Khamis, Ogos 31, 2006

Sesungguhnya kita belum merdeka!

Sengaja saya tidak mengirim sebarang ucapan salam merdeka kepada sesiapa pun hari ini. Hatta dari malam tadi, ketika saya menyampaikan Syair Ambang Merdeka di Padang MPS, saya masih tidak yakin bahawa kita sudah merdeka.



Terbaru, saya paling sakit hati apabila Malaysia dengan sengaja mengundang Indonesia pula menjajah kita. Paling teruk, menjajah anak-anak kita. Tidak cukup dengan saluran-saluran kartun dari saluran 60 - 63, kini anak-anak diperkenalkan pula dengan saluran 64.

Pada mulanya saya mengalu-alukan saluran ini kerana promonya mengatakan bahawa :

Astro Ceria - a Bahasa Malaysia language children's channel featuring exciting programming and interactive shows.

Apatah lagi, anak-anak saya dapat bertutur dalam bahasa Inggeris yang baik (bukan Bahasa Inggeris Syarifah Amani, ya) setelah mengikuti rancangan-rancangan seperti dan Playhouse Disney dan Disney. Dengan kawalan supaya mereka tidak menonton AF kerana kami sekeluarga amat membencinya, jadi mereka tidak kenal dengan watak-watak jelmaan Astro seperti kanak-kanak lain.

Rupa-rupanya pihak Astro tidak boleh membezakan antara Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia!!!
Kalau tak percaya cuba klik pada logo di atas. Laman webnya juga berbahasa Indonesia!


Aduhai! Tak cukupkah anak-anak yang dibesarkan dengan pengasuh Indonesia, bercakap dalam Bahasa Indonesia. Menyebut huruf bukannya dengan ae, bi, si tetapi a, be, se.

Tidak cukupkah penjajahan dari Barat, hinggakan penjajahan ini harus datang dari Tanah Seberang pula?

Inilah keputusan paling hina yang pernah dibuat oleh Astro demi membodohkan anak-anak yang akan belajar dengan Bahasa Indonesia. Jika mereka tidak mampu mengalih suara ke Bahasa Melayu dengan betul, saluran ini juga tidak perlu wujud.

Wahai pejuang Bahasa Melayu sekalian! Apa tindakan anda?

Kita masih belum merdeka, walaupun kurang setahun lima dasawarsa...

** Pembaca yang berminat boleh ambil terus entri ini dan tampal di blog masing-masing, cuma kreditkan pengambilan dari laman web Nisah Haron Online.

4 ulasan:

Nasrudin Mohammed berkata...

Ya, saya juga terfikir hal yang kurang lebih sama. Baru pagi semalam saya perasan mengenai saluran itu. Itupun - ketika sibuk mengecat dinding dapur - saya terlihat anak bongsu asyik menonton tv.
Bila ditanya program apa yang ditonton, dia menjawab, "Kartun Indonesia!"
Terdiam saya kerana memikirkan sejak bila pula stesen satelit kita ada kartun Indonesia.
Anak itu tidak menunggu terlalu lama untuk kemudiannya lebih mengejutkan saya kerana mula menyebut-nyebut sepatah dua kata dalam loghat Indonesia.
Habis, bagaimana?
(Nota: Kami tidak pernah mempunyai pembantu atau pengasuh Indonesia di rumah).
Salam.

nuaiem berkata...

Sebagai pelajar pengajian Melayu UKM...sememangnya saya teramat-amat malu jika terus menerus dibiarkan begini. Usaha menubuhkan Institut Bahasa Melayu Malaysia dengan tujuan mengangkat bahasa kita mengatasi Indonesia memang sia-sia...Entah bila kita akan berjaya kalau tongkat yang ada tak tahu nak digerakkan..malula..
Kepada penulis dijemput hadir ke Hari Persuratan Melayu di UKM 21hb nanti..Harap-harap majlis ini dapat diadakan..:)

Rem berkata...

Betul la Nisah. Sungguh Indon sekali penampilannya!

Ada dicatat dalam laman tu:
"Kirimkan kritik dan saran kamu ke..."

Yang jadual, jadi jadwal.

Apa-apa pun saya paling suka ayat ini: "Inilah keputusan paling hina yang pernah dibuat oleh Astro.."

Memang ASTRO itu hina dan jijik. ASTRO melacurkan semua perkara yang boleh dilacurkan. Itulah dasar kapitalis. Mahukan modal sikit, tapi kemaruk nak untung berganda-ganda. Tiada kerjaya lain yang paling menepati konsep itu, kecuali kerjaya melacur.

Dalam AF, muzik dan seni dilacurkan. Sekarang ni bahasa pula. Barangkali semua orang yang mahu bekerja di ASTRO diharuskan memiliki ijazah dalam bidang pelacuran (baca: manipulasi gaya kapitalis).

Yang lebih bebat lagi, RTM pun semakin gatal terikut-ikut jejak langkah ASTRO. Barangkali Pak Menteri terlupa yang RTM itu bukan syarikat swasta. Ia adalah badan penyiaran awam yang dibiayai oleh rakyat (ya, duit kita para pembayar cukai!). Sungguh hina, jijik dan durjana RTM melacurkan duit kita semua untuk menerbitkan program-program sampah itu (misalnya, siaran langsung acara Ina dan Mawi 'membuka pekung di dada' sambil 'bertelanjang' di depan jutaan umat Malaysia).

Tanpa Nama berkata...

kenapa prejudis dengan bahasa indonesia? bukankah kita juga serumpun?

Related Posts with Thumbnails