendapat ruang yang eksklusif (walaupun ruang itu agak sempit seperti juga rak-rak buku berbahasa Melayu). Program itu dinamakan Sembang-Sembang dengan Penulis Melayu (in conjunction with SUPPORT MALAYSIAN AUTHORS CAMPAIGN)
Komen pertama saya : Wah, betapa marginalnya penulis Melayu - hingga memerlukan satu kempen. Bukankah kempen itu untuk membangkitkan kesedaran orang ramai. Betapa kini ada satu spesis penulis Melayu yang kian pupus, agaknya. Sebab itu diadakan kempen sebegini.
Saya hadir ke sana semalam setelah beberapa kali dihubungi oleh pihak penerbit (Utusan Publication) , yang memaklumkan bahawa saya telah diundang ke majlis ini dan dengan jelas memaklumkan bahawa acara ini tidak akan dibayar. Jadi, saya pun hadir membawa panji-panji Utusan dan sangat bersedia bahawa apa yang saya perkatakan ini tidak akan dibayar. Ini sekadar promosi untuk buku-buku saya dan promosi kepada penulis juga. Saya faham dan setuju.
Sebaik-baik sahaja sampai, ada ramai penulis PTS yang berada di ruang itu, tidak kurang penulis lain dari Syarikat Al-Ameen, Rumah Penerbitan SuaraSuara, Azizi Ali, Irfan Khairi. Sehingga ke saat itu, saya tidak dapat bayangkan bagaimanakah acara itu akan berlangsung. Adakah kesemua penulis itu akan diberi peluang bercakap - sekadar 2 - 3 minit seorang? Ataukah kami akan terus bersembang sesama sendiri?
Setelah merisik-risik atur cara untuk hari itu, rupa-rupanya ada forum yang telah dikenal pasti penulisnya. Forum itu berjudul Kualiti lwn. kuantiti dalam penerbitan (bahasa Melayu). Malangnya, nama saya tidak tersenarai sebagai ahli panel forum.
Lantas saya datang itu untuk apa? Untuk termenung seperti penonton lain di bawah?
Saya tidak pernah diberitahu oleh penerbit bahawa saya akan hadir sekadar memeriahkan suasana. Jika saya tahu itu, pastinya saya akan hadir ke dua buah walimah terlebih dahulu kerana kedua-duanya orang sangat penting dalam dunia sastera. Oleh sebab undangan ke MPH ini, saya terpaksa membuat keputusan. Kedua-dua walimah itu tidak dapat saya penuhi.
Sekarang pihak penganjur 'berani' hendak beritahu saya bahawa saya datang bukan sebagai panel???
Memang perasaan saya sedang bergelora ketika itu. Satu soalan bodoh daripada pihak penganjur itu akan menyebabkan sebuah buku setebal tidak kurang 3 inci singgah ke atas kepalanya dengan satu hentakan yang boleh menyebabkan tiba-tiba dia jadi pandai ataupun terus pandir!
Saya bertegas dengan penganjur. Sebenarnya, saya datang ini untuk apa. Malah saya berperang sendirian kerana wakil bahagian promosi dari Utusan juga tidak ada. Saya juga sudah berpesan kepada wakil Utusan itu ketika menghubungi saya, bahawa novel saya Mencari Locus Standi mesti ada pada hari itu. Kalau tidak, sia-sia sahaja promosi ini. Dia berjanji akan memastikan perkara itu.
Saya nyatakan perkara yang sama kepada penganjur semalam. Lintang pukang mereka mencari novel itu. Habis sebuah kedai digeledah kerana dalam sistem mereka, buku itu ada. Setelah bertegas bahawa saya telah diundang untuk bercakap dan bukannya menjadi pendengar (ingat ya, saya datang dari Seremban dan menempuh segala kesesakan jalan raya, semata-mata untuk acara ini), mereka pun menerima bahawa saya yang akan jadi panel.
Sehingga saat itu juga, penganjur masih membayangkan dan menunggu seorang lagi penulis yang telah dimaklumkan akan menjadi panel. Sehingga saat itu juga, saya tahu penulis itu tidak akan hadir kerana gilirannya bukan pada 20 Ogos. Itu juga saya jelaskan kepada penganjur yang masih terkial-kial hendak memahaminya.
Ketika powerpoint dimainkan, nama saya diperkenalkan (nasib baik nama saya ada) sebagai "Anisah Haron dengan nama pena Nisah Haron" - amboi, prihatinnya mereka itu! Pandai-pandai menukar nama penulis sesedap rasa. Tidakkah mereka tahu penulis itu sangat sensitif dengan bagaimana namanya dieja.
Berbalik kepada cerita novel saya - akhirnya, dalam sebesar-besar MPH - termasuk di tempat simpan stok bukunya, Mencari Locus Standi cuma ada 2 BUAH. Satu fakta yang sangat menarik! Adakah pihak Utusan tidak menjalankan promosi ataupun janjinya kepada saya telah dilupakan semudahnya.
Sedangkan penulis lain yang akhirnya, tidak bercakap pada hari itu, setiap seorang ada sekitar 5 - 6 naskhah setiap judul dipamerkan di belakang meja forum (lihat gambar di atas). Buku saya 'tenggelam' kerana cuma ada 2 naskhah.
Andainya buku saya tiada di meja pada saat forum bermula. Selepas ini, amukan saya akan lebih dahsyat lagi.
Sesudah forum, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila 2 novel itu 'SOLD OUT'. Wajar bukan?
Apakah pihak penganjur masih lagi tidak percaya bahawa buku sastera boleh dijual jika pandai mempromosinya ataupun pihak penerbit saya sendiri tidak percaya akan hal ini?
Namun, saya seperti selalunya akan membawa satu beg kecil yang mengandungi buku-buku saya, apabila saya diundang berceramah. Tetapi, saya cuba bawa Impian Tsu-Ryi dan Farris Putera Yang Hilang kerana bukan tanggungjawab saya membawa novel terbitan Utusan. Itu wajar menjadi tanggungjawab penerbit.
Saya bawa pun tak banyak setiap judul : tidak sampai 10 naskhah kerana - meminjam kata-kata SN Pak Samad (yang turut hadir semalam) :
"Saya hanya bawa 10 naskhah jika pergi ke setiap negeri kerana saya bayangkan setiap negeri itu hanya ada 10 orang yang pandai. Kelompok pembaca itu memang sedikit."Sudahnya forum itu berlangsung juga seperti dalam gambar di atas. Raja Ahmad Aminullah (Menyarung Jiwa) di tengah-tengah sebagai moderator. Panel yang seorang lagi ialah Najwa Aiman. Ya, dia lelaki. Dia percaya bahawa setelah menggunakan nama Najwa Aiman barulah bukunya terjual dengan larisnya, berbanding dia menggunakan nama 'jantan' sewaktu karya-karya yang terawal.
Saya tetap dengan pendirian bahawa penulisan itu mestilah ada kualiti. Bukti mudah Sasterawan Negara pun 'jantan' juga (meminjam kata 'jantan' dari Najwa Aiman) tetapi karya mereka dibawa hingga hari ini walaupun sesetengah pengarang itu sudah lama tiada. Faktor nama mungkin memainkan peranan tetapi bergantung kepada jenis karya. Fakta itu mungkin sahaja terpakai kepada genre novel popular kerana pembaca membeli bukan kerana isi tetapi nama indah pengarangnya, lukisan indah di hadapannya ataupun apa-apa sahaja bentuk luaran yang sangat memujuk.
Razali Endun bangkit bertanya, sama ada novel popular yang berlambakan pada hari ini menjadi kayu ukur kepada definisi novel Melayu. Jawapan saya: tugas itu terletak kepada pengkaji dan bukannya penulis. Namun, bagi saya sebuah karya sastera termasuklah novel sebagai satu genre perlu mempunyai nilai-nilai estetika dalam muatan karya itu. 'Susastera' itu sendiri bermakna keindahan dalam seni penulisan. Seni itu tentulah terletak pada estetikanya.
Estetika itu sendiri ada dua makna: Estetika bentuk dan estetika makna.
Dengan wujudnya estetika itulah karya itu menjadi berseni dan kekal sepanjang zaman. Mana-mana karya yang tidak berjaya menepati ciri-ciri estetika tadi tidak menjadi karya sastera ataupun novel sastera - sebaliknya, sekadar menjadi fiksyen popular ataupun novel popular. Jangka hayatnya bergantung kepada jumlah jualan dan kehendak semasa.
Seperti analogi yang kerap saya gunakan ialah bandingan antara karya popular dengan karya sastera ialah karya popular keindahannya dan keseronokannya seperti melihat bunga api dengan sebatang lilin pada malam yang gelap.
Bunga api jauh lebih menyeronokkan (secara relatif) berbanding sebatang lilin. Namun, lilin itu mempunyai jangka hayat yang lebih jauh berbanding bunga api setiap kali ia dibakar. Ringkasnya, ya, hari ini penulis itu mungkin sahaja jadi jutawan hari ini. Paling penting, selama mana jangka hayat karya itu sendiri.
Jadi, hanya pembaca yang pandai akan bijak memilih.
**Baca juga komen daripada pembaca bukan Melayu tentang majlis ini - Ted Mahsun - di lamannya.
Ulasan
pecahlah rahsia najwa aiman lelaki, adakah jualan bukunya akan merosot?
wajar buat bising kerana buku tiada di MPH. Harap UPND berubah terutama orang pemasaran. Harap MPH lebih sensitif. Harap harapan tidak tinggal harapan.
Selalu-selalulah beduk UPND tu. Dalam senarai pembekal MPH 2 bulan lalu, UPND berada pada nombor 36, PTS nombor 14, DBP nombor 56. Tak tahulah apa dah jadi dengan UPND nih! Saya dengar dari mulut orang MPH, servis UPND tidak bagus. Pegawainya jarang datang menge-cek stok buku-buku UPND di kedai-kedai MPH.
Penulis PTS pun tidak dibayar. Mereka memang tahu semua aktiviti promosi di MPH yang melibatkan mereka, mereka tidak dibayar oleh PTS. Tetapi mereka pergi beramai-ramai, hampir 20 orang semuanya.
Kita menggalakkan penulis PTS pergi beramai-ramai (walaupun mereka jadi pak conggok sahaja dalam majlis itu) sebagai bukti bahawa penulis-penulis PTS komited dalam memberi sokongan moral kepada MPH dan kepada pegawai pemasaran PTS yang bertungkus-lumus cuba menjual lebih banyak buku2 PTS melalui rangkai MPH.
Apabila pegawai2 MPH nampak PTS menghantar ramai penulisnya ke majlis-majlis MPH, pegawai2 MPH itu pun dengan sukacitanya memberi layanan istimewa kepada buku-buku terbitan PTS!
Kita terangkan perkara ini kepada penulis-penulis PTS, dan mereka semua faham bahawa kehadiran mereka di majlis2 MPH adalah suatu psy-war, suatu perang urat-saraf!
Inilah salah salah satu faktor bagaimana PTS berjaya duduk di tangga ke-14.
Psy-war ini juga kita gunakan untuk menimbulkan persepsi di kalangan penulis2 lain bahawa penulis-penulis PTS mempunyai minda kelompok yang luar biasa, sebab mereka boleh datang sebagai suatu kumpulan yang ada ukhuwah kuat antara sesama mereka. Persepsi ini kita gunakan sebagai senjata bagi menarik perhatian penulis-penulis lain supaya mahu masuk menjadi kerabat penulis PTS juga.
Sayang saya tidak dapat hadir dalam acara itu sebab, bukan sahaja ibu saya tidak sihat, suami saya juga terlantar di katil dengan demam yang teruk! Malam tadi saya hantar beliau ke hospital.
Penerbit dan pembekal buku Melayu perlu tukar mentaliti dan cara bekerja. Penerbit buku mesti bekerja macam orang bisnes.
Asas bisnes di mana pun sama. Ilmu pemasaran, penjenamaan, pengiklanan dll perlu mantap.
Bisnes tak boleh dibual sambil lewa, sebab Bisnes adalah satu cabang jihad!
Faisal,
Itulah perkara pertama yang singgah di kepala juga. Jualan bukunya mungkin ada merosot tetapi memandangkan khalayak yang hadir semalam kebanyakannya khalayak berkualiti, mungkin juga tak ada yang tahu Najwa Aiman tu lelaki melainkan jika terbaca blog aku ni.
Buat bising ke UPND? Nantikan sahaja 'warkah' amukanku kepada mereka.
Puan Ainon,
Saya tak ada masalah untuk menjadi tukang congok di situ, andainya telah dimaklumkan lebih awal. Saya juga akan buat persediaan mental untuk jadi seorang tukang congok yang baik :)
Nak psy-war macam mana kalau pergi perang seorang-seorang, kan? Paling tinggi pun boleh jadi suicide bomber sahaja. Jumpa orang sini meletup. Jumpa orang sama meletup!
Jiwa Rasa,
Benar, apa sahaja yang dibuat atas nama Allah dan ummah ialah jihad. Sangat kecewa dengan sikap mereka yang begini.
Saya setuju benar dengan pendapat sdr bahawa bisnes adalah cabang jihad.
UPND ni memang tak tahulah apa nak kata lagi. Saya dah banyak kali bercakap dengan orang2 kanannya, dengan CEOnya pun saya banyak kali bercakap, asal terjumpa, mesti saya bercakap.
Kita penerbit Melayu mesti kerja kuat, kalau tidak rak buku-buku Melayu takkan membesar dalam MPH, Kinokuniya, Borders dan Popular. PTS satu orang terkial-kial nak penuhkan rak buku ilmu, takkan terbuat oleh PTS. Kalau rak buku2 Melayu kecil, orang pun tak minat nak pergi ke situ, macam mana nak jual buku?
Puan Nisah,
Memang betul, kerja psy-war ni bukan kerja penulis, ia kerja penerbit dengan dukungan penulis2nya. Dah kalau penerbit pun tak servis MPH elok2, apa penulisnya boleh buat?
UPND ni bunyi namanya saja besar besar sebab ada UTUSAN, tapi kerja macam pejabat kerajaan. Saya kecewa betul dengan UPND nih!
Yang saya lebih kecewa adalah DBP. DBP ada beribu2 judul, tapi MPH cuma jual kamus DBP saja! Mana judul2 lain? Dah diswastakan tapi tak ada bezanya DBP dulu dan DAWAMA sekarang. Ini yang saya rasa nak meletup juga nih!
Panasnya! Kebenaran yang amat mendukacitakan, mencelikkan mata orang yang tidak ada pendedahan sebegini seperti saya.
Sebelum jihad perlu penghijarahan dahulu, barangkali. Penghijrahan sikap dan mentaliti.
`Bisnes Satu Cabang Jihad' sebenarnya adalah tajuk sebuah buku tulisan bos & idola saya, Tan Sri Ali Hashim.
Ironinya, buku itu diterbitkan oleh UPND!
Boss sdr itu pun ada buku lain bertajuk "Melintang Lalu Membujur Patah".
Yang lucunya, tajuk macam itu menyebabkan buku tersebut diletakkan bersama-sama buku fiksyen, bukan di rak buku2 pengurusan!
UPND ni memang tak ada kemahiran mencipta judul buku yang berkesan.
Kalau buku pengurusan, gunakanlah tajuk pengurusan.
Saya sampai dengan maklumat awal, forum dimoderator oleh Faisal Tehrani, manakala ahli panel ialah Raja Ahmad dan seorang wakil DBP.
Kerana itu, awal-awal lagi, saya sudah menghantar sms kepada Faisal, posisi apa yang akan diambilnya!
Bagaimanapun, forum tidak "dibintangi" mereka, sebaliknya dipengerusikan Raja Ahmad, dengan ahli panel Nisah dan Najwa.
Awal-awal lagi saya sudah menjangkakan, ia seharusnya pertembungan menarik. Dari blog Najwa Aiman, saya sudah menjangkakan posisi yang bakal diambilnya: bermain secara bertahan.
Nisah? Usah ditelah lagi. Memang belum buka mulut saya sudah agak di mana hala tujunya.
Untuk selanjutnya, komen ini harus dibaca bersekali dengan berita di akhbar kami :)
Alahai, kesianlah anda 'tertipu' kerana saya yang duduk di depan tu, bukannya Faisal. Mungkin ramai yang kecewa juga hari itu.
"Siapa pulaklah Nisah Haron ni. Aku datang nak dengar Faisal Tehrani," mungkin itu komen mereka.
Bayangkan perasaan seorang penulis yang tidak dikehendaki bercakap; tetapi dia hadir dan bercakap di hadapan orang yang tidak menjangka dia yang akan bercakap.
Pun, saya juga tak perlu buka mulut untuk bercakap sekarang ini. Renungan saya sahaja sudah membolehkan Bukunota tulis satu 'story' di akhbarnya!